Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)

05/08/2012

Author : Cahaya Kebaikan Time : 3:38:00 pm Total Comment : 0

Dari Ateis Kepada Islam - Dr. Jeffrey Lang


Dr. Jeffrey Lang dulu cabar kewujudan Tuhan.

BERKULIT putih dan berambut perang kini menjadi wajah-wajah pendakwah Islam kontemporari. Ini termasuklah Profesor Matematik di Universiti Kansas, sebuah universiti yang terkemuka di Amerika Syarikat (AS), Dr. Jeffrey Lang.

Beliau tidak sahaja berkongsi pengalaman uniknya memeluk Islam pada 1982 tetapi beliau menulis buku tentang pengislamannya bagi membuka hati-hati yang selama ini tertutup untuk mengakui kebesaran Tuhan.

Setelah memeluk Islam dan mendirikan solat lima kali sehari semalam, Dr. Jeffrey berkata, ibadat tersebut begitu memberikan kepuasan pada jiwanya terutama ketika mendirikan solat subuh. Ia adalah detik-detik paling indah yang pernah dilaluinya.

“Itu adalah saat anda meninggalkan buat sementara alam dunia ini kerana ternyata dalam suasana sunyi dan sepi itu serta bersama barisan malaikat, kita saling memuji (berzikir) terhadap Allah s.w.t. menunggu terbitnya sang mentari,” katanya.

Apabila ditanya bagaimana beliau begitu tertawan dengan al-Quran yang menggunakan bahasa Arab sedangkan bahasa itu begitu asing baginya selama ini.

Jawab Dr. Jeffrey: 
“Bagaimana pula seorang bayi (yang tidak mengerti apa-apa) dapat ditenteram hanya setelah mendengar suara ibunya?”

Dr. Jeffrey yang dilahirkan pada 30 Januari 1954 di Bridgeport, Connecticut, AS mengisytiharkan dirinya seorang yang tidak percayakan Tuhan atau ateis ketika berusia 18 tahun walaupun dibesarkan dalam keluarga yang kuat mengamalkan Judeo-Kristian Katolik.

“Saya mempersoalkan jika ada Tuhan yang Maha Penyayang lagi Mengasihani mengapa ada umat yang dibiarkan menderita di muka bumi ini? 
Kenapa tidak diciptakan sahaja syurga itu di muka bumi ini? 
Kenapa diciptakan manusia untuk menderita,” katanya.

Pemikiran seperti itu dibentuk sejak beliau belajar di Sekolah Tinggi Lelaki Notre Dame (sebuah sekolah mubaligh Kristian) sehinggalah melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah, sarjana dan kedoktoran dalam bidang matematik.

“Sebagaimana bidang itu yang berteraskan logik akal dan bermain dengan fakta dan angka, begitulah juga cara minda saya bekerja.

“Saya akan cukup kecewa apabila sesuatu itu tidak dapat dibuktikan secara konkrit. Selagi tidak dapat dibuktikan secara logik mengenai Tuhan, bagaimana saya dapat percaya adanya Tuhan,” katanya.

Sehinggalah pada suatu malam beliau bermimpi.

“Saya dapati saya berada di sebuah bilik yang berdinding cat putih, kosong. Tidak ada sebarang perabot di dalamnya kecuali hamparan permaidani yang berjalur rona merah dan putih.

Terdapat juga satu tingkap kecil yang mampu membenarkan cahaya matahari masuk bagi menghangatkan bilik itu.

“Ketika itu terdapat tiga barisan lelaki sedang berdiri dan saya di barisan yang ketiga dan masing-masing berdiri menghadap tingkap kecil itu.

“Saya rasa begitu terasing kerana tidak mengenali sesiapa pun di situ dan seolah-olah seperti berada di negara lain. Kami kemudian melakukan tunduk sehingga ke paras pinggang, 
diikuti muka yang diletakkan hampir mencium tanah.

“Suasana begitu sunyi seolah-olah semua bunyi lain telah dimatikan. Apabila kami duduk semula, baru saya dapati perbuatan kami tadi diketuai oleh seorang lelaki yang saya hanya dapat perhatikan bahagian belakangnya.

“Dia berdiri seorang diri di tengah-tengah barisan kami itu dengan mengenakan jubah putih yang panjang dan mengenakan selendang pada kepalanya. Saya kemudiannya terjaga daripada mimpi itu,” katanya.

Sebenarnya sepanjang 10 tahun sebagai ateis, mimpi seperti itu sering kali mendatangi tidur Dr. Jeffrey. Tetapi beliau tidak pernah menghiraukannya walaupun ada satu perasaan ganjil setiap kali terjaga daripada mimpi itu.

Selepas 10 tahun melanjutkan pelajaran di universiti, beliau kemudian ditugaskan sebagai pensyarah di Universiti San Francisco.

Di situ buat pertama kalinya beliau bertemu Mahmoud Qandel iaitu seorang pelajar Islam yang mengikuti pengajiannya. Dr. Jeffrey mula bersahabat baik dengan Mahmoud dan sering mengunjungi rumah dan keluarga pelajar berkenaan.

Namun soal agama tidak pernah menjadi topik dalam setiap perbualan mereka sehinggalah pada suatu hari Dr. Jeffrey dihadiahkan senaskhah al-Quran dan beliau berjanji pada dirinya tidak akan berpaling tadah apabila membaca kitab suci itu.

Malah beliau membacanya dengan penuh prejudis terhadap Islam. “Tetapi kamu tidak boleh membaca al-Quran begitu sahaja, kecuali kamu perlu serius mendalaminya. Akibatnya sama ada kamu terus menyerah kalah (kepada kebenaran Tuhan dan agama) atau menyebabkan anda melancarkan satu peperangan kerana isi kandungannya berlawanan dengan kepercayaan anda selama ini.

“Dan saya termasuk golongan yang kedua itu. Tetapi peperangan ini sungguh menarik kerana didapati lama-kelamaan saya semakin tidak dapat mempertahankan diri saya sendiri. Seolah-olah al-Quran itu lebih mengenali dan mengetahui setiap inci kelemahan diri saya berbanding saya mengenali diri saya sendiri.

“Malah Dia sedang membaca fikiran saya. Setiap malam pelbagai persoalan timbul dalam pemikiran saya, tetapi saya beroleh jawapannya melalui al-Quran keesokan harinya.

“Kitab itu mampu memadamkan sedikit demi sedikit fahaman yang saya bina selama ini. Malah kitab itu kini memimpin saya, mengajak saya ke satu sudut kebenaran yang mampu saya terima kerana ia sangat logik,” imbas Dr. Jeffrey ketika al-Quran mula diperkenalkan kepadanya.

Sehinggalah pada suatu hari ketika berusia 28 tahun, Dr. Jeffrey terjumpa sebuah bilik yang terletak di tingkat bawah sebuah gereja di universiti.

Bilik itu agak pelik kerana ia mengingatkan beliau pada sesuatu.Kemudian beliau diberitahu bahawa bilik itu sebenarnya dijadikan surau bagi membolehkan pelajar Islam di universiti itu mendirikan solat.
Beliau kemudian terpaku di situ sambil mindanya bergelut dengan pelbagai perkara. Dr. Jeffrey merasakan dirinya mempunyai kekuatan untuk melakukan satu perubahan pada pendirian dan falsafah hidupnya selama ini.

Kini beliau meyakini bahawa Tuhan itu wujud, malah kerana adanya Tuhanlah, dengan kekuasaan-Nya itu Dia mampu mengubah dan menggoyahkan pegangannya selama ini yang tidak percayakan Tuhan.
Tanpa membuang masa, beliau melafazkan dua kalimah syahadah bersaksikan beberapa pelajar Islam yang ketika itu hendak menunaikan solat di bilik itu.

Seolah-olah berlaku satu perayaan, mereka semua gembira dengan perubahan besar yang dilakukan Dr. Jeffrey itu lalu mereka mendirikan solat Asar berjemaah dan berdoa bagi meraikan kehadiran saudara baru itu.

Seusai solat, tiba-tiba Dr. Jeffrey menggigil ketakutan.

“Mimpi itu! Ya mimpi itu! Suasana kami mendirikan solat jemaah sebentar tadi tidak ubah seperti yang selalu datang dalam mimpi saya.

“Bilik ini, para jemaah dan pergerakan solat itu seperti yang selalu saya mimpikan. Betapa hebat kebetulannya dan sukar untuk saya mempercayainya.

“Saya cuba memfokuskan semula fikiran ekoran apa yang berlaku itu. Setelah menarik nafas saya seolah-olah disirami rasa dingin yang menjalar ke seluruh badan. Tuhan! Ia adalah satu kenyataan, sejurus itu juga air mata saya mengalir laju membasahi pipi,” katanya.

Perjalanan seseorang untuk memeluk Islam adalah begitu unik dan berbeza antara satu sama lain. Seperti yang berlaku pada Dr. Jeffrey, daripada seorang yang mencabar mengenai kewujudan Tuhan, beliau kini seorang yang mempunyai kepatuhan yang tidak berbelah bagi terhadap Allah.

Daripada seorang panglima ateis yang begitu bengis dengan menjadikan al-Quran sebagai musuh, beliau akhirnya mengaku kalah dan tunduk kepada kitab itu.

“Semua yang saya anggap selama ini begitu hebat di kepala (ateis) kini kedudukannya berada di atas tanah, sujud sebagai tanda penyerahan diri kepada-Nya,” katanya.

Dr. Jeffrey berkahwin dengan seorang wanita warga Arab bernama Raika dan dikurniakan tiga orang anak perempuan. Beliau kini giat berdakwah di kalangan rakyat kulit putih Amerika.

Untuk tujuan dakwah, beliau juga menulis buku-buku. Antara yang begitu mendapat sambutan di AS ialah 

Struggling To Surrender - Some Impressions Of An American Convert To Islam (Beltsville, 1994)

Even Angels Ask: A Journey To Islam In America (Betsville, 1997)

Losing My Religion: A Call For Help (Betsville, 2000).

Buku-buku tersebut menjelaskan kepada kita bagaimana fakta-fakta daripada al-Quran dan ajaran Islam mampu menangkis fahaman ateis. 

Wallahualam...

0 Komen:

 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.