Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)

29/05/2014

Author : Unknown Time : 3:30:00 pm Total Comment : 0

Kisah Ilmuan Peluk Islam Setelah Mengetahui Bakteria Dalam Air Liur Anjing

Seorang ilmuan besar yang mendalami bidang bakteria berkunjung ke Mesir untuk mensekolahkan anaknya dan dia sendiri memperolehi pekerjaan dalam bidangnya tersebut. Pada suatu hari dia membaca buku hadith yang berkaitan dengan masalah kesihatan. Tiba-tiba dia tidak percaya ketika membaca hadis Nabi saw,
“Jika seekor anjing menjilat perkakas rumah salah seorang di antara kamu, maka cucilah alat (tempat) itu tujuh kali, satu kali di antara yang tujuh itu dicampur dengan tanah ..”
Sejenak dia berdiam menatap hadis itu. Dalam dirinya mula timbul soalan-pert anyaan: Perintah mencuci tujuh kali itu memang perlu dilakukan, dan merupakan kewajipan, namun mengapa Nabi masih menyuruh membasuh tempat itu satu kali dengan tanah? Tidakkah dengan memakai air sahaja sudah cukup?
Soalan itu terus mengganggunya. Kemudian dia mengambil sebuah alat rumah dan membiarkannya dijilati anjing. Lalu mencucinya dengan air tujuh kali. Selepas itu ia teliti dengan menggunakan mikroskop, dan yang terlihat: Berjuta-juta bakteria masih melekat di tempat itu.
Bermakna mencuci dengan air tidaklah cukup untuk menghilangkan bakteria atau kuman-kuman penyakit anjing yang melekat ditempat tersebut.
Sekarang dia cuba sekali lagi, mencuci tempat itu dengan debu tanah. Dan setelah diteliti, ternyata, kuman-kuman telah hilang seluruhnya.
Soalan yang timbul dibenaknya sekarang : Siapa yang memberitahu hal ini kepada Muhammad? Padahal penemuan rahsia bakteria baru diketemukan oleh Pasteur (1822-1895). Bukankah jauh sekali jarak antara Muhammad dengan Pasteur? Bermakna penemuan Pasteur hanyalah mengulang penemuan lama, di mana Muhammad telah mengetahui bahawa bakteria atau kuman penyakit itu ada pada anjing dan dapat dihilangkan hanya dengan menggunakan debu dan dibasuh dengan air enam kali. Siapa yang memberitahu hakikat ilmiah ini kepada Muhammad?
Subhanallah, Allah SWT lah yang memberi petunjuk kepada Nabi Muhammad SAW, segala hal yang bermanfaat bagi umatnya.

Author : Unknown Time : 1:30:00 pm Total Comment : 0

Andai Rasulullah masih ada


يا رَبِّي قَدْ غَفِلْنَا وَكُلُّناَ طَمْعٌ
فِيْ عَفْوٍ وَفِيْ كَرَمٍ وَفِيْ أَعْتَاقٍ
وَجَنَّةٍ مَعَ سَيِّدِ الْبَشَرْ
نَدْعُوْك..نَدْعُوْكَ رَبِّيْ مِنَ الْأَعْمَاقِ

Wahai Tuhanku, kami telah lalai lupa.
Namun setiap orang daripada kami tetap tamakkan...
Keampunan-Mu, dan sifat pemurah-Mu,
Dan kebebasan daripada api neraka-Mu,
Dan juga syurga bersama Penghulu seluruh manusia.
Kami mohon...Kami mohon pada-Mu,
Wahai Tuhanku dari sudut hati yang paling dalam.....

لَوْ كَانَ بَيْنَنَا الْحَبِيْب
لَدَنَا القَاصِيْ وَالْقَرِيْب
مِنْ طَيِّبَةٍ قَبْلَ الْمَغِيْب 
طَالِباً قُرْبَ الحَبِيْب

Andainya Kekasih-Mu (Muhammad) masih berada bersama-sama kami,
Akan terlunaslah segala hutang dan semakin hampirlah,
Dengan haruman baginda sebelum hilangnya
Rasa yang meronta-ronta untuk berada hampir dengan kekasih-Mu..

بِقُرْبِهِ النَّفْسُ تَطِيْب
وَتَدْعُوا الله فَيُجِيْب
أَنْوَارُ طَهَ لاَ تَغِيْب
بَلِّغْنَا لِقَاهُ يَا مُجِيْب

Berada berhampirannya jiwa turut menjadi harum
Dan apa jua yang kalian doakan kepada Allah akan diperkenankan.
Cahaya Nabi Muhammad tidak akan pernah sirna.
Sempatkanlah kami bertemu dengan Baginda, 

Wahai Tuhan yang Maha Merperkenankan doa hamba.

هُدَاكَ الْكَوْنُ الرَّحِيْب
رَحْمَةَ الهَادِيْ الْقَرِيْب
حَدِيْثُكَ النَّهْرُ الْعَذِيْب
جِوَارُكَ الْغُصْنُ الرَّطِيْب

Hidayahmu kepada alam merata luas
Tanda hampirnya kasih sayang Tuhan Pemberi Hidayah.
Hadis-hadismu ibarat sungai mengalir jernih.
Berada disisimu bagaikan dahan yang tumbuh segar dan basah. 

فَدَتْكَ رُوْحِيْ يَا حَبِيْب
محمدٌ مُكْرِمَ الْغَرِيْب
بِقُرْبِكَ الرُّوْحُ تَطِيْب
ياَ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْن

Kutebus diriku dengan dirimu wahai Kekasihku.
Nabi Muhammad yang mulia lagi asing
Berada berhampiranmu jiwa menjadi harum
Wahai yang diutuskan sebagai tanda kasih sayang, 

Tuhan kepada seluruh Alam

يَا حَبِيْبِيْ ياَ مُحَمَّدْ
يَا طَبِيْبِيْ يَا مُمَجَّدْ
أَنْتَ ذُوالْفَضْلِ الْمُؤَيَّدْ
جَلَّ مَنْ صَلَّى عَلَيْك

Wahai Kekasihku Wahai Muhammad 
Wahai pengubat hatiku Wahai yang terpuji
Dirimu memiliki kelebihan yang diakui
Oleh Tuhan yang turut berselawat kepadamu.

Law Kana Bainana by Syarifah Khasif

27/05/2014

Author : Unknown Time : 5:12:00 pm Total Comment : 0

Ibu Lebih Utama Berbanding Ayah

Abu Hurairah  radhiallahu 'anh  berkata:

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:

"Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?"

Baginda menjawab: "Ibu kamu."

Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"

Baginda menjawab: "Ibu kamu."

Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"

Baginda menjawab: "Ibu kamu."

Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"

Baginda menjawab: "Ayah kamu." [1]


Seorang sahabat bernama Jahimah radhiallahu 'anh datang menemui Rasulullah SAW meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.   

Rasulullah bertanya: " Adakah kamu masih mempunyai ibu? "

Jahimah menjawab: " Ya. "

Lalu Rasulullah bersabda:
"Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya." [2]


Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak untuk menerima perhatian daripada seorang anak. Tidak sekadar itu, ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah sepertimana terbukti melalui hadis di atas. Syurga juga terletak di bawah kaki ibu, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis kedua di atas. Selain itu Allah Subhanahu wa Ta'ala juga telah mengkhususkan beberapa ayat-Nya di dalam al-Qur'an untuk ibu. Ini tidak lain menunjukkan betapa besar dan mulia kedudukan ibu di sisi Allah dalam peranannya melahirkan anak dan membesarkannya. [3]    Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:  

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (Dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu ; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Luqman 31:14]

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. [Al-Ahqaf 46:15]


Terdapat beberapa sebab mengapa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah:

  1. Ibu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, dalam proses mengandung seorang anak. Allah mengkhabarkan kesusahan ini dengan firman-Nya yang bermaksud: "  ... ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah ... "  [al-Ahqaf 46:15]
  2. Kesusahan ketika mengandung semakin bertambah selari dengan pembesaran janin. Kesusahan yang semakin bertambah mengakibatkan seorang ibu menanggung kelemahan demi kelemahan: "  ... ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan ... "
  3. Kesusahan ini mencapai tahap paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut: "  ... dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. "  Kesusahan ini diungkap oleh Allah dalam kisah Maryam ketika beliau hendak melahirkan 'Isa:
(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!" [Maryam 19:23]


Berkenaan kesusahan yang amat berat saat hendak melahirkan, Abi Burdah radhiallahu 'anh pernah melihat Ibn 'Umar radhiallahu 'anhuma dan seorang lelaki dari Yaman sedang tawaf di sekeliling Kaabah.    

Lelaki tersebut sedang menyokong ibunya lalu mengeluh: " Saya baginya bagaikan tunggangan yang hina. "

Lalu dia bertanya: " Wahai Ibn 'Umar! Apakah sudah aku balas budinya? "

Ibn 'Umar menjawab: " Tidak! Walaupun setarik nafasnya (yakni ketika ibunya sedang melahirkannya). " [4]

  4. Setelah melahirkan, ibu benar-benar memberi perhatian kepada anaknya. Seandainya anaknya tidak
sihat atau hilang sekejap daripada perhatiannya, nescaya dia menjadi bimbang. Apatah lagi jika anaknya dijauhkan daripadanya, seorang ibu akan teramat berdukacita sehingga hatinya menjadi kosong, sehinggalah anaknya dikembalikan kepadanya.

Kenalilah perhatian seorang ibu terhadap anaknya berdasarkan kisah berikut daripada al-Qur'an, ketika Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintah ibu Musa untuk menghanyutkan anaknya (Musa) agar dia (Musa) tidak ditangkap dan dibunuh oleh Fir'aun:  

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: "Susukanlah dia; dalam pada itu jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita ; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang daripada Rasul-rasul Kami.   

Selepas itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.

Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: "(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak. " Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya) .

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong ; sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah ). 

Dan berkatalah dia kepada kakak Musa: "Pergilah cari khabar beritanya." (Maka pergilah dia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya.

Dan Kami jadikan dia (Musa) dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (Melihatkan halnya itu), kakaknya berkata (kepada isteri Fir'aun): "Mahukah aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya? "

Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya
dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui 
(Yang demikian itu). [Maksud surah al-Qasas 28:7-13]

  5.    Sekalipun dengan segala pengorbanan ibu daripada saat mengandung hinggalah kepada membesarkan,
seorang anak lazimnya akan lebih cenderung untuk meremehkan ibunya berbanding ayahnya. Faktor penyebab adalah sama ketika menjelaskan bab sebelum ini berkenaan mengapa ibu dikhususkan daripada ayah dalam larangan menderhaka. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang "hanya di rumah" menyebabkan sebahagian anak-anak tidak menghormati ibu mereka dan justeru melecehkan tuntutan berbuat baik kepadanya.

Lima sebab di atas, paling kurang, menjelaskan mengapa Allah dan Rasul-Nya mengkhususkan seorang ibu di atas seorang ayah. Malah hadis yang asal dalam perbincangan ini memberi hak tiga kali ganda lebih besar kepada seorang ibu berbanding seorang ayah. Oleh itu dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa, hendaklah kita memberi perhatian dan keutamaan kepada ibu.

Mengambil iktibar daripada kisah para sahabat Rasulullah, seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn 'Abbas radhiallahu 'anhuma, Saya meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan aku. Setelah itu datang orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan saya membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya? "

Ibn 'Abbas bertanya: " Apakah ibu kamu masih hidup? "

Dia menjawab: " Tidak . "

Ibn 'Abbas berkata: " Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah kepada-Nya semampu mungkin . "

Atha 'bin Yasar (yang hadir sama saat itu) bertanya kepada Ibn' Abbas: " Mengapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih hidup? "

Ibn 'Abbas menjawab: " Saya tidak tahu perbuatan yang paling mendekatkan (seseorang) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala  melainkan berbakti kepada ibu. " [5]




[1]  Sahih:  Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahih nya - hadis no: 5971   (Kitab al-Adab, Bab siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik).
[2]   Hasan Sahih:  Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai - hadis no: 3104    (Kitab al-Jihad, Bab kelonggaran daripada berperang bagi orang yang memiliki ibu).
[3]  Sayang sekali kebanyakan wanita sekarang ini tidak lagi memandang mulia terhadap peranan mereka untuk melahir dan membesarkan anak. Apa yang dipandang mulia oleh Allah kini dipandang hina oleh manusia. Semua ini berlaku kerana manusia kini mengejar kemuliaan mengikut ukuran mereka sendiri. Mereka tidak sedar bahawa apa yang dianggap mulia oleh sebahagian manusia dianggap hina oleh manusia yang lain. Apa yang dianggap mulia pada masa kini akan menjadi hina pada masa akan datang. Ringkasnya, kemuliaan mengikut ukuran manusia sentiasa bersifat nisbi manakala kemuliaan mengikut ukuran Allah sentiasa bersifat hakiki.
[4]  Sanad Sahih:  Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad - hadis no: 9.  
[5]  Sahih:  Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad - hadis no: 4 dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah - hadis no: 2799     

22/05/2014

Author : Unknown Time : 3:53:00 pm Total Comment : 0

Kisah Pengajaran dari Surah Al-Buruuj (4-8)


Suatu masa dahulu ada seorang Raja zalim di sebuah negeri yang mengaku dirinya tuhan. Raja kepada negeri tersebut mempunyai ahli sihir yang sangat handal. Namun ahli sihir tersebut sangat tua dan selalu sakit. Beliau merasakan ajalnya telah hampir. Lalu ahli sihir itu meminta kepada Raja supaya mencarikan seorang kanak-kanak untuk dijadikan perintis ahli sihir.

Raja berkenan mencarikan seorang budak yang pandai untuk diajarkan sihir. Seorang kanak-kanak yang pandai di dalam negeri tersebut telah dipilih oleh pembantu Raja. Setiap hari kanak-kanak itu akan pergi ke istana untuk belajar sihir. Pelbagai teknik sihir yang merupakan ilmu hitam diajar kepada kanak-kanak tersebut (sihir memerlukan pengamal berkawan dengan jin/syaitan untuk mendapatkan kuasa). Ilmu ini merupakan ilmu sesat.

Dalam perjalanan kanak-kanak tersebut dari istana, beliau berjumpa dengan seorang alim. Orang alim tersebut mengajar ilmu tauhid untuk menyembah Allah. Ilmu baik pun dipelajari, dalam masa kanak-kanak ini belajar ilmu sihir. Akhirnya berlaku pertentangan dalam jiwa kanak-kanak tersebut. Namun kanak-kanak itu (dengan hidayah dan inayah Allah), lebih cenderung kepada ilmu yang disampaikan oleh orang alim tersebut.

Pada suatu hari semasa dalam perjalanan ke istana, kanak-kanak tersebut terserempak dengan seekor binatang buas yang sangat besar. Binatang tersebut membuat huru-hara di suatu kawasan laluan orang ramai. Kanak-kanak tersebut dengan beraninya mengambil sebiji batu lalu berdoa, “Ya Allah, sekiranya ilmu yang diajarkan oleh orang alim itu betul, dan ahli sihir itu salah, Kau matikan lah binatang buas itu dengan batu ini”. Lalu dibaling batu ke arah binatang buas tersebut (dengan keyakinan pada Allah, tanpa dibantu dengan ilmu sihir). Binatang itu rebah lalu mati dengan balingan batu kanak-kanak tersebut. Lalu kanak-kanak itu sedar bahawa ajaran orang alim benar, dan ahli sihir salah.

Disebabkan binatang tadi, kanak-kanak itu lambat sampai kepada ahli sihir. Lalu ahli sihir bertanya kenapa beliau lambat. Kanak-kanak itu menjawab dengan beraninya, “Saya ada urusan lain. Saya belajar mengenal Allah”. Ahli sihir terkejut dan marah, lalu bertanya siapa yang mengajar tentang Allah. Kanak-kanak itu pun bercerita tentang orang alim di mana beliau belajar.

"Selama ini tuhan kamu siapa?”, bentak ahli sihir. “Tuhan saya, ahli sihir dan Raja adalah Allah”, jawab si kanak-kanak dengan berani. “Bukan! Tuhan kita adalah Raja”, sekali lagi ahli sihir menegaskan. “Tidak, tuhan kita adalah Allah”, kanak-kanak itu tetap dengan pendiriannya.

Ahli sihir pergi mengadap Raja untuk melaporkan tentang peristiwa itu. Raja menitahkan kanak-kanak itu dan orang alim ditangkap. Raja bertanya kepada orang alim, “Benarkan engkau telah mengajar kanak-kanak ini Allah itu tuhan kamu?”. “Benar!”, orang alim menjawab. Raja menitahkan orang alim dibelah kepala dengan gergaji kerana tidak mahu mengaku Raja adalah tuhan. Orang alim pun mati dibelah kepala.

Raja bertanya kepada kanak-kanak itu, “Siapa tuhan kamu?”. “Tuhan saya tetap Allah”, jawab beliau dengan berani. Raja menitahkan pengawal membawa kanak-kanak itu ke lereng bukit dan lepaskan dari atas bukit.
Sampai di atas bukit, dengan izin Allah, bukit bergegar. Pengawal semua jatuh dari atas bukit dan mati. Namun kanak-kanak itu selamat lalu kembali ke istana berjumpa Raja. Raja hairan bagaimana beliau boleh terlepas. Kanak-kanak memberitahu tentang insiden bumi bergegar, dan pengawal semua mati, cuma beliau yang terselamat.

Sekali lagi Raja memanggil pengawal dan mengarahkan kanak-kanak itu di bawa ke tengah laut (dengan menaiki kapal laut) dan dicampak ke dalam laut. Sampai ditengah laut ombak besar melanda kapal, semua pengawal lemas kecuali kanak-kanak itu selamat dengan bantuan Allah. Kanak-kanak tersebut pun kembali semula ke istana dengan selamat.

Sampai di istana Raja sekali lagi hairan dan mati akal untuk membunuh kanak-kanak itu. Dengan selambanya kanak-kanak itu memberi cadangan kepada Raja, “Bunuhlah aku di depan orang ramai dengan menggunakan anak panah. Aku hanya akan mati sekiranya Raja menyebut ‘aku bunuh budak ini dengan nama Allah tuhan budak ini’  sebelum melepaskan anak panah dari busur”.

Dengan gembira Raja mengikat kanak-kanak itu di khalayak ramai. Beliau juga mengarahkan orang ramai supaya berkumpul menyaksikan acara tersebut. Sebelum melepaskan anak panah Raja menjerit, “Aku bunuh budak ini dengan nama Allah tuhan budak ini!”. Anak panah dilepaskan dan budak itu pun mati (dalam iman).

Orang ramai yang hadir berasa marah dengan Raja. Mereka terus beriman kepada Allah beramai-ramai (dianggarkan 20 ribu) selepas mendengar seruan nama Allah oleh Raja. Kanak-kanak itu telah berjaya mengIslamkan ramai dari kalangan khalayak dengan kematiannya. Raja sangat murka kerana telah terpedaya, terus mengarahkan pengawal mengepung semua orang yang telah tertarik untuk mengenal Allah. Raja mengarahkan supaya digali lubang besar dan dibuat api yang besar di dalam lubang tersebut. Orang ramai yang mengaku telah beriman kepada Allah ditendang masuk ke dalam lubang tersebut.

Kemudian Allah datangkan satu bala tentera (kaum lain) menyerang Raja dan pengikutnya. Semua mereka mati disebabkan kelakuan mereka yang melampui batas. Kisah ini diceritakan dalam al-Quran mengenai kaum yang menggali parit (lubang) dan dibakar orang-orang yang beriman di dalam parit itu.

Surah al-Buruuj (85 ayat 4-8).


4. Celakalah kaum Yang menggali parit,
5. (Parit) api Yang penuh Dengan bahan bakaran,
6. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya,
7. Sambil mereka melihat apa Yang mereka lakukan kepada orang-orang Yang beriman.
8. Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang Yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!


 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.