Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)
Showing posts with label CINTA ISLAM. Show all posts
Showing posts with label CINTA ISLAM. Show all posts

31/10/2014

Author : Unknown Time : 3:06:00 pm Total Comment : 0

Siapa ...


Siapakah orang yang sibuk?

Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Siapakah orang yang manis senyumanya? 

Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman. :)

Siapakah orang yang kaya? ^_^

Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?

Orang yang miskin adalah orang yang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa mengumpul-ngumpulkan harta.

Siapakah orang yang rugi?

Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Siapakah orang yang paling cantik? 

Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yg baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?

Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?

Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?

Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.

WALLAHUA'LAM

30/10/2014

Author : Unknown Time : 12:57:00 pm Total Comment : 0

Pesanan Syeikh Ahmed Yassin

Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada ALLAH swt dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kalian. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh secara berjemaah. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad saw...

Aku menyeru kalian wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya. Lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku, untuk mendekat diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.

Wahai para PEMUDA, aku ingin kalian menyedari dan menghayati makna tanggungjawab. Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh kesah. Aku menyeru kalian untuk menghadap ALLAH SWT dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kalian. Aku menyeru kalian supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.

Aku ingin kalian tidak tertidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantikannya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada ALLAH. Wahai anak-anakku, aku amat berharap kalian tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat.


Wahai puteriku para PEMUDI, aku ingin kalian berjanji kepada ALLAH akan mengenakan hijab secara jujur dan betul. Aku meminta kalian berjanji kepada ALLAH bahawa kalian akan mengambil peduli tentang agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kalian, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kalian. Haram hukumnya bagi kalian untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda supaya mendekati kalian.

Kepada semua, aku ingin kalian bersiap sedia untuk menghadapi segala sesuatu yang akan datang. Bersiaplah dengan agama dan ilmu pengetahuan. Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah. Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat. Latihlah diri kalian agar dapat hidup tanpa elektrik dan peralatan elektronik. Latihlah diri kalian untuk sementara waktu merasakan kehidupan yang sukar.

Biasakan diri kalian agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan. Berpeganglah kepada agama kalian. carilah sebab-sebabnya dan tawakal kepada ALLAH...

#Berubahlah

20/06/2014

Author : Unknown Time : 8:12:00 pm Total Comment : 1

Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia (Penipuan Fakta)


Oleh : Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al Hafiz {1}

Seringkali dicanang dan dimomokkan di dalam cerita seram yang ditayangkan di television bahawa sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia. {2} Kenyataan ini meragukan kerana tidak pernah dinyatakan asas sandarannya daripada Al-Quran dan hadis. Bagaimanapun, ia seolah-olah sudah menjadi fakta yang diterima ramai sehingga penerbit filem seram berani menggunakan kenyataan di atas sebagai dialog yang digunakan di dalam filem mereka.

Asas pertama yang perlu dipegang apabila membicarakan perihal jin dan malaikat ialah keimanan kepada perkara ghaib. Oleh kerana alam jin adalah alam ghaib yang terhalang daripada alam nyata. Manusia tidak boleh berbicara tentang jin kecuali mengikut neraca Al-Quran dan Al-Sunnah.

Firman Allah SWT :

يَا بَنِي آدَمَ لا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُمْ مِنَ الْجَنَّةِ يَنْزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لا تَرَوْنَهُمْ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ

Wahai anak-anak Adam! janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman. (Al-Araf :27) 

Hanya kedua-dua sumber itu mampu menelah dan menembusi alam jin. Sesiapa sahaja yang ingin mengutarakan buah fikiran mengenai alam jin perlu terlebih dahulu merujuk Al-Quran dan Al-Sunnah supaya umat Islam tidak berpegang kepada asas yang rapuh, tidak berasas atau disuap dengan fakta karut dan khurafat yang tidak banyak membina iman dan minda.

Kenyataan yang terlalu umum sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia ini secara tidak langsung akan menzalimi sebahagian jin Islam yang dipuji Allah SWT dan disebut kisah mereka di dalam Al-Quran. Mereka ialah generasi awal jin Islam yang bertanggungjawab menyebarkan Islam kepada makhluk jin kerana jin dan manusia mempunyai tanggungjawab agama dan akan dihisab di akhirat kelak (Al-Rahman [55:31-36]).

Generasi awal jin Islam yang disebut kisah mereka dalam Al-Quran ini selayaknya digelar sahabat nabi kerana memenuhi ciri serta takrifan para ulama hadis iaitu sesiapa sahaja yang bertemu dan beriman dengan Nabi Muhammad SAW.

Sekiranya kenyataan sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia ini terus dipegang, kita secara tidak langsung akan menghukum para sahabat Nabi Muhammad SAW jauh lebih jahat daripada manusia, sedangkan para ulama sepakat mengatakan para sahabat adalah adil dan baik.

Generasi awal jin ini juga diiktiraf sebagai rasul atau utusan pendakwah dalam kalangan mereka.

Firman Allah SWT :

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالإنْسِ أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِي وَيُنْذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا قَالُوا شَهِدْنَا عَلَى أَنْفُسِنَا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَشَهِدُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَنَّهُمْ كَانُوا كَافِرِينَ

"Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu rasul-rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?"(Al-An'am : 130)

Hakikatnya, para rasul hanya diutus dalam kalangan manusia. Namun begitu, rasul dari kalangan jin dalam ayat ini adalah wakil kepada rasul atau pendakwah dari kalangan jin yang mendengar bacaan Al-Quran yang dibaca oleh Nabi Muhammad SAW(Tafsir al-Razi). Kisah mereka ini boleh didapati di dalam Al-Quran.

Sebuah hadis turut merekodkan baginda Rasulullah SAW pernah memuji para sahabatnya dari golongan jin yang begitu sensitif terhadap Al-Quran. Baginda pernah membacakan surah Al-Rahman dari awal sehingga akhir kepada para sahabat. Selain itu, para ulama hadis seperti Imam Ibn Hajar Al-Asqalani tidak ketinggalan menyenaraikan nama golongan awal jin bersama nama para sahabat nabi yang lain. Antara nama yang disebut adalah Zawba'ah, Al-Adras, Hasir, Khasir dan sebagainya (Al-Isabah fi Ma'rifat aAl-Sahabah).

Mungkin ada segelintir pihak cuba mempertahankan kenyataan meragukan tersebut dengan mengatakan bukti harian jelas menunjukkan jin banyak melakukan kerosakan dan kebiadapan terhadap manusia. Banyak sekali hasutan dan rasukan berlaku yang memporak perandakan hidup manusia. Sebenarnya kejahatan serta kebiadapan itu tidak hanya berpunca daripada jin, bahkan ia juga berpunca daripada kejahatan manusia.

Firman Allah SWT :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (٤١)قُلْ سِيرُوا فِي الأرْضِ (٤٢)فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلُ كَانَ أَكْثَرُهُمْ مُشْرِكِينَ

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah SWT hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi ini, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan). Kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik." (Al-Rum : 41-42)

Oleh itu, pihak yang selalu menggunakan kenyataan tersebut perlu terlebih dahulu merujuk kepada sumber Islam bagi mengelakkan kejadian sebegini terus berlaku.

_______________________________________
1.Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz ialah Pensyarah Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. 
2.Filem lakonan Fara Fauzana dan Mawi bertajuk Jin Notti terbukti menggunakan dialog "sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia" menerusi watak yang dibawakan oleh Fara Fauzana. Secara tidak langsung, kenyataan itu semakin kuat dipegang oleh kebanyakan penonton kini.


18/06/2014

Author : Unknown Time : 6:50:00 pm Total Comment : 0

Muhammad SAW tidak gila

"Kau gila, Muhammad.. kau gila"
Orang musyrikin mekah tidak habis-habis menuduh insan bernama Muhammad Bin Abdullah ini gila.
Mana tidaknya..

Naik ke langit dalam satu malam ? Hamba setaraf dengan tuannya? Bertemu dengan utusan tuhan ( malaikat jibril) ?
Ramai yang ketawa dan menganggap Muhammad bin Abdullah ini gila walaupun ketika itu baginda terkenal dengan sifat Al-amin.. sentiasa jujur dan tidak berbohong..

Namun begitu.. 
Siapa nak percaya? 

********************************************************************************** 


"Apakah orang-orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya bercantum sebagai satu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya.dan kami jadikan dari air, setiap benda yang hidup , Maka, mengapa mereka tidak mahu beriman" ( Al-Anbiya' : 30 )


"Alam semesta terhasil daripada satu letupan kuat ( cosmix explotion) sebuah objek yang sangat panas dan mampat dan kemudiannya berlakunya proses pengembangan dan penyejukan (expanding and cooling) , membentuk ke semua galaksi-galaksi , planet-planet, bintang-bintang dan seumpamanya .Ianya berlaku 12-20 bilion tahun yang dulu."

Ini adalah teori penciptaan alam semesta
Teori BIG BANG
Teori ini pada asalnya diasaskan dari formula General Theory of Relativity yang diutarakan oleh Albert Einstein pada tahun 1915. 


1974, Stephen Hawking telah mengukuhkan lagi teori big bang ini dengan penemuan teori 'Black hole'

Dan saintis melengkapkan teori ini pada 2009, dengan penemuan teknik mengira jangka tarikh letupan dengan lebih tepat.

saintis mendapati terdapatnya kesan radioaktif sejurus selepas kapal angkasa yang dihantar mereka melepasi lapisan atmosfera bumi .ini membuktikan pernah berlakunya letupan yang besar suatu masa dahulu ...mengukuhkan lagi teori Bing Bang ini... 


Maha Suci Allah...
Mari kita lihat turutan teori-teori yang dikemukan dari dulu hingga sekarang.


140 SM -
Claudius Ptolemeus , mengemukakan teori Bumi adalah pusat alam. Teori ini diterima dan dijadikan pegangan gereja.

610-
Al-Quran diturunkan, Nabi Muhammad SAW mengajar al-quran kepada manusia.

1543-
Nicolaus Copernicus ,mengatakan matahari adalah pusat alam(teori heliosentrik) . Copernicus digambarkan Martin Lurther sebagai orang gila dan dikatakan melawan injil akibat teorinya. Teori ini memberi tamparan hebat bagi pihak gereja yang sebelum ini berbangga dengan teori Bumi adalah pusat alam kerana teori itu mengangkat bumi sebagai tempat yang mulia

1687-
Newton menemukan teori graviti, menerangkan tentang paksi-paksi dan orbit-orbit planet

1918-
Harlow Shapley berhasil menentukan pusat galaksi Bima
Sakti ( Matahari beredar mengikut orbit didalam galaksi Bima sakti)

1974-
Stephen Hawking telah mengemukakan teori big-bang ,asas pembinaan alam semesta

2009-
Teori big-bang dikemaskini dan diperincikan.




"Muhammad SAW tidak gila "

"Muhammad SAW bukan pembohong"


Lihatlah
Kebenaran Al-Quran,
Lihatlah 
Kebenaran Nabi Muhammad SAW, utusan Allah

Ketika teori Claudius Ptolemeus diterima umum yang mengatakan Bumi pusat alam dan menggambarkan bumi sebagai benda yang statik, Nabi Muhammad menerangkan..
“Kamu lihat gunung-gunung itu. Kamu sangka dia diam. Padahal, ia berjalan
sebagaimana jalannya awan… Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu
kerjakan”. (Q.S. An-Naml: 88)


Dan Mereka kata 
" Muhammad, kau dah gila"
cuba kita lihat penemuan sains hari ini... Adakah bumi itu tidak bergerak ? Adakah semua benda mengelilingi bumi? 
Tidak!
Tabahnya hati Al-Muallim Nabi Muhammad SAW ketika dia dituduh gila..

Ketika Harlow Shepley dapat menemukan galaksi bima sakti dan mendedahkan bahawa matahari juga berpusing mengikut orbit pada tahun 1918 , Nabi Muhammad SAW dulu mendedahkannya 1300 tahun sebelum Shepley.
“Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, Matahari dan Bulan. Masing-masing
beredar pada garis edar (orbit)-nya” (Al- Anbiya 33)

Dan apabila saintis-saintis hebat seperti Albert Einstein dan Hawking mendedahkan kejadian alam melalui teori Big-bang,
Nabi Muhammad SAW telah terlebih dahulu menceritakannya 1400 tahun dahulu.. 


Adakah Muhammad pembohong?

Adakah Muhammad GILA? 

************************************************************************************************
Benarlah kata Nabi Muhammad SAW
"Islam bermula dalam keadaan pelik (Ghuraba) ,ia akan kembali dalam keadaan pelik.Beruntunglah orang yang berpegang dengan islam ketika islam dalam keadaan pelik" Hadis Riwayat Muslim

Ketika Islam baru diperkenalkan.. Orang memandang islam janggal dan pelik..
Mana tidaknya
Rasulullah membawa ajaran yang mengatakan tuhan itu tiada rupa, persamaan taraf hamba dan tuan, melarang dari menyembah berhala, dan bermacam lagi 

sememangnya ajaran ini dianggap pelik kerana bertentangan dengan gaya hidup zaman jahiliyah yang sememangnya hidup mereka tunggang langgang.

Dan sabda Rasulullah SAW.. 
Ia akan kembali pelik..

Lihatlah zaman sekarang..
Jikalau kita membaca al-quran sementara menunggu bas..
pastinya masyarakat memandang pelik..
Apabila kita masuk ke shopping mall dengan berserban dan berkopiah . mesti kita dianggap pelik.
Apabila kita lepak dengan kawan-kawan dan membuka cerita tentang agama .. pastinya kita dianggap pelik.
Dan agak pelik jika kita kejutkan kawan kita di tengah malam untuk membuat Qiamulail tetapi tidak pelik jika kejutkan untuk menonton perlawanan bola sepak.

Pelaksanaan islam dalam kehidupan sekarang pun sudah dianggap pelik..
benarlah kata-kata mu wahai Rasulullah SAW.

kita sering hanyut dengan rentak dunia sekarang ini..
Sampaikan kita sering terlupa dan leka mengejar dunia maya kita..
Alangkah baiknya jika Rasulullah SAW masih hidup zaman sekarang
Pastinya pegangan umat sekarang lebih kukuh dan islam akan kembali gemilang ..

wahai Rasulullah..
Kami rindu padamu... 
-Pengembaraan Mencari Tuhan-

29/05/2014

Author : Unknown Time : 3:30:00 pm Total Comment : 0

Kisah Ilmuan Peluk Islam Setelah Mengetahui Bakteria Dalam Air Liur Anjing

Seorang ilmuan besar yang mendalami bidang bakteria berkunjung ke Mesir untuk mensekolahkan anaknya dan dia sendiri memperolehi pekerjaan dalam bidangnya tersebut. Pada suatu hari dia membaca buku hadith yang berkaitan dengan masalah kesihatan. Tiba-tiba dia tidak percaya ketika membaca hadis Nabi saw,
“Jika seekor anjing menjilat perkakas rumah salah seorang di antara kamu, maka cucilah alat (tempat) itu tujuh kali, satu kali di antara yang tujuh itu dicampur dengan tanah ..”
Sejenak dia berdiam menatap hadis itu. Dalam dirinya mula timbul soalan-pert anyaan: Perintah mencuci tujuh kali itu memang perlu dilakukan, dan merupakan kewajipan, namun mengapa Nabi masih menyuruh membasuh tempat itu satu kali dengan tanah? Tidakkah dengan memakai air sahaja sudah cukup?
Soalan itu terus mengganggunya. Kemudian dia mengambil sebuah alat rumah dan membiarkannya dijilati anjing. Lalu mencucinya dengan air tujuh kali. Selepas itu ia teliti dengan menggunakan mikroskop, dan yang terlihat: Berjuta-juta bakteria masih melekat di tempat itu.
Bermakna mencuci dengan air tidaklah cukup untuk menghilangkan bakteria atau kuman-kuman penyakit anjing yang melekat ditempat tersebut.
Sekarang dia cuba sekali lagi, mencuci tempat itu dengan debu tanah. Dan setelah diteliti, ternyata, kuman-kuman telah hilang seluruhnya.
Soalan yang timbul dibenaknya sekarang : Siapa yang memberitahu hal ini kepada Muhammad? Padahal penemuan rahsia bakteria baru diketemukan oleh Pasteur (1822-1895). Bukankah jauh sekali jarak antara Muhammad dengan Pasteur? Bermakna penemuan Pasteur hanyalah mengulang penemuan lama, di mana Muhammad telah mengetahui bahawa bakteria atau kuman penyakit itu ada pada anjing dan dapat dihilangkan hanya dengan menggunakan debu dan dibasuh dengan air enam kali. Siapa yang memberitahu hakikat ilmiah ini kepada Muhammad?
Subhanallah, Allah SWT lah yang memberi petunjuk kepada Nabi Muhammad SAW, segala hal yang bermanfaat bagi umatnya.

Author : Unknown Time : 1:30:00 pm Total Comment : 0

Andai Rasulullah masih ada


يا رَبِّي قَدْ غَفِلْنَا وَكُلُّناَ طَمْعٌ
فِيْ عَفْوٍ وَفِيْ كَرَمٍ وَفِيْ أَعْتَاقٍ
وَجَنَّةٍ مَعَ سَيِّدِ الْبَشَرْ
نَدْعُوْك..نَدْعُوْكَ رَبِّيْ مِنَ الْأَعْمَاقِ

Wahai Tuhanku, kami telah lalai lupa.
Namun setiap orang daripada kami tetap tamakkan...
Keampunan-Mu, dan sifat pemurah-Mu,
Dan kebebasan daripada api neraka-Mu,
Dan juga syurga bersama Penghulu seluruh manusia.
Kami mohon...Kami mohon pada-Mu,
Wahai Tuhanku dari sudut hati yang paling dalam.....

لَوْ كَانَ بَيْنَنَا الْحَبِيْب
لَدَنَا القَاصِيْ وَالْقَرِيْب
مِنْ طَيِّبَةٍ قَبْلَ الْمَغِيْب 
طَالِباً قُرْبَ الحَبِيْب

Andainya Kekasih-Mu (Muhammad) masih berada bersama-sama kami,
Akan terlunaslah segala hutang dan semakin hampirlah,
Dengan haruman baginda sebelum hilangnya
Rasa yang meronta-ronta untuk berada hampir dengan kekasih-Mu..

بِقُرْبِهِ النَّفْسُ تَطِيْب
وَتَدْعُوا الله فَيُجِيْب
أَنْوَارُ طَهَ لاَ تَغِيْب
بَلِّغْنَا لِقَاهُ يَا مُجِيْب

Berada berhampirannya jiwa turut menjadi harum
Dan apa jua yang kalian doakan kepada Allah akan diperkenankan.
Cahaya Nabi Muhammad tidak akan pernah sirna.
Sempatkanlah kami bertemu dengan Baginda, 

Wahai Tuhan yang Maha Merperkenankan doa hamba.

هُدَاكَ الْكَوْنُ الرَّحِيْب
رَحْمَةَ الهَادِيْ الْقَرِيْب
حَدِيْثُكَ النَّهْرُ الْعَذِيْب
جِوَارُكَ الْغُصْنُ الرَّطِيْب

Hidayahmu kepada alam merata luas
Tanda hampirnya kasih sayang Tuhan Pemberi Hidayah.
Hadis-hadismu ibarat sungai mengalir jernih.
Berada disisimu bagaikan dahan yang tumbuh segar dan basah. 

فَدَتْكَ رُوْحِيْ يَا حَبِيْب
محمدٌ مُكْرِمَ الْغَرِيْب
بِقُرْبِكَ الرُّوْحُ تَطِيْب
ياَ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْن

Kutebus diriku dengan dirimu wahai Kekasihku.
Nabi Muhammad yang mulia lagi asing
Berada berhampiranmu jiwa menjadi harum
Wahai yang diutuskan sebagai tanda kasih sayang, 

Tuhan kepada seluruh Alam

يَا حَبِيْبِيْ ياَ مُحَمَّدْ
يَا طَبِيْبِيْ يَا مُمَجَّدْ
أَنْتَ ذُوالْفَضْلِ الْمُؤَيَّدْ
جَلَّ مَنْ صَلَّى عَلَيْك

Wahai Kekasihku Wahai Muhammad 
Wahai pengubat hatiku Wahai yang terpuji
Dirimu memiliki kelebihan yang diakui
Oleh Tuhan yang turut berselawat kepadamu.

Law Kana Bainana by Syarifah Khasif

22/05/2014

Author : Unknown Time : 3:53:00 pm Total Comment : 0

Kisah Pengajaran dari Surah Al-Buruuj (4-8)


Suatu masa dahulu ada seorang Raja zalim di sebuah negeri yang mengaku dirinya tuhan. Raja kepada negeri tersebut mempunyai ahli sihir yang sangat handal. Namun ahli sihir tersebut sangat tua dan selalu sakit. Beliau merasakan ajalnya telah hampir. Lalu ahli sihir itu meminta kepada Raja supaya mencarikan seorang kanak-kanak untuk dijadikan perintis ahli sihir.

Raja berkenan mencarikan seorang budak yang pandai untuk diajarkan sihir. Seorang kanak-kanak yang pandai di dalam negeri tersebut telah dipilih oleh pembantu Raja. Setiap hari kanak-kanak itu akan pergi ke istana untuk belajar sihir. Pelbagai teknik sihir yang merupakan ilmu hitam diajar kepada kanak-kanak tersebut (sihir memerlukan pengamal berkawan dengan jin/syaitan untuk mendapatkan kuasa). Ilmu ini merupakan ilmu sesat.

Dalam perjalanan kanak-kanak tersebut dari istana, beliau berjumpa dengan seorang alim. Orang alim tersebut mengajar ilmu tauhid untuk menyembah Allah. Ilmu baik pun dipelajari, dalam masa kanak-kanak ini belajar ilmu sihir. Akhirnya berlaku pertentangan dalam jiwa kanak-kanak tersebut. Namun kanak-kanak itu (dengan hidayah dan inayah Allah), lebih cenderung kepada ilmu yang disampaikan oleh orang alim tersebut.

Pada suatu hari semasa dalam perjalanan ke istana, kanak-kanak tersebut terserempak dengan seekor binatang buas yang sangat besar. Binatang tersebut membuat huru-hara di suatu kawasan laluan orang ramai. Kanak-kanak tersebut dengan beraninya mengambil sebiji batu lalu berdoa, “Ya Allah, sekiranya ilmu yang diajarkan oleh orang alim itu betul, dan ahli sihir itu salah, Kau matikan lah binatang buas itu dengan batu ini”. Lalu dibaling batu ke arah binatang buas tersebut (dengan keyakinan pada Allah, tanpa dibantu dengan ilmu sihir). Binatang itu rebah lalu mati dengan balingan batu kanak-kanak tersebut. Lalu kanak-kanak itu sedar bahawa ajaran orang alim benar, dan ahli sihir salah.

Disebabkan binatang tadi, kanak-kanak itu lambat sampai kepada ahli sihir. Lalu ahli sihir bertanya kenapa beliau lambat. Kanak-kanak itu menjawab dengan beraninya, “Saya ada urusan lain. Saya belajar mengenal Allah”. Ahli sihir terkejut dan marah, lalu bertanya siapa yang mengajar tentang Allah. Kanak-kanak itu pun bercerita tentang orang alim di mana beliau belajar.

"Selama ini tuhan kamu siapa?”, bentak ahli sihir. “Tuhan saya, ahli sihir dan Raja adalah Allah”, jawab si kanak-kanak dengan berani. “Bukan! Tuhan kita adalah Raja”, sekali lagi ahli sihir menegaskan. “Tidak, tuhan kita adalah Allah”, kanak-kanak itu tetap dengan pendiriannya.

Ahli sihir pergi mengadap Raja untuk melaporkan tentang peristiwa itu. Raja menitahkan kanak-kanak itu dan orang alim ditangkap. Raja bertanya kepada orang alim, “Benarkan engkau telah mengajar kanak-kanak ini Allah itu tuhan kamu?”. “Benar!”, orang alim menjawab. Raja menitahkan orang alim dibelah kepala dengan gergaji kerana tidak mahu mengaku Raja adalah tuhan. Orang alim pun mati dibelah kepala.

Raja bertanya kepada kanak-kanak itu, “Siapa tuhan kamu?”. “Tuhan saya tetap Allah”, jawab beliau dengan berani. Raja menitahkan pengawal membawa kanak-kanak itu ke lereng bukit dan lepaskan dari atas bukit.
Sampai di atas bukit, dengan izin Allah, bukit bergegar. Pengawal semua jatuh dari atas bukit dan mati. Namun kanak-kanak itu selamat lalu kembali ke istana berjumpa Raja. Raja hairan bagaimana beliau boleh terlepas. Kanak-kanak memberitahu tentang insiden bumi bergegar, dan pengawal semua mati, cuma beliau yang terselamat.

Sekali lagi Raja memanggil pengawal dan mengarahkan kanak-kanak itu di bawa ke tengah laut (dengan menaiki kapal laut) dan dicampak ke dalam laut. Sampai ditengah laut ombak besar melanda kapal, semua pengawal lemas kecuali kanak-kanak itu selamat dengan bantuan Allah. Kanak-kanak tersebut pun kembali semula ke istana dengan selamat.

Sampai di istana Raja sekali lagi hairan dan mati akal untuk membunuh kanak-kanak itu. Dengan selambanya kanak-kanak itu memberi cadangan kepada Raja, “Bunuhlah aku di depan orang ramai dengan menggunakan anak panah. Aku hanya akan mati sekiranya Raja menyebut ‘aku bunuh budak ini dengan nama Allah tuhan budak ini’  sebelum melepaskan anak panah dari busur”.

Dengan gembira Raja mengikat kanak-kanak itu di khalayak ramai. Beliau juga mengarahkan orang ramai supaya berkumpul menyaksikan acara tersebut. Sebelum melepaskan anak panah Raja menjerit, “Aku bunuh budak ini dengan nama Allah tuhan budak ini!”. Anak panah dilepaskan dan budak itu pun mati (dalam iman).

Orang ramai yang hadir berasa marah dengan Raja. Mereka terus beriman kepada Allah beramai-ramai (dianggarkan 20 ribu) selepas mendengar seruan nama Allah oleh Raja. Kanak-kanak itu telah berjaya mengIslamkan ramai dari kalangan khalayak dengan kematiannya. Raja sangat murka kerana telah terpedaya, terus mengarahkan pengawal mengepung semua orang yang telah tertarik untuk mengenal Allah. Raja mengarahkan supaya digali lubang besar dan dibuat api yang besar di dalam lubang tersebut. Orang ramai yang mengaku telah beriman kepada Allah ditendang masuk ke dalam lubang tersebut.

Kemudian Allah datangkan satu bala tentera (kaum lain) menyerang Raja dan pengikutnya. Semua mereka mati disebabkan kelakuan mereka yang melampui batas. Kisah ini diceritakan dalam al-Quran mengenai kaum yang menggali parit (lubang) dan dibakar orang-orang yang beriman di dalam parit itu.

Surah al-Buruuj (85 ayat 4-8).


4. Celakalah kaum Yang menggali parit,
5. (Parit) api Yang penuh Dengan bahan bakaran,
6. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya,
7. Sambil mereka melihat apa Yang mereka lakukan kepada orang-orang Yang beriman.
8. Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang Yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!


24/04/2014

Author : Unknown Time : 4:16:00 pm Total Comment : 0

ALLAH MAHA PENGAMPUN


Di zaman Nabi Musa ada seorang fasik yang suka melakukan kejahatan. Penduduk negeri tersebut tidak mampu lagi mencegah perbuatannya, lalu mereka berdoa kepada Allah. Maka Allah telah mewahyukan kepada Nabi Musa supaya mengusir pemuda itu dari negerinya agar penduduknya tidak ditimpa bencana. Lalu keluarlah pemuda tersebut dari kampungnya dan sampai di suatu kawasan yang luas, dimana tidak seekor burung atau manusia pun di situ. 

Selang beberapa hari pemuda itu jatuh sakit. Merintihlah ia keseorangan, lalu berkata: 
"Wahai Tuhanku, kalaulah ibuku, ayahku dan isteriku berada di sisiku sudah tentu mereka akan menangis melihat waktu akan memisahkan aku dengan mereka (mati). Andaikata anak-anakku ada di sisi pasti mereka berkata: "Ya Allah, ampunilah ayah kami yang telah banyak melakukan kejahatan sehingga ia diusir dari kampungnya ke tanah lapang yang tidak berpenghuni dan keluar dari dunia menuju akhirat dalam keadaan putus asa dari segala sesuatu kecuali rahmat-Mu ya Allah."

Akhir sekali pemuda itu berkata: 
"Ya Allah, janganlah Kau putuskan aku dari rahmat-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa terhadap sesuatu." 
Setelah berkata maka matilah pemuda itu.


Kemudian Allah mewahyukan kepada Nabi Musa, firmannya: 
"Pergilah kamu ke tanah lapang di sana ada seorang wali-Ku telah meninggal. Mandikan, kapankan dan sembahyangkanlah dia." 
Setiba di sana Nabi Musa mendapati yang mati itu adalah pemuda yang diusirnya dahulu. Lalu Nabi Musa berkata: 
"Ya Allah, bukankah dia ini pemuda fasik yang Engkau suruh aku usir dahulu." 
Allah berfirman: 
"Benar. Aku kasihan kepadanya disebabkan rintihan sakitnya dan berjauhan dari kaum keluarganya. Apabila seseorang yang tidak mempunyai saudara mati, maka semua penghuni langit dan bumi akan sama menangis kerana kasihan kepadanya. Oleh kerana itu bagaimana Aku tidak mengasihaninya sedangkan Aku adalah zat Yang Maha Penyayang di antara penyayang."


18/04/2014

Author : Unknown Time : 2:36:00 pm Total Comment : 1

Kegemilangan Dan Keruntuhan Andalus


MENANGISLAH anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.” Begitulah ucapan seorang bonda Raja dalam sejarah Islam di Andalus, Sepanyol. Ia diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, Raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharram 897 Hijrah (H) yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah yang berkuasa selama 800 tahun.

Bani al-Ahmar adalah puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada daripada 620 H hingga 897 H, pada tahun di mana perjanjian di atas dimeterai. Perjanjian yang membabitkan 67 perkara itu termasuk jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol yang pada akhirnya tidak pernah direalisasikan bahkan selepas 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya selama 800 tahun. Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian Sepanyol termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892 H. Pada masa itu ribuan umat Islam yang dijanjikan boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Dalam kejadian itu, ribuan umat Islam mati bergelimpangan bermandi darah selepas tentera Kristian membunuh mereka. Sebelum itu, ketika mereka bersembunyi di dalam rumah, dengan lantang tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman bagi membolehkan mereka menaiki kapal untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang keperluan masing-masing. Tentera Kristian turut memaklumkan keselamatan orang Islam yang ingin meninggalkan Sepanyol terjamin. Ramai umat Islam yang meragui tawaran tentera Kristian itu. Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal yang akan membawa mereka berlabuh di pelabuhan, mereka kemudian mengambil keputusan menerima tawaran itu.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Muslim Granada keluar beramai-ramai membawa seluruh barang keperluan mereka pergi ke pelabuhan itu. Bagaimanapun, ada umat Islam yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing. Selepas ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentera Kristian menggeledah rumah yang ditinggalkan mereka sebelum membakarnya. Ribuan umat Islam yang berada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Kapal itu kemudian tenggelam dan umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung mereka dengan pedang terhunus.
Selepas menerima arahan pemimpin, ribuan tentera Kristian itu kemudian membunuh umat Islam Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan takbir terdengar tetapi dengan buas tentera Kristian terus membunuh warga awam yang sama sekali tidak berdaya. Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam. Darah bergenang di mana-mana. Laut yang biru berubah menjadi merah kehitam-hitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan. Banyak cerita yang menyayat hati seperti ini dibukukan seperti al-Ihatah fi Akhbar Gharnatah (Berita Menyeluruh Mengenai Granada) dan al-Muqtabas min Akhbar al-Andalus (Sekelumit Sejarah Andalus), malah seorang ulama terkenal seperti Ibn Hazam menceritakannya dalam kitab mashurnya al-Fisal fi al-Milal wa al-Nihal.

Selepas kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, tidak ada tanda atau simbol Islam yang kekal di negara itu. Umat Islam juga diugut dan diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam, mengerikan dan menakutkan dan tidak ada belas kasihan. Orang Kristian di Sepanyol tidak mahu Islam wujud lagi. Oleh itu kita dapati umat Islam sangat tersepit sehingga ada yang mengaku Kristian padahal mereka seorang Muslim kerana terlalu perit dugaan yang dialami mereka.

Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 H di bawah kepemimpinan panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol beransur-ansur muncul menjadi sebuah negeri yang makmur. Pasukan Islam tidak saja berhenti di Sepanyol, malah terus meluaskan empayar di negeri sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan sebagainya jatuh ke tangan umat Islam. Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, mereka masih tetap memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang juga kawasan pergunungan.

Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka ramai orang Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam. Mereka bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Keadaan tenteram seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.

Penguasa dan pemimpin Islam pada masa itu sangat berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil, sebagai contoh, adalah orang yang mendirikan Khilafah Bani Umayyah di Andalus. Ketika dijemput pemimpin Kristian yang dibantunya dalam memerangi musuh mereka, beliau dipelawa minum arak, tetapi beliau menolak secara diplomasi dengan katanya: “Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya.”

Bagaimanapun, selama Islam berada di Andalus berabad-abad lamanya itu, mereka tetap di keliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam di negara itu, namun mereka selalu gagal. Beberapa kali dicuba tapi selalu tidak berhasil. Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemui cara untuk menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman mereka dengan serangan pemikiran dan budaya.

Mereka secara senyap menghantar arak dan rokok secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran. Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya meniupkan perpecahan di kalangan umat Islam Sepanyol. Akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila satu persatu daerah di Sepanyol jatuh.

Di samping itu, antara punca lain yang membuat Andalus hilang daripada peta sejarah umat Islam adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri antara mereka sehingga menjadi lebih daripada 20 puak yang mempunyai negeri sendiri. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas, Bani Nun dan lain-lain. Dengan wujudnya ramai puak ini, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah mereka kerana mereka mengetahui kelemahan umat Islam. Apa yang menyedihkan ada umat Islam yang menjual agama dan negara demi kepentingan peribadinya.

Sebagai contoh, Abu Zaid, gabenor daerah Balansiah ketika rakyatnya memberontak dia membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi untuk membantu memadamkan pemberontakan itu. Sebagai habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar ‘jizyah’ tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian.

Lapan ratus tahun bukan masa yang singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’ Sepanyol dan menjadikannya bangsa yang bertamadun, berbanding bangsa lain di Eropah, akhirnya ia seolah-olah tidak pernah wujud di negara itu? Peristiwa ini amat menyedihkan bagi umat Islam sepanjang zaman. Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dahulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu. Sepanyol sekarang adalah Sepanyol yang mempunyai seorang menteri pertahanan wanita, Carme Chacon yang boleh memeriksa barisan tentera negaranya walaupun dalam keadaan hamil seperti dilaporkan akhbar pada 14 April lalu.

Sebenarnya musuh Islam dan umatnya tetap satu. Dari dulu hingga sekarang musuh Islam tetap ada, cuma ia berbeza orang dan jenteranya. Mereka tetap ingin melenyapkan Islam sedapat mungkin dengan apa juga cara. Dengan mengambil contoh Andalus yang hilang dan mencari sebab kehilangannya termasuk kelemahan akidah dan terlepas daripada jalur yang lurus, permusuhan sesama sendiri, berpihak kepada bukan Islam, kesenangan yang tidak terkawal dan kecintaan terhadap dunia, tidak mustahil ia juga akan berlaku di mana-mana.Dan ketika itu ucapan bonda Aisyah pada permulaan tulisan ini akan terdengar kembali. Wallahu a’lam.

INTI PATI:
 
Perubahan hebat berlaku ke atas tamadun di serata dunia tidak terlepas daripada pengaruh Islam dan kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di Sepanyol dan Andalusia. Cahaya Islam pernah meresap masuk menguasai Eropah. Islam sudah berlabuh di Sepanyol hingga ke tembok Vienna. Islam tidak memisahkan agama dari negara dan menolak sekularisme dalam bentuk apapun yang bertujuan memisahkan agama daripada kehidupan yang menjadikan kehidupan lepas bebas daripada neraca agama. Apabila ketiga-tiga ciri dapat direalisasikan generasi Islam kini, konspirasi musuh Islam akan dapat diatasi.

FAKTA: 

Islam memerintah Sepanyol dari 711 hingga 1492.
Banyak warisan ditinggalkan tamadun Islam di Sepanyol.
Tariq ibni Ziyad mendarat di Gibralta pada 30 April 711 dan menamakan Sepanyol sebagai Al-Andalus.

Pemerintah Islam membina istana yang besar dinamakan Alhambra dan masjid besar dinamakan Qardoba.

Hasil Nukilan :
Dr. Danial Zainal Abidin

 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.