Berpakaian Tetapi Telanjang
Kakak Memakai Baju Adik 8 Tahun
Perbincangan kita kali ini akan tertumpu kepada golongan kedua yang disebut dalam hadis di atas. Apakah yang dimaksudkan dengan berpakaian tetapi telanjang? Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa ada beberapa makna. Antaranya ialah perempuan itu menutup sebahagian auratnya dan membuka sebahagian yang lain atau memakai pakaian yang terlalu nipis sehingga menampakkan bentuk badannya.Di dalam kitab al-Muntaqa (Syarah al-Muwatta’ Imam Malik) pula, ditambah dengan pengertian memakai pakaian tetapi terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Betapa ramainya para kakak pada hari ini yang berumur 28 tahun memakai baju adiknya yang berumur 8 tahun. Memakai baju dengan trend “see through”, kononnya mengikut peredaran zaman. Walaupun ada inner, tetapi ia tetap menampakkan bentuk badan. Ada yang merasakan sudah cukup sempurna apabila menutuk rambut, sedangkan tubuh badan terserlah dengan pakaian ketat.
Wahai kaum Hawa, peringatan ini adalah kerana sayangkan kalian, Rasulullah s.a.w. tersangat sayang kepada umatnya. Baginda terlalu ingin melihat umatnya melangkahkan kaki ke syurga yang penuh dengan nikmat yang kekal selamanya.
Baginda juga menjelaskan bahawa para wanita ini sentiasa berlenggang-lenggok ketika berjalan sehingga menyebabkan orang lain yang melihatnya tergoda. Inilah cara berjalan para pelacur pada zaman jahiliah. Inilah cara mereka memperkenalkan diri dan menarik perhatian para pelanggan.
Syeikh Abdul Majid al-Zindani, seorang ulama Yaman menerangkan tentang kalimah ‘mumilat’ yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini adalah isim fa’il dengan makna seseorang yang menyebabkan orang lain menjadi senget. Apabila melihat perempuan ini berjalan, ada lelaki yang akan menatapnya dengan penuh ghairah sehingga tersenget badannya ke arah pergerakan perempuan tersebut. Fesyen rambutnya seperti bonggol unta yang kelihatan terhuyung-hayang ketika berjalan.
Kesan Negatif
1. Menyusahkan para isteri
Golongan wanita yang berpakaian tetapi telanjang sebenarnya antara penyebab pelbagai masalah rumah tangga yang berlaku. Para suami mula membandingkan wanita tersebut dengan isterinya. Ada juga isteri yang mula menaruh syak wasangka apabila mendapati ada rakan sekerja suaminya yang berpakaian sedemikian rupa. Apabila virus-virus ini mula merebak dalam rumah tangga, ia boleh membawa kepada masalah yang lebih besar.
2. Gangguan seksual terhadap golongan lelaki
Ini adalah satu bentuk gangguan yang menghilangkan tumpuan orang lelaki. Dalam hadis tersebut menyatakan: ”Sehingga senget orang lelaki yang melihatnya,” iaitu senget fizikal dan senget akalnya apabila berhadapan dengan nafsu yang membara akibat bahana golongan wanita tersebut.
3. Mendedahkan diri kepada pelbagai bahaya
Senario hari ini memperlihatkan betapa banyaknya kes rogol dan pengkhianatan kepada golongan wanita. Salah satu faktornya adalah apabila golongan lelaki tergoda melihat tawaran hebat serta promosi percuma wanita yang tidak bermaruah ini. Adakalanya wanita seksi ini tidak menjadi mangsa tetapi nafsu dilampiaskan kepada insan-insan lain yang tidak berdosa seperti gadis lain, kanak-kanak bahkan ada yang menjadikan anak sebagai mangsa.
4. Tidak menghidu bau syurga
Golongan berpakaian tetapi telanjang ini tidak dapat menghidu bau syurga apatah lagi memasukinya.
Sukar untuk Berubah
Ramai wanita yang menyedari kesilapan ini. Bahkan betapa ramai suami yang berasa bersalah melihat keadaan isterinya yang setiap hari ke tempat kerja dalam keadaan berpakaian tetapi telanjang. Sukarnya mengubah penampilan diri. Tambahan pula apabila ada yang suka menyindir melihat perubahan positif yang cuba diusahakan.
Dalam situasi ini, ingatlah perumpamaan yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. berkenaan sahabat. Sahabat yang baik seperti penjual minyak wangi, walaupun kita tidak memperoleh minyak wanginya, tetapi pasti dapat menumpang wangiannya. Bersahabat dengan kawan yang jahat pula seperti berkawan dengan tukang besi, walaupun tidak terkena percikan api, tetapi masih tidak mampu mengelak bau asap yang terkena pada badannya.
Carilah sahabat yang menjual minyak wangi, walalupun anda tidak membelinya tetapi anda pasti menjadi wangi kerana dapat mencubanya secara percuma setiap hari.
Tweet
0 Komen: