Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)

22/05/2014

Author : Unknown Time : 3:53:00 pm Total Comment : 0

Kisah Pengajaran dari Surah Al-Buruuj (4-8)


Suatu masa dahulu ada seorang Raja zalim di sebuah negeri yang mengaku dirinya tuhan. Raja kepada negeri tersebut mempunyai ahli sihir yang sangat handal. Namun ahli sihir tersebut sangat tua dan selalu sakit. Beliau merasakan ajalnya telah hampir. Lalu ahli sihir itu meminta kepada Raja supaya mencarikan seorang kanak-kanak untuk dijadikan perintis ahli sihir.

Raja berkenan mencarikan seorang budak yang pandai untuk diajarkan sihir. Seorang kanak-kanak yang pandai di dalam negeri tersebut telah dipilih oleh pembantu Raja. Setiap hari kanak-kanak itu akan pergi ke istana untuk belajar sihir. Pelbagai teknik sihir yang merupakan ilmu hitam diajar kepada kanak-kanak tersebut (sihir memerlukan pengamal berkawan dengan jin/syaitan untuk mendapatkan kuasa). Ilmu ini merupakan ilmu sesat.

Dalam perjalanan kanak-kanak tersebut dari istana, beliau berjumpa dengan seorang alim. Orang alim tersebut mengajar ilmu tauhid untuk menyembah Allah. Ilmu baik pun dipelajari, dalam masa kanak-kanak ini belajar ilmu sihir. Akhirnya berlaku pertentangan dalam jiwa kanak-kanak tersebut. Namun kanak-kanak itu (dengan hidayah dan inayah Allah), lebih cenderung kepada ilmu yang disampaikan oleh orang alim tersebut.

Pada suatu hari semasa dalam perjalanan ke istana, kanak-kanak tersebut terserempak dengan seekor binatang buas yang sangat besar. Binatang tersebut membuat huru-hara di suatu kawasan laluan orang ramai. Kanak-kanak tersebut dengan beraninya mengambil sebiji batu lalu berdoa, “Ya Allah, sekiranya ilmu yang diajarkan oleh orang alim itu betul, dan ahli sihir itu salah, Kau matikan lah binatang buas itu dengan batu ini”. Lalu dibaling batu ke arah binatang buas tersebut (dengan keyakinan pada Allah, tanpa dibantu dengan ilmu sihir). Binatang itu rebah lalu mati dengan balingan batu kanak-kanak tersebut. Lalu kanak-kanak itu sedar bahawa ajaran orang alim benar, dan ahli sihir salah.

Disebabkan binatang tadi, kanak-kanak itu lambat sampai kepada ahli sihir. Lalu ahli sihir bertanya kenapa beliau lambat. Kanak-kanak itu menjawab dengan beraninya, “Saya ada urusan lain. Saya belajar mengenal Allah”. Ahli sihir terkejut dan marah, lalu bertanya siapa yang mengajar tentang Allah. Kanak-kanak itu pun bercerita tentang orang alim di mana beliau belajar.

"Selama ini tuhan kamu siapa?”, bentak ahli sihir. “Tuhan saya, ahli sihir dan Raja adalah Allah”, jawab si kanak-kanak dengan berani. “Bukan! Tuhan kita adalah Raja”, sekali lagi ahli sihir menegaskan. “Tidak, tuhan kita adalah Allah”, kanak-kanak itu tetap dengan pendiriannya.

Ahli sihir pergi mengadap Raja untuk melaporkan tentang peristiwa itu. Raja menitahkan kanak-kanak itu dan orang alim ditangkap. Raja bertanya kepada orang alim, “Benarkan engkau telah mengajar kanak-kanak ini Allah itu tuhan kamu?”. “Benar!”, orang alim menjawab. Raja menitahkan orang alim dibelah kepala dengan gergaji kerana tidak mahu mengaku Raja adalah tuhan. Orang alim pun mati dibelah kepala.

Raja bertanya kepada kanak-kanak itu, “Siapa tuhan kamu?”. “Tuhan saya tetap Allah”, jawab beliau dengan berani. Raja menitahkan pengawal membawa kanak-kanak itu ke lereng bukit dan lepaskan dari atas bukit.
Sampai di atas bukit, dengan izin Allah, bukit bergegar. Pengawal semua jatuh dari atas bukit dan mati. Namun kanak-kanak itu selamat lalu kembali ke istana berjumpa Raja. Raja hairan bagaimana beliau boleh terlepas. Kanak-kanak memberitahu tentang insiden bumi bergegar, dan pengawal semua mati, cuma beliau yang terselamat.

Sekali lagi Raja memanggil pengawal dan mengarahkan kanak-kanak itu di bawa ke tengah laut (dengan menaiki kapal laut) dan dicampak ke dalam laut. Sampai ditengah laut ombak besar melanda kapal, semua pengawal lemas kecuali kanak-kanak itu selamat dengan bantuan Allah. Kanak-kanak tersebut pun kembali semula ke istana dengan selamat.

Sampai di istana Raja sekali lagi hairan dan mati akal untuk membunuh kanak-kanak itu. Dengan selambanya kanak-kanak itu memberi cadangan kepada Raja, “Bunuhlah aku di depan orang ramai dengan menggunakan anak panah. Aku hanya akan mati sekiranya Raja menyebut ‘aku bunuh budak ini dengan nama Allah tuhan budak ini’  sebelum melepaskan anak panah dari busur”.

Dengan gembira Raja mengikat kanak-kanak itu di khalayak ramai. Beliau juga mengarahkan orang ramai supaya berkumpul menyaksikan acara tersebut. Sebelum melepaskan anak panah Raja menjerit, “Aku bunuh budak ini dengan nama Allah tuhan budak ini!”. Anak panah dilepaskan dan budak itu pun mati (dalam iman).

Orang ramai yang hadir berasa marah dengan Raja. Mereka terus beriman kepada Allah beramai-ramai (dianggarkan 20 ribu) selepas mendengar seruan nama Allah oleh Raja. Kanak-kanak itu telah berjaya mengIslamkan ramai dari kalangan khalayak dengan kematiannya. Raja sangat murka kerana telah terpedaya, terus mengarahkan pengawal mengepung semua orang yang telah tertarik untuk mengenal Allah. Raja mengarahkan supaya digali lubang besar dan dibuat api yang besar di dalam lubang tersebut. Orang ramai yang mengaku telah beriman kepada Allah ditendang masuk ke dalam lubang tersebut.

Kemudian Allah datangkan satu bala tentera (kaum lain) menyerang Raja dan pengikutnya. Semua mereka mati disebabkan kelakuan mereka yang melampui batas. Kisah ini diceritakan dalam al-Quran mengenai kaum yang menggali parit (lubang) dan dibakar orang-orang yang beriman di dalam parit itu.

Surah al-Buruuj (85 ayat 4-8).


4. Celakalah kaum Yang menggali parit,
5. (Parit) api Yang penuh Dengan bahan bakaran,
6. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya,
7. Sambil mereka melihat apa Yang mereka lakukan kepada orang-orang Yang beriman.
8. Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang Yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!


0 Komen:

 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.