Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)

27/07/2012

Author : Unknown Time : 3:54:00 pm Total Comment : 0

Kisah-Kisah Dalam Al-Qur’an Menjadi Bukti Kitab Allah Adalah Mukjizat





Al-Qur’an adalah mukjizat
Al-Qur’an adalah Kalam Allah S.W.T. yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. sebagai risalah Tuhan Yang Maha Agung dan berperanan menjadi pedoman dan memberi peringatan kepada seluruh umat manusia. Penurunan Al-Qur’an kepada Rasulullah S.A.W. merupakan mukjizat yang paling besar dan istimewa, syumul serta sesuai bagi semua tempat dan keadaan sehingga akhir zaman. Penurunan Al-Qur’an juga bermakna terbatalnya seluruh risalah atau kitab-kitab terdahulu kerana segala-galanya sudah terkandung di dalam Al-Qur’an.
Kewujudan Al-Qur’an di tengah-tengah masyarakat Arab Jahiliyah yang kaya dengan seni sastera Arab dan terkenal dengan ketinggian bahasanya telah dilumpuhkan oleh ketinggian ilmu, mukjizat dan segala keistimewaan yang ada di dalam Al-Qur’an. Mukjizat ini telah mencabar bangsa Arab pada masa tersebut untuk membawa atau mencipta sebagaimana Al-Quran sebanyak sepuluh surah kemudian satu surah, namun semuanya tidak mampu menandingi kehebatan Kalam Allah ini. Perkara ini dijelaskan oleh Firman Allah S.W.T. dalam surah Hud ayat 13 yang maksudnya :
“Bahkan mereka mengatakan : “Mereka telah membuat-buat Al-Qur’an itu”. Katakanlah : (Kalau demikian), maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat-buat menyamainya, dan panggillah orang-orang yang sanggup kamu panggil selain Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman”.
Seterusnya Allah berfirman dalam surah Yunus ayat 38 yang maksudnya :
“Atau (patutkah) mereka mengatakan “Muhammad membuat-buatnya”. Katakanlah : (Kalau benar yang kamu katakan itu), maka cubalah datangkan sebuah surah yang seumpamanya dan panggillah sesiapa yang dapat kamu panggil (untuk membuatnya) selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar”.
Pernyataan-pernyataan yang terkandung di dalam Al-Qur’an adalah mukjizat yang akan berkekalan sehingga hari Kiamat, meliputi perkara akidah, syariah, akhlak, perkara-perkara ghaib, sejarah nabi-nabi, asal-usul manusia, fenomena alam semesta dan lain-lain lagi. Kemukjizatan Al-Qur’an ini menjadi satu bukti yang cukup ampuh untuk menandingi apa jua bentuk perbandingan, sekaligus membenarkan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. dan menetapkan keyakinan bahawa Al-Qur’an bukan kalam Nabi atau manusia bahkan ianya adalah Kalam Tuhan Yang Maha Mulia.
Inilah kemukjizatan Al-Qur’an yang di dalamnya terkandung seribu satu rahsia yang perlu diteroka, dikaji dan dihayati oleh seluruh umat pada hari ini. Pedoman dan pengajaran yang ditunjukkan oleh Al-Qur’an mampu menjadi cahaya petujuk yang akan menerangi perjalanan hidup manusia menuju keredhaan Tuhannya.
Allah S.W.T. berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 1-5 yang maksudnya :
“Alif Lam Mim. Kitab Al-Qur’an ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya) ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang hendak bertaqwa. Iaitu orang-orang yang beriman pada perkara-perkara ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman pada Kitab Al-Qur’an yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu serta mereka yakin akan adanya hari Akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya”.
Bentuk-bentuk kemukjizatan Al-Qur’an
Al-Qur’an merupakan Kalam Allah yang tiada tolok bandingnya dengan mana-mana perkataan atau karangan manusia. Kandungan Al-Qur’an mempunyai mukjizat dari lima dimensi yang berlainan namun saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Bentuk-bentuk kemukjizatan Al-Quran meliputi aspek :
• Bahasa
• Kejiwaan
• Sains
• Perundangan
• Perkhabaran tentang perkara ghaib
Penulisan ini hanya akan memfokuskan pada satu dimensi sahaja iaitu dalam aspek perkhabaran tentang perkara ghaib atau disebut sebagai al-ikhbar bi al-ghaybi yang diketengahkan oleh Al-Qur’an sebagai satu bukti bahawa Al-Qur’an adalah mukjizat terbesar yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W., pada masa yang sama menjadi dalil yang jelas terhadap kerasulan Baginda S.A.W. dengan kekuatannya yang mencabar dan melemahkan para penentangnya dari mana-mana zaman sekalipun.
Aspek perkhabaran tentang perkara ghaib sangat mudah untuk difahami oleh masyarakat umum kerana tidak memerlukan sebarang kemahiran bahasa atau ilmu kesasteraan yang mendalam. Ini kerana kemukjizatan Al-Qur’an dari aspek perkhabaran tentang perkara ghaib mampu untuk ditanggapi dan difahami hanya dengan menggunakan logik akal yang mudah.
Paparan kehebatan dan kemukjizatan Al-Qur’an seterusnya akan menolak segala prasangka dan tuduhan liar terhadap Rasulullah S.A.W. sekaligus menetapkan keyakinan bahawa Al-Qur’an adalah Kalam Allah dan apa jua yang bernama makhluk akan selama-lamanya lemah, bahkan sentiasa berhajat pada petunjuk Al-Qur’an untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.
Kemukjizatan Al-Qur’an dari aspek perkhabaran perkara ghaib
Kemukjizatan Al-Qur’an jelas terpancar melalui perkhabaran atau pemberitaannya tentang perkara-perkara ghaib. Bentuk kemukjizatan seperti ini adalah di luar kemampuan akal pemikiran manusia untuk menciptanya, namun dapat difahami dengan mudah apabila dikhabarkan dengan jelas oleh Rasulullah S.A.W. melalui wahyu yang diturunkan kepada Baginda. Gambaran tentang perkara ghaib yang dirakamkan di dalam Al-Qur’an meliputi perkara ghaib masa lampau (al-ghayb al-madi), perkara ghaib pada masa kini (al-ghayb al-hadir)dan perkara ghaib pada masa akan datang (al-ghayb al-mustaqbal).
a) Perkara ghaib yang telah berlaku
Merupakan kisah-kisah sejarah lampau dan kisah-kisah pada nabi terdahulu yang diceritakan oleh Al-Qur’an yang lengkap dengan makluman serta penjelasan. Peristiwa tersebut adalah benar dan bertepatan dengan apa yang berlaku sebagaimana tercatat dalam lembaran sejarah manusia.
Selain dari itu, kategori ini juga meliputi kisah umat terdahulu yang ditimpakan dengan azab seksaan kerana telah mengingkari perintah Allah dan menolak dakwah Islam. Contohnya kisah Firaun, Qarun, kaum ‘Ad, kaum Thamud dan kaum Nabi Lut. Pada masa yang sama, Al-Qur’an juga memaparkan kisah orang-orang yang beriman dan berpegang teguh dengan ajaran Islam. Contohnya kisah Maryam ibu Nabi Isa, kisah Ashab al-Kahfi dan juga kisah nabi-nabi serta para rasul.
Bagi menjelaskan secara lebih terperinci kemukjizatan Al-Qur’an dari aspek perkara ghaib yang telah berlaku, beberapa contoh kisah yang dirakamkan dalam Al-Qur’an akan dikemukakan seperti berikut ;
1. Kisah Nabi Yusuf
Kisah ini terdapat di dalam surah Yusuf yang bermula dari ayat 4 sehingga ayat 110 yang mana merupakan kisah yang terpanjang yang diceritakan di dalam Al-Qur’an dalam satu surah. Hampir keseluruhan surah ini menceritakan kisah Nabi Yusuf yang telah mengalami pelbagai penderitaan dan menempuh pelbagai cabaran tetapi akhirnya selamat dan sejahtera dengan keberkatan sifat sabar, jujur dan iman yang kental kepada Allah S.W.T.
Al-Qur’an menceritakan kisah Nabi Yusuf bermula dengan keadaan baginda semasa kecil lagi dengan firmanNya dalam surah Yusuf ayat 4 yang maksudnya :
“(Ingatlah peristiwa) tatkala Nabi Yusuf berkata kepada bapanya : “Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan, aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”
Dikisahkan lagi bahawa Nabi Yusuf telah dianiaya oleh saudara-saudaranya. Baginda pernah dibuang ke dalam perigi, dijual sebagai hamba dan dibeli oleh seorang pegawai tinggi di Mesir. Apabila meningkat dewasa menjadi seorang lelaki yang sangat tampan, baginda telah terlibat dalam fitnah dengan Zulaikha yang telah jatuh cinta kepadanya sehingga mengakibatkan baginda telah dipenjarakan. Namun kebolehan dan kemahiran menta’bir mimpi yang dimiliki, membolehkan baginda dibebaskan dan mendapat kedudukan yang tinggi sehingga dilantik menjadi Perdana Menteri.
Kemudian diceritakan mengenai pertemuan Nabi Yusuf dengan bapanya iaitu Nabi Yaakub setelah terpisah sekian lama. Kisah ini berakhir dengan doa Nabi Yusuf sebagaimana firman Allah dalam surah Yusuf ayat 101 yang maksudnya :
“Wahai Tuhanku. Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu ta’bir mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat, sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh”.
2. Kisah Firaun
Kisah Firaun dan perlakuannya yang mengingkari perintah Allah S.W.T. telah diceritakan dalam Al-Qur’an antaranya dalam surah Al-A’raaf ayat 103-141, surah Al-Anfaal ayat 52-54, surah As-Syuaraa’ ayat 11-68 dan surah Ghaafir ayat 24-46.
Allah S.W.T. berfirman dalam surah Al-Anfaal ayat 54 yang maksudnya :
“(Keadaan mereka) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari mereka. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhan mereka, lalu Kami binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka dan Kami tenggelamkan Firaun serta pengikut-pengikutnya (di laut) kerana kesemuanya adalah orang-orang yang zalim”.
Allah S.W.T. telah membalas perbuatan Firaun dengan menenggelamkannya dengan para pengikut di Laut Merah semasa mereka sedang mengejar Nabi Musa.
Kebenaran Al-Qur’an juga terbukti kepada sesiapa yang mencari kebenaran. Sebagai contoh, seorang pakar perubatan dari negara Perancis bernama Profesor Maurice Bucaille telah menerima cahaya hidayah dan memeluk Islam setelah menemui kebenaran Al-Qur’an apabila melakukan uji kaji terhadap mumia Firaun yang dikatakan telah tenggelam di laut namun jasadnya masih kekal hingga sekarang sebagai peringatan dan pengajaran untuk umat akhir zaman.
b) Perkara ghaib yang sedang berlaku
Merupakan perkhabaran dan penjelasan oleh Al-Qur’an tentang kewujudan-kewujudan yang ada pada masa kini yang tidak dapat dilihat oleh manusia. Skopnya meliputi kewujudan perkara ghaib seperti malaikat, jin, syaitan, syurga, neraka dan lain-lain lagi. Termasuk juga dalam kategori ini ialah pembongkaran Al-Qur’an mengenai pakatan jahat dan konspirasi golongan Musyrikin terhadap Rasulullah S.A.W. dan ajaran Islam itu sendiri.
Secara umumnya, perkhabaran ghaib tentang perkara yang sedang berlaku boleh dipecahkan pada dua bahagian :
1. Alam-alam ghaib yang wujud tetapi tidak dapat dilihat oleh pandangan mata kasar manusia dan mereka tidak dapat berinteraksi dengan alam tersebut melalui pancaindera yang dimiliki.
i) Zat Allah S.W.T. itu sendiri
Kewujudan Allah S.W.T. adalah salah satu dari perkara ghaib kerana iaNya tidak dapat dilihat dengan pandangan mata kasar manusia di dunia ini. Menyentuh perkara ini, Al-Qur’an sangat banyak membicarakan mengenai Allah dan zatNya yang meliputi nama-nama Allah atau Asma’ al-Husna, sifat-sifatNya yang sempurna dan perbuatan-perbuatanNya yang mulia. Allah S.W.T. turut mengingatkan manusia sebagai hambaNya agar tidak memikirkan tentang zatNya tetapi menggesa supaya manusia memerhatikan pada sifat-sifat Allah dan juga makhluk ciptaanNya.
ii) Alam malaikat
Para malaikat wujud pada alam realiti yang khusus untuk mereka yang berbeza dengan alam manusia yang bersifat material dan boleh ditanggapi melalui pancaindera. Oleh itu, para malaikat dinisbahkan wujud di alam ghaib pada masa kini atau perkara ghaib yang sedang berlaku. Al-Qur’an menyifatkan para malaikat adalah makhluk yang tidak bersifat fizikal yang dikurniakan dengan kehidupan, percakapan dan akal. Mereka tidak berehat, tidak makan dan tidak juga membiak. Mereka patuh dan tidak pernah ingkar pada apa jua perintah Allah.
iii) Alam jin dan syaitan
Kewujudan jin dan syaitan juga dianggap kewujudan di alam ghaib yang sedang berlaku kerana manusia tidak dapat melihat mereka melainkan orang-orang tertentu sahaja yang diizinkan oleh Allah S.W.T. untuk berbuat demikian. Al-Qur’an telah mengkhabarkan mengenai jin dan syaitan dari aspek unsur-unsur penciptaan mereka, kekufuran syaitan dan permusuhan mereka dengan manusia, senjata-senjata yang digunakan oleh syaitan untuk memerangi manusia dan cara-cara untuk menghadapi syaitan itu sendiri. Dalam surah Al-Jinn pula dibincangkan secara khusus berkaitan sekumpulan jin yang mencuri dengar bacaan Al-Qur’an yang dibacakan oleh Rasulullah S.A.W. dan mereka juga mengintip rahsia langit.
iv) Syurga dan neraka
Syurga dan neraka adalah dua makhluk diciptaan Allah S.W.T. yang setia menanti para penghuninya. Syurga dinyatakan dalam Al-Qur’an sebagai “kediaman damai” yang merupakan ganjaran daripada Allah S.W.T. kepada hamba-hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Neraka pula dinyatakan sebagai tempat menakutkan yang tidak mampu digambarkan oleh khayalan manusia.
v) Kematian, alam barzah dan alam kubur
Al-Qur’an juga menerangkan mengenai gejala-gejala yang berlaku apabila tiba saat kematian. Dikhabarkan juga mengenai alam barzah dan alam kubur. Proses kematian digambarkan dalam Al-Quran sebagai proses yang berlaku secara beransur-ansur di seluruh jasad. Tidak ada seorang pun di kalangan manusia mampu meletakkan kembali jiwa agar bersatu semula dengan jasad apabila telah sampai ajal.
2. Konspirasi atau pakatan jahat pihak Musyrikin dan golongan Munafik terhadap Rasulullah S.A.W., kaum Muslimin dan juga agama Islam itu sendiri.
Al-Qur’an telah membongkar sikap golongan Munafik yang merancang untuk mengganggu dan menyakiti kaum Muslimin. Allah S.W.T. telah menurunkan wahyu kepada Rasulullah S.A.W. mengkhabarkan segala perancangan yang telah mereka sepakati. Di sinilah letaknya kehebatan Al-Qur’an dan golongan musuh Islam sangat takjub dengan pembongkaran ini. Ia dianggap sebagai perkhabaran tentang perkara ghaib yang sedang berlaku kerana dinisbahkan kepada zaman Rasulullah S.A.W. dan para sahabat.
Al-Qur’an mendedahkan rahsia mereka yang berpura-pura Islam pada zahirnya, namun mereka sebenarnya tetap kafir di dalam hati. Sikap golongan Munafik ini dinyatakan secara jelas dalam surah At-Taubah ayat 64-66 yang maksudnya :
“Orang-orang Munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Qur’an yang menerangkan kepada mereka (dan kepada ramai) akan apa yang ada di dalam hati mereka dari (kekufuran). Katakanlah :”Ejek-ejeklah (seberapa yang kamu suka), sesungguhnya Al-Qur’an akan mendedahkan apa yang kamu takut (terdedah untuk pengetahuan ramai)”. Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejekan-ejekan itu), tentulah mereka akan menjawab “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah : “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”. Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah”.
Dalam surah At-Taubah juga ayat 107-108, Al-Qur’an telah mendedahkan niat sebenar kaum Munafik dalam pembinaan Masjid Dhirar yang hanya berdasarkan kekufuran dan bertujuan untuk memecah belah berpaduan kaum Muslimin. Lalu malaikat Jibril datang membawa berita kepada Rasulullah S.A.W. mengenai masjid tersebut dan tujuan pembinaannya. Dalam perjalanan pulang dari peperangan Tabuk ke Madinah, Baginda S.A.W. telah memerintahkan masjid tersebut dirobohkan.
Al-Qur’an juga telah mendedahkan konspirasi jahat untuk cuba membunuh Rasulullah S.A.W. semasa dalam perjalanan pulang dari peperangan Tabuk. Peristiwa ini dirakamkan dalam surah At-Taubah ayat 74 yang maksudnya :
“Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di muka bumi ini yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong”.
c) Perkara ghaib pada masa akan datang
Merupakan perkhabaran mengenai perkara-perkara ghaib yang akan berlaku pada masa akan datang dan ianya benar-benar berlaku apabila tiba masanya. Peristiwa-peristiwa yang dikhabarkan ini hanya dapat diketahui oleh Allah S.W.T. sahaja dan tidak mungkin bagi akal manusia untuk menanggapi atau mengetahuinya. Rasulullah S.A.W. sendiri pernah menyatakan bahawa Baginda tidak mengetahui apa-apa pun mengenai perkara-perkara ghaib melainkan setelah dikhabarkan oleh Allah melalui wahyu yang diturunkan kepada Baginda S.A.W.
Al-Qur’an membentangkan perkara atau peristiwa yang bakal terjadi merangkumi masa depan Islam yang dikhabarkan gemilang, jaminan bahawa Nabi S.A.W. tidak akan terbunuh dan akan dipelihara dari tangan-tangan jahat manusia, Al-Qur’an akan selama-lamanya terpelihara dan lemahnya manusia untuk menentang Al-Qur’an, kejayaan kaum Muslimin memasuki Kota Mekah, kemenangan Rom ke atas Parsi dan berakhirnya riwayat musuh-musuh Islam dalam kekufuran.
1. Perkhabaran tentang masa depan Islam, Rasulullah dan Al-Qur’an
Al-Qur’an telah mengkhabarkan kemenangan yang akan dicapai oleh umat Islam walaupun pada masa diturunkan ayat mengenai perkhabaran ini, umat Islam berada pada tahap yang masih lemah kerana Rasulullah S.A.W. sendiri menerima pelbagai tekanan begitu juga dengan kaum Muslimin yang sentiasa disakiti oleh puak Musyrikin.
Al-Quran turut menyatakan kemenangan Rasulullah S.A.W. dalam menghadapi musuh dan membawa dakwah untuk menzahirkan kebenaran agama Islam secara syumul. Kemenangan Islam adalah dengan tersebarnya ajaran suci ini ke seluruh pelusuk dunia sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah S.W.T. dalam surah At-Taubah ayat 32-33 yang maksudnya:
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak mengkehendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang Kafir tidak suka (akan demikian). Dialah yang mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang Musyrik tidak menyukainya”.
Allah S.W.T. juga menjamin bahawa Al-Qur’an akan terpelihara yang mana tidak ada suatu kekuatan pun yang mampu menghapuskannya dari muka bumi ini. Allah S.W.T. berfirman dalam surah Al-Hijr ayat 9 yang maksudnya :
“Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur’an dan sesungguhnya Kami akan memeliharanya”.
Begitu juga dengan diri Rasulullah S.A.W. yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. tidak akan terbunuh dan akan terpelihara dari tangan-tangan jahat manusia yang berniat tidak baik. Allah S.W.T. berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 67 yang maksudnya :
“….. dan Allah S.W.T. akan memelihara kamu (dari pembunuhan dan penganiayaan manusia)…..”.
2. Perkhabaran mengenai kemenangan kaum Muslimin dalam peperangan Badar
Allah S.W.T. berfirman dalam surah Al-Qamar ayat 43-45 yang maksudnya :
“Adakah orang-orang Kafir kamu (wahai kaum Musyrik Mekah) lebih baik (kekuatan, kekayaan dan kehandalannya) daripada kaum-kaum Kafir yang tersebut itu ? Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti dalam kitab-kitab suci tentang kebebasan kamu (dari azab) ? (Mereka tidak mempunyai sebarang bukti) bahkan mereka akan berkata dengan angkuhnya: “Kami satu kaum yang bersatu, yang sudah tentu dapat membela diri”. Kumpulan mereka yang bersatu sudah tentu dapat dikalahkan, dan mereka pula akan berpaling lari”.
Ketika surah Al-Qamar ini diturunkan, jumlah kaum Muslimin pada saat itu masih terlalu sedikit serta masih belum memiliki kekuatan yang padu sehingga Saidina Umar Al-Khattab sendiri merasa hairan lalu berkata : “Pasukan manakah yang diberitakan Al-Qur’an dapat kita kalahkan, sedang kita melindungi diri sendiri sahaja tidak mampu”.
Pemberitahuan kemenangan ini disokong pula oleh satu ayat lain iaitu ayat 9 dari surah Al-Anfal yang maksudnya :
“Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankanNya bagimu : “Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”.
Demikianlah Al-Qur’an mengkhabarkan mereka bahawa kaum Muslimin akan menang dan pasukan dari Mekah yang keluar menyerbu kaum Muslimin akan kalah dan melarikan diri. Siapakah yang dapat menceritakan hal yang sedemikian itu kalau bukan Allah S.W.T. yang Maha Berkuasa ? Ternyata apa yang telah dikhabarkan benar-benar berlaku tepat sebagaimana yang disebut di dalam Al-Qur’an.
3. Perkhabaran mengenai kemenangan Rom ke atas Parsi
Berita kemenangan tersebut telah dinyatakan dalam surah Rum ayat 1-6 yang maksudnya :
“Alif Lam Mim, telah dikalahkan bangsa Romawi, di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan akan menang, dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allahlah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang) dan di hari (kemenangan bangsa Romawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman. Dengan kemenangan yang diberi oleh Allah, ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah jua yang Maha Kuasa lagi Maha Mengasihani. Demikianlah dijanjikan Allah, Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”.
Dalam satu peperangan, tentera Rom telah dikalahkan oleh tentera Parsi. Peristiwa ini telah menyebabkan kaum Musyrikin Mekah bergembira kerana menganggap kemenangan tersebut adalah kemenangan mereka juga. Sebaliknya kaum Muslimin berdukacita kerana merasakan bahawa keimanan telah dikalahkan. Ini kerana orang-orang Rom adalah ahli kitab manakala orang-orang Parsi adalah orang Majusi penyembah api.
Kemudian turun ayat tersebut yang menerangkan bahawa meskipun orang-orang Rom telah tewas tetapi mereka akan menang dalam beberapa tahun lagi. Maka kaum Muslimin kembali gembira apabila mendengar perkhabaran ini dan kira-kira sembilan tahun kemudian, Rom telah berjaya mengalahkan Parsi. Maka terbuktilah kebenaran perkhabaran yang diceritakan oleh Al-Qur’an.
4. Perkhabaran tentang musuh Allah
Ayat-ayat Al-Qur’an banyak menjelaskan tentang azab yang ditimpakan kepada para pembesar Quraisy yang memusuhi Allah dan RasulNya. Sedangkan telah berkali-kali Rasulullah S.A.W. menyeru mereka agar menerima Islam sebagai pegangan hidup. Namun mereka bukan hanya menolak seruan dakwah tersebut, malahan menentang Rasulullah S.A.W.
Berikut dibawakan beberapa perkhabaran mengenai pemuka Quraisy yang menerima azab Allah S.W.T. dan mati dalam keadaan kufur kerana keangkuhan mereka sendiri.
i) Kebinasaan Abu Lahab
Allah S.W.T. berfirman dalam surah Al-Masad ayat 1-5 yang maksudnya :
“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan binasalah ia bersama. Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya seorang perempuan pemunggah kayu api. Dilehernya sejenis tali dari tali-tali yang dipintal”.
ii) Kebinasaan Abu Jahal
Allah S.W.T. berfirman dalam surah Ad-Dukhan ayat 43-49 yang maksudnya :
“(Ingatlah) sesungguhnya pokok Zaqqum, (buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka). (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. (Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga neraka) : “Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah neraka. Kemudian curahkanlah di atas kepalanya azab seksa dari air panas yang menggelegak”. (Serta dikatakan kepadanya secara mengejek) “Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat dalam kalangan masyarakatmu”.
iii) Kebinasaan Al-Akhnas bin Syuraikh
Kisahnya dinyatakan dalam firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Humazah ayat 1 – 4 yang maksudnya :
“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji. Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya. Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini). Tidak, sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam al-Hutamah”.
Demikianlah kemukjizatan Al-Qur’an dalam membawa perkhabaran tentang perkara yang akan datang terutamanya penjelasan Al-Qur’an tentang nasib yang akan menimpa musuh-musuh Islam.
Kepentingan menghayati Al-Qur’an sebagai mukjizat
Jelaslah kepada kita bahawa dalam ketiga-tiga aspek kemukjizatan Al-Qur’an yang membawa perkhabaran tentang perkara ghaib, manusia tidak mampu untuk mengetahui perkara yang telah berlaku pada masa lepas, pada masa kini apatah lagi perkara yang akan berlaku pada masa hadapan. Manusia sebagai makhluk sangat lemah untuk mengetahui perkara-perkara ghaib berbanding dengan pengetahuan Allah S.W.T. sebagai Pencipta yang mempunyai sifat Maha Mengetahui.
Kesemua ini menjadi suatu dalil yang jelas bahawa Al-Qur’an adalah mukjizat yang di dalamnya terkandung dustur Ilahi iaitu perlembagaan dan panduan hidup manusia yang melangkaui batas pemikiran manusia dan tidak dapat disangkal selama-lamanya oleh mana-mana individu sekalipun. Justeru, kemukjizatan Al-Qur’an bukan hanya membenarkan kenabian Rasulullah S.A.W., bahkan ianya sekaligus menetapkan suatu kenyataan bahawa Al-Qur’an datangnya dari Allah. Maka Allahlah Tuhan Yang Maha Berkuasa yang selayaknya disembah oleh semua makhluk.
Suatu hakikat yang sering dilupakan dalam kerancakan manusia mencipta dan menemui sesuatu yang baru pada alaf ini ialah mereka sebenarnya kosong dari segala pengetahuan melainkan dengan meneliti dan dan membongkar khazanah kitab suci Al-Qur’an. Kehebatan tokoh-tokoh silam umpamanya adalah kerana mereka mengkaji dan menguasai ilmu yang terkandung di dalam Al-Qur’an, selain dari sifat rendah hati apabila berhadapan dengan kenyataan-kenyataan di dalam Al-Qur’an.
Kefahaman yang mendalam mengenai kemukjizatan Al-Qur’an sangat releven pada masa sekarang bagi memudahkan kita menghayati dan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.
Kepatuhan dan ketaatan yang berlandaskan pada kefahaman yang tepat dan penghayatan yang mendalam akan melahirkan individu-individu yang mampu membentuk masyarakat contoh atau ummah terbaik sebagaimana yang disarankan oleh agama Islam.
Wallahu’alam….

23/07/2012

Author : Unknown Time : 3:28:00 pm Total Comment : 0

Adakah Aku Masuk Syurga


Daripada Abi Abdillah Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Bagaimana pendapatmu jika aku melakukan solat-solat fardhu (lima waktu), berpuasa pada bulan Ramadhan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram serta tidak menambahkan selain itu sedikitpun, adakah aku akan masuk ke dalam syurga? Nabi SAW menjawab: Ya.”
(Riwayat Muslim)
Makna mengharamkan yang haram adalah menjauhinya sedangkan pula menghalalkan yang halal ertinya melaksanakannya dengan keyakinan akan kehalalannya, untuk ke syurga adalah jelas dan mudah kerana Allah telah menetapkan bagi seseorang batasan-batasan, amalan-amalan dan larangan-larangan yang terkandung dosa jika mengingkarinya dan beroleh pahala jika melaksanakan segala perintah Allah Ta’ala , apabila seseorang itu memilih jalan yang di redai Allah syurga baginya, InsyaAllah.
Apa yang paling penting adalah iltizam seseorang itu dengan segala apa yang telah di fardukan dan meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh agama Islam, sesungguhnya Allah SWT tidak meletakkan kesusahan dan bebanan yang tidak mampu dipikul oleh hamba-hamba Nya, sepertimana firman Allah Ta’ala didalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud: ” Allah menghendaki yang mudah dan tidak menghendaki yang sukar bagi kamu.” (al-Baqarah: 185)
Sememangnya jika kita mengharapkan kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat maka kita hendaklah menjadi TAMAK untuk menempati kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT, tidak meninggalkan amalan sunat dan tidak pula mendekati perkara yang makruh. Demikian juga tidak seharusnya membeza-bezakan antara amalan yang dituntut sama ada yang wajib mahupun yang sunat sebagaimana juga kita tidak akan membeza-bezakan diantara perkara yang jelas dicegah iaitu haram dengan perkara yang tidak digalakkan seperti makruh.
Antara Sifat-Sifat Syurga Dan Ahlinya
Syurga adalah destinasi terakhir golongan orang yang beriman kepada Allah Ta’ala, ia di idalam-idamkan setiap Muslim.
Abu Laits meriwayatkan dengan sanadnya, daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Ya Rasulullah dari apakah dibuat syurga itu? Jawabnya: Dari Air. Kami bertanya:Beritakan tentang bangunan syurga! Jawabnya yang bermaksud: Satu bata dari emas dan satu bata dari perak dan lantainya kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari za’faran, kerikilnya mutiara dan yakut, siapa yang masuk ke dalamnya senang tidak susah, kekal tidak mati tidak lapuk pakaiannya, tidak berubah mukanya.
Abu Hurairah r.a. berkata: Demi Allah yang menurunkan kitab pada Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya ahli syurga tiap saat bertambah elok cantiknya, sebagaimana dahulu di dunia bertambah tua.
Anas bin Malik r.a. berkata: Jibril datang kepada Nabi s.a.w. membawa cermin putih yang ditengahnya ada titik hitam, maka Nabi s.a.w. bertanya kepada Jibril: Apakah cermin yang putih ini? Jawabnya: Ini hari Jumaat dan titik hitam ini saat mustajab yang ada di hari Jumaat, telah dikurniakan untukmu dan umatmu, sehingga umat-umat yang sebelummu berada di belakangmu, iaitu Yahudi dan nashara (Kristian) dan ada saat di hari Jumaat jika seorang mukmin bertepatan berdoa untuk kebaikan pada saat itu pasti ia akan diterima oleh Allah atau berlindung kepada Allah dari suatu bahaya pasti akan dihindarkannya dan hari Jumaat di kalangan kami (malaikat) dinamakan yaumul mazid (hari tambahan).
Nabi s.a.w. bertanya: Apakah yaumul mazid itu? Jawab Jibril: Tuhan telah membuat lembah di syurga jannatul firdaus, di sana ada anak bukit dari misik kasturi dan pada tiap hari Jumaat di sana disediakan mimbar-mimbar dari nur (cahaya) yang diduduki oleh para nabi dan ada mimbar-mimbar dari emas bertaburan permata yaqut dan zabarjad diduduki para siddiqin suhada’ dan solihin, sedang orang-orang ahli ghurof (yang di bilik syurga) berada di belakang mereka di atas bukit kecil itu berkumpul menghadap kepada Tuhan untuk memuja muji kepada Allah, lalu Allah berfirman: Mintalah kepadaKu. Maka semua minta (Kami mohon keredaanMu). Jawab Allah: Aku telah reda kepadamu, sehingga kamu Aku tempatkan di rumahKu dan Aku muliakan kamu, kemudian Allah menampakkan kepada mereka, sehingga mereka dapat melihat zatNya, maka tidak ada hari yang mereka suka sebagaimana hari Jumaat, kerana mereka merasa bertambahnya kemuliaan kehormatan mereka.
Dalam lain riwayat: Allah menyuruh kepada Malaikat; Berikan makan kepada para waliKu, maka dihidangkan berbagai makanan maka terasa pada tiap suap rasa yang lain dari semula, bahkan lebih lazat, sehingga bila selesai makan, diperintahkan oleh Allah: Berikan minum kepada hamba-hambaKu, maka diberi minuman yang dapat dirasakan kelazatannya pada tiap teguk dan ketika telah selesai maka Tuhan berfirman: Akulah Tuhanmu telah menepati apa yang Aku janjikan kepadamu dan kini kamu boleh minta nescaya Aku berikan permintaanmu.
Jawab mereka. Kami minta redaMu, Kami minta redaMu (dua tiga kali). Dijawab oleh Allah: Aku reda kepadamu, bahkan masih ada tambahan lagi daripadaKu, pada hari ini Aku muliakan kamu dengan kehormatan yang terbesar dari semua yang telah kamu terima.
Maka dibukakan hijab hingga mereka dapat melihat zat Allah yang Maha Mulia sekehendak Allah, maka segera mereka bersujud kepada Allah sekehendak Allah, sehingga Allah menyuruh mereka: Angkatlah kepalamu sebab kini bukan masa beribadat.
Maka di situ mereka lupa pada nikmat-nikmat yang sebelumnya dan terasa benar bahawa tidak ada nikmat lebih besar daripada melihat zat Allah yang mulia. Kemudian mereka kembali maka semerbak bau harum dari bawah arsy dari bukit kasturi yang putih dan ditaburkan di atas kepala mereka di atas ubun-ubun kuda mereka, maka apabila mereka kembali kepada isteri-isterinya terlihat bertambah indah lebih dari semula ketika mereka meninggalkan mereka sehingga isteri-isteri mereka berkata: Kamu kini lebih elok dari yang biasa.
Abul-Laits berkata: Terbuka hijab, bererti hijab yang menutupi mereka untuk melihatNya. Dan erti nasihat kepadaNya, yakni melihat kebesaran yang belum pernah terlihat sebelumnya, tetapi kebanyakan ahli ilmu mengertikan: Melihat zat Allah tanpa perumpamaan.
Ikrimah berkata: Ketangkasan ahli syurga bagaikan orang umur 33 tahun lelaki dan perempuan sama-sama, sedang tingginya enam puluh hasta setinggi Nabi Adam a.s. Muda-muda yang masih bersih halus tidak berjanggut, bola matanya memakai tujuh puluh macam perhiasan, yang berubah warnanya tiap-tiap jam, tujuh puluh macam warna, maka dapat melihat mukanya di muka isterinya, demikian pula di dadanya, di betisnya, demikian pula isterinya dapat melihat wajahnya di wajah suaminya, di dada dan di betisnya, mereka tidak berludah dan tidak berhingus.
Dalam riwayat lain: Andaikan seorang wanita syurga menunjukkan tapak tangannya dari langit nescaya akan menerangi antara langit dan bumi.
Zaid bin Arqam r.a. berkata: Seorang ahli kitab datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan bertanya: Ya Abal-Qasim apakah kau nyatakan bahawa orang syurga itu makan dan munum?
Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: Ya, demi Allah yang jiwa Muhammad ada di tangannya, seorang ahli syurga diberi kekuatan sertus orang dalam makan, minum dan jima’ (bersetubuh).
Dia berkata: Sedang orang yang makan, minum ia lazimnya berhajat, sedang syurga itu bersih tidak ada kotoran? Jawab Nabi s.a.w.: Hajat seseorang itu berupa peluh (keringat) yang berbau harum bagaikan kasturi.
Dari Al’amasy dan seterusnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Rombongan pertama akan masuk syurga dari umatku bagaikan bulan purnama, kemudian yang berikutnya bagaikan bintang yang amat terang di langit kemudian sesudah itu menurut tingkatnya masing-masing, mereka tidak kencing dan buang air, tidak berludah dan tidak hingus, sisir rambut mereka dari emas, dan ukup-ukup mereka dari kayu gaharu yang harum dan peluh mereka kasturi dan bentuk mereka seperti seorang yang tingginya bagaikan Adam a.s. enam puluh hasta.
Ibn Abbas r.a. berkata: Nabi Muhammad s.a.w. bersabda; Sesungguhnya ahli syurga itu muda semua, lurus, tidak ada rambut kecuali di kepala, alis (di kelopak mata), sedang janggut, misai, ketiak dan kemaluan tidak ada rambut, tinggi mereka setinggi Nabi Adam a.s. enam puluh hasta, usianya bagaikan Nabi Isa 33 tahun, putih rupanya, hijau pakaiannya, dihidangkan kepada mereka hidangan, maka datang burung dan berkata: Hai waliyullah, saya telah minum dari sumber salsabil dan makan dari kebun syurga dan buah-buahan, rasanya sebelah badanku masakan dan yang sebelahnya gorengan, maka dimakan oleh orang itu seboleh-bolehnya.
Antara Syarat Untuk Masuk Syurga
Abul-Laits berkata: Sesiapa yang ingin mendapat kehormatan berupa syurga yang penuh kenikmatan itu hendaklah menepati lima perkara, iaitu:
1. Menahan dari maksiat, kerana firman Allah yang bermaksud: Dan menahan nafsu dari maksiat maka syurga tempatnya.
2. Rela dengan pemberian yang sederhana sebab tersebut dalam hadis: Harga syurga itu ialah tidak rakus pada dunia.
3. Rajin, taat dan semua amal kebaikan, sebab kemungkinan amal itulah yang menyebabkan pengampunan dan masuk syurga, firman Allah SWT: Itu syurga yang diwariskan kepadamu kerana amal perbuatanmu.
4. Cinta pada orang-orang yang salih dan bergaul dengan mereka sebab mereka diharapkan syafa’atnya sebagaimana dalam hadis: Perbanyaklah kawan, kerana tiap kawan itu ada syafaatnya pada hari kiamat.
5. Memperbanyakkan doa dan minta masuk syurga dan husnul khatimah.
Yahya bin Mu’adz Al-Razi berkata: Meninggalkan dunia berat, tetapi meninggalkan syurga lebih berat, sedang maharnya syurga ialah meninggalkan dunia.
Anas bin Malik r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Siapa yang minta kepada Allah syurga sampai tiga kali, maka syurga berdoa: Ya Allah masukkan ia ke syurga dan siapa berlindung kepada Allah dari neraka tiga kali, maka neraka berdoa: Ya Allah hindarkan ia dari neraka.
Wallahu’alam….
Rujukan:
– Al-Quran & Hadis
– Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
– Himpunan Hadis Pilihan oleh Harun Arrassyid Hj. Tuskan

 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.