Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)

03/02/2012

Author : Cahaya Kebaikan Time : 11:15:00 am Total Comment : 0

ISLAM TERUS HIDUP DI CHINA

Tarikh yang tepat kemasukan Islam ke negara China tidak dapat dipastikan. Namun ahli sejarah mengatakan bahawa agama Islam telah sampai ke China sekitar tahun 9 hingga 14 Hijrah dengan diketuai oleh seorang sahabat Baginda Rasulullah SAW yang bernama Saad Lebid. Beliau telah berdakwah kepada penduduk di China dengan berbekalkan takwa dan akhlak yang mulia sehingga membolehkan Islam bertapak di sana tanpa berlakunya pertumpahan darah. Salah seorang yang berjuang bersama-sama beliau bernama Yusuf.

Kini setelah lebih seribu tahun berlalu, masih terdapat di kalangan penduduk di China yang menggunakan nama awalan Saa dan Yu yang pada dasarnya berasal daripada nama Saad dan Yusuf. Ini menunjukkan bahawa kedua-dua tokoh itu sangat dihormati, disanjung dan diterima oleh penduduk China.
Para ahli sejarah telah sepakat mengatakan bahawa Islam mula tersebar secara rasmi dan meluas ke negara China pada zaman pemerintahan Khalifah Usman bin Affan. Pada masa itu, China diperintah oleh Maharaja Yung Wei daripada Dinasti Tang. Amirul Mukminin telah mengutus Saad bin Abi Waqqas (salah seorang daripada 10 sahabat yang dijamin masuk syurga) bersama-sama dengan 15 orang yang lain. Walaupun Maharaja Yung Wei sendiri tidak menerima Islam tetapi kehalusan budi pekerti Saad R.A dan anggota rombongannya menyebabkan Yung Wei yakin bahawa Islam adalah agama yang baik. Lantaran itu, Maharaja Yung Wei telah memberikan kebebasan kepada rombongan Saad untuk berdakwah dan mendirikan masjid.
Seruan Islam mudah diterima oleh penduduk China tempatan. Pakar sejarah memberikan dua sebab mengapa ini berlaku. Pertama, ajaran Islam sangat sesuai dengan jiwa mereka yang menyanjung tinggi keluhuran budi dan akhlak seperti yang terdapat dalam ajaran Confucianisme yang dibawakan oleh Kung Fu Tze. Ada ulama yang mengatakan bahawa ada kemungkinan beliau merupakan seorang Nabi yang diutuskan khususnya untuk penduduk di China pada zamannya, WAllahua’lam.
Sebab kedua, ialah para mubaligh dan da’ie Islam merupakan orang yang sangat berakhlak serta menjadi contoh kepada seluruh manusia pada waktu itu. Saad bin Abi Waqqas lama tinggal di China sehingga usianya lanjut dan meninggal dunia di sana. Jenazahnya yang mulia telah dimakamkan di Kwongchou. Di sisi makam itu, didirikan sebuah masjid yang sehingga kini dikenali sebagai Masjid Saad bin Abi Waqqas.
Perkembangan Islam di negara China terus berjalan dengan lancar. Semasa pemerintahan Bani Umaiyah, Qutaibah bin Muslim R.A telah berjaya mengembangkan Islam sehingga ke perbatasan China di Timur Laut. Pada tahun 710-712 Masihi, Khalifah Al Walid telah menghantar seorang duta ke China. Seterusnya pada masa pemerintahan Khalifah Hisyam, baginda mengutuskan seorang utusan bernama Sulaiman kepada Maharaja Hsuan Tsung. Semasa pemerintahan Bani Abbasiyah pula, perhubungan diplomatik di antara China dan negara Islam bertambah erat. Khalifah Al Mansur telah menghantar bantuan ketenteraan apabila Maharaja China, Su Tsung merayu bantuan untuk menghadapi pemberontakan di wilayah Si Ngan dan Honan. Ternyata strategi ini merupakan serampang dua mata. Setelah pemberontakan berjaya dipatahkan, tentera Islam terus menetap di China dan berkahwin dengan wanita tempatan. Ini menguatkan lagi ikatan persaudaraan masyarakat Islam yang sudah terbina dari zaman sahabat lagi.
Strategi seperti itu pernah digunakan oleh Rasulullah SAW  untuk menguatkan kedudukan Islam. Terbukti keberkesanannya dalam zaman tiga dinasti yang memerintah selepas itu iaitu Dinasti Tang, Sung dan Yuan dengan munculnya ramai tokoh Islam yang terkemuka. Pada masa itu, China sudah menjadi pusat perdagangan yang terkenal dan kemuncaknya berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Harun Ar Rasyid pada tahun 786-809 M. Apabila kuasa pemerintahan China jatuh ke tangan orang-orang Mongol, umat Islam di China tetap tidak tergugat. Malah mereka telah menyerap masuk ke dalam jentera pemerintahan bangsa Mongol yang terkenal ganas itu. Ini menunjukkan bahawa Islam yang telah menjadi amalan dan pakaian diri penganutnya sukar dihapuskan oleh mana-mana kuasa di dunia ini.
Sifat takwa dan akhlak mulia yang ada pada umat Islam dapat diterima oleh mana-mana manusia dan agama. Sebab itulah sewaktu pemerintahan Kublai Khan, dicatatkan bahawa 8 daripada 12 gabenornya adalah beragama Islam. Pengaruh mereka sangat kuat sehingga pada tahun 1335, kerajaan Mongol mengakui dan mengiktiraf Islam sebagai satu agama yang suci. Bukti ini jelas dicatatkan oleh Ibnu Bathutah semasa mengunjungi negara China. Bathutah telah menulis, “Di setiap kota terdapat satu wilayah khusus bagi orang Islam, mereka sangat dimuliakan dan dihormati oleh penduduk China yang lain”.
Kerajaan Mongol akhirnya diambil-alih oleh Dinasti Ming pada tahun 1368 Masihi setelah berkuasa selama 90 tahun di China. Dinasti Ming juga dipercayai oleh orang Islam. Pengasas dinasti ini bernama Ming Tsai Tsu dan permaisurinya adalah penganut agama Islam. Maharaja Ming telah mengarang seratus bait syair yang memuji Rasulullah SAW yang sehingga sekarang masih terukir dalam sebuah masjid di Nanking. Bagaimanapun, fakta ini sengaja disembunyikan oleh para orientalis barat. Boleh jadi juga pemerintah Dinasti Ming lebih mementingkan soal pengamalan Islam daripada mengisytiharkan Islam sebagai agama istana.
Semasa pemerintahan Maharaja Ming, China telah menjalankan pemerintahan secara Islam yang mana pemerintah menguatkuasakan hukum-hakam Islam. Pada waktu itu juga diutuskan seorang negarawan Islam yang bernama Laksamana Syed Cheng Ho ke negara-negara Pasifik Selatan termasuk Gugusan Kepulauan Melayu, India, Arab dan Afrika Timur. Laksamana Cheng Ho yang merupakan keturunan ke-7 daripada Syed Saini Syamsudin, seorang pegawai Islam berbangsa Arab yang pernah menjawat jawatan Gabenor di Yunan adalah 'master mind' yang mengeksport kebangkitan Islam di China keluar negara melalui perdagangan, ketenteraan, hubungan diplomatik dan perkahwinan. Rupa-rupanya Islam telah dibawa ke Tanah Melayu oleh penduduk dari China.
Zaman gemilang Islam mulai pudar selepas jatuhnya kerajaan Dinasti Ming yang digantikan dengan Dinasti Manchu. Keadaan itu berterusan sehingga jatuhnya kekuasaan Dinasti kepada pihak nasionalis dan seterusnya komunis. Pada tahun 1949 merupakan tarikh rasmi pihak komunis menguasai pemerintahan di China. Pemberontakan atau Revolusi Kebudayaan yang diasaskan oleh Mao Tze Tung pada tahun 1966 telah menghapuskan semua amalan agama. Tokong-tokong Buddha dan masjid-masjid umat Islam dirobohkan. Terdapat beberapa petunjuk mengenai sebab-sebab kejatuhan Islam di China. Patung-patung binatang masih kelihatan di bumbung-bumbung masjid yang wujud hingga ke hari ini. Ini mungkin disebabkan asimilasi budaya yang berlaku sejak zaman dahulu lagi yang tanpa disedari merupakan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Kemungkaran telah dibiarkan oleh ulama dan pemimpin di China. Hadis Rasulullah SAW ada mengatakan, "Dua golongan dari umatku yang mana kalau mereka baik maka baiklah semua manusia. Dan kalau mereka rosak, nescaya rosaklah semua manusia. Iaitu pemimpin dan ulama" [Riwayat Ibnu Abdil Barr]
Setakat ini, memang tidak ada nama seorang tokoh ulama dari China yang tercatat dalam sejarah. Kebanyakan ulama yang adalah dari luar negara China. Umat Islam yang diperintah oleh rejim komunis di China mengalami nasib yang berbeza daripada rakyat China yang lain. Antaranya mereka mempunyai kedudukan ekonomi yang lebih kukuh. Di Ninxing umpamanya, umat Islam yang berketurunan Hui berjaya menguasai menguasai kegiatan ekonomi dan ini menyebabkan mereka terus dihormati. Akhlak Islam yang mereka warisi daripada nenek moyang dahulu seperti lemah lembut, tidak suka bergaduh, suka melayan tetamu dan lainnya serta kemampuan untuk berdikari telah menyebabkan pemerintah memberikan kelonggaran-kelonggaran tertentu seperti kebenaran untuk memiliki anak lebih daripada satu. Sedangkan penduduk bukan Islam hanya dibenarkan untuk mempunyai seorang anak sahaja.
Watak umat Islam tidak berubah walaupun lebih suku abad berada di bawah rejim komunis. Tetapi ideologi komunis telah menukar corak kehidupan penganut agama lain. Malahan Islam merupakan satu-satu agama yang tidak berjaya dihapuskan oleh pihak pemerintah komunis. Masjid-masjid kini kembali meriah terutama di wilayah-wilayah Islam Yunan dan Ningxia. Kalau dengan dasar tertutup kerajaan komunis negara China, Islam masih mampu bertahan, dengan sikap terbuka yang ada pada masa kini sudah tentunya Islam berpotensi untuk cepat berrkembang. Buktinya umat Islam telah bertambah secara mendadak daripada 50 juta sebelum tahun 1976 kepada 115 juta orang pada 1996.
Pemberontakan menuntut demokrasi di Medan Tiananmen pada tahun 1989 membuktikan rakyat China sudah mula menentang ideologi komunis. Ideologi komunis tidak dapat bertahan lama kerana ia menentang fitrah semula jadi manusia untuk bertuhan. Rejim komunis China kini semakin menunjukkan tanda-tanda kumerosotan. Antaranya ialah krisis ujian dan latihan ketenteraan di perairan Taiwan yang sudah menjadi isu antarabangsa dan kebuntuan mencari pengganti Deng Xio Ping yang dikatakan bertanggungjawab memulihkan ekonomi China. China memerlukan pemimpin yang progresif dan bersikap pragmatik. Jika tidak satu vakum kepimpinan akan berlaku.
Walau apapun corak kepimpinan di China, umat Islam perlu mengambil peluang untuk mengembangkan Islam melalui pendekatan kasih sayang. Hati setiap orang yang sudah lama terkapai-kapai tanpa pergantungan kepada Tuhan sangat memerlukan pimpinan dan pedoman agama. Kalau betul cara pendekatan dakwah yang dilakukan, tidak mustahil penduduk China akan beramai-ramai memeluk Islam. China kini telah muncul sebagai kuasa besar ekonomi dunia. Kalau keseluruhan penduduk China mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung dalam ajaran Islam seperti rajin, jujur dan amanah seperti yang ditunjukkan oleh umat Islam di Ningxia dan Yunan, ekonomi negara tersebut tentunya akan meningkat dengan pesat. Andai kata ini berlaku, pastinya China akan mengulangi sejarah kegemilangannya sebagai sebuah pusat perdagangan dunia sewaktu zaman pemerintahan Khalifah Harun Al Rasyid dahulu. ANN WAN SENG

0 Komen:

 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.