Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)
Showing posts with label HIDAYAH. Show all posts
Showing posts with label HIDAYAH. Show all posts

29/05/2014

Author : Unknown Time : 3:30:00 pm Total Comment : 0

Kisah Ilmuan Peluk Islam Setelah Mengetahui Bakteria Dalam Air Liur Anjing

Seorang ilmuan besar yang mendalami bidang bakteria berkunjung ke Mesir untuk mensekolahkan anaknya dan dia sendiri memperolehi pekerjaan dalam bidangnya tersebut. Pada suatu hari dia membaca buku hadith yang berkaitan dengan masalah kesihatan. Tiba-tiba dia tidak percaya ketika membaca hadis Nabi saw,
“Jika seekor anjing menjilat perkakas rumah salah seorang di antara kamu, maka cucilah alat (tempat) itu tujuh kali, satu kali di antara yang tujuh itu dicampur dengan tanah ..”
Sejenak dia berdiam menatap hadis itu. Dalam dirinya mula timbul soalan-pert anyaan: Perintah mencuci tujuh kali itu memang perlu dilakukan, dan merupakan kewajipan, namun mengapa Nabi masih menyuruh membasuh tempat itu satu kali dengan tanah? Tidakkah dengan memakai air sahaja sudah cukup?
Soalan itu terus mengganggunya. Kemudian dia mengambil sebuah alat rumah dan membiarkannya dijilati anjing. Lalu mencucinya dengan air tujuh kali. Selepas itu ia teliti dengan menggunakan mikroskop, dan yang terlihat: Berjuta-juta bakteria masih melekat di tempat itu.
Bermakna mencuci dengan air tidaklah cukup untuk menghilangkan bakteria atau kuman-kuman penyakit anjing yang melekat ditempat tersebut.
Sekarang dia cuba sekali lagi, mencuci tempat itu dengan debu tanah. Dan setelah diteliti, ternyata, kuman-kuman telah hilang seluruhnya.
Soalan yang timbul dibenaknya sekarang : Siapa yang memberitahu hal ini kepada Muhammad? Padahal penemuan rahsia bakteria baru diketemukan oleh Pasteur (1822-1895). Bukankah jauh sekali jarak antara Muhammad dengan Pasteur? Bermakna penemuan Pasteur hanyalah mengulang penemuan lama, di mana Muhammad telah mengetahui bahawa bakteria atau kuman penyakit itu ada pada anjing dan dapat dihilangkan hanya dengan menggunakan debu dan dibasuh dengan air enam kali. Siapa yang memberitahu hakikat ilmiah ini kepada Muhammad?
Subhanallah, Allah SWT lah yang memberi petunjuk kepada Nabi Muhammad SAW, segala hal yang bermanfaat bagi umatnya.

16/02/2014

Author : Unknown Time : 7:16:00 pm Total Comment : 0

Peluk Islam Bekas Pembuat Tatu Kini Imam Di Jepun

Peluk Islam Bekas Pembuat Tatu Kini Imam Di Jepun
Taki Takazawa, jika dilihat dari namanya sudah dapat diketahui bahawa dia adalah orang Jepun. Dengan ciri-ciri rambut panjang dan tubuh penuh dengan tato, membuatkannya kelihatan seperti ahli geng mafia Jepun, Yakuza. Dia adalah bekas tukang tato untuk anggota geng yang paling ditakuti di Jepun itu. Kerja sebagai ‘tukang tato’ itu telah dilakukannya selama 20 tahun.
Tapi pandangan negatif pada penampilan fizikalnya itu berubah apabila dia mengumandangkan Azan. Takazawa kini menjadi Imam di sebuah masjid di Ibu kota Tokyo. Setelah mengucapkan dua kalimat Syahadat, Takazawa menggunakan nama muslim Abdullah, yang bermaksud hamba Allah SWT.
Dia mengenali Islam secara tidak sengaja di wilayah Shibuya. Takazawa melihat seseorang dengan kulit dan janggut putih. Orang itu juga mengenakan baju dan serban warna putih. “Orang itu memberikan sebuah kertas dan menyuruh saya membaca kalimat tertera bersama dia,” ujarnya seperti dilaporkan oleh laman web islamicmovement.org.

Kalimat itu adalah Syahadat, pengakuan pada ke-esaan Allah SWT dan Muhammad SAW sebagai utusannya. Meskipun tidak faham secara keseluruhan, Takazawa pernah mendengar sepintas Allah dan Muhammad. Seperti kebanyakan penduduk Jepun, sebelum memeluk Islam Takazawa menganut aliran kepercayaan Shinto.
Pertemuan dengan orang berserba putih itu masih di ingatan Takazawa. Dua tahun selepas memeluk Islam, dia bertemu lagi dengan seorang yang menjadi inspirasinya itu. “Dia pernah menjadi Imam di Masjid Nabawi, Kota Madinah, Arab Saudi. Saya bersyukur dapat bertemu dengannya, “katanya.
Imam Masjid Nabawi itu meminta Takazawa untuk menjadi Imam di masjid di kawasan Shinjuku. Dia telah melaksanakan ibadah haji dan menimba ilmu beberapa bulan di Kota Mekah. Nama Takazawa menjadi terkenal dan dia menjadi seorang di antara lima imam Masjid besar di Jepun.
Diterjemah dari Islampos – Sumber
Wallahu A’lam….

07/11/2012

Author : Unknown Time : 10:03:00 am Total Comment : 0

Taubat Malik Bin Dinar



Assalamualaikum..

Malik bin Dinar adalah seorang tabi’in yang terkenal kerana selalu menangis sepanjang malam sambil berdoa,”Ya Rabbku, Kau sendirilah yang tahu penghuni syurga dan penghuni neraka, lalu aku termasuk
 yang mana?Ya Allah, jadikanlah aku dari penghuni syurga, dan jangan Kau jadikan aku dari penghuni neraka.”

Perhatikanlah ibadahnya!Inilah Malik bin Dinar. Namun menurutnya,

“Aku memulai hidupku dengan sia-sia, banyak minum dan banyak berbuat maksiat. Aku berbuat zalim pada manusia, aku makan hak orang lain, aku makan riba, aku memukul manusia dan aku melakukan kezaliman. Tiada maksiat yang tidak ku lakukan. Aku sangat fajir sehingga manusia menjauhiku.”

“Tapi suatu hari, aku ingin menikah dan memiliki anak. Maka aku pun menikah dan isteriku melahirkan seorang anak yang kuberi nama Fatimah. Aku sangat mencintainya dan setiap kali Fatimah bertambah besar, imanku bertambah dan maksiatku berkurang. Mungkin Fatimah tahu kalau aku memegang botol arak, lalu dia mendekatiku sehingga aku menjauhkan botol itu darinya, sedangkan dia baru berusia 2 tahun ketika itu. Seakan Allah mengatur dia untuk berkelakuan begitu. Semakin hari aku semakin mendekati Allah sehingalah Fatimah genap berusia 3 tahun dan dia mati.”

“Lalu menjadilah aku seorang yang lebih buruk dari sebelumnya. Sebab aku masih belum memiliki kesabaran orang yang beriman sehingga syaitan berjaya memperdayakan aku. Sampai satu hari aku terasa ingin mabuk, lalu aku meminum arak sepanjang malam.”

“Lalu hari itu aku bermimpi yang menebus kesedaranku. Aku bermimpi melihat diriku di hari kiamat. Manusia berbondong-bondong, aku bersama manusia dan aku mendengar ada yang menyeru, “Fulan bin Fulan kemarilah menghadap pada Yang Maha Memaksa.”

“Aku melihat wajah si Fulan bin Fulan berubah menjadi hitam kerana ketakutan. Sehinggalah aku mendengar si penyeru itu memanggil Malik bin Dinar. Manusia di sekelilingku hilang, seakan tiada siapa di padang mahsyar itu. Lalu aku melihat ular yang besar lagi ganas berjalan sambil membuka mulutnya. Aku pun berlari sehinggalah aku menemui seorang lelaki tua yang lemah lalu aku berkata, “Tolonglah aku dari ular itu.” Tapi lelaki itu menjawab, “Aku lemah anakku, Aku tidak dapat menolongmu. Tetapi berlarilah ke arah sini, mungkin kau akan selamat.”

“Aku berlari ke arah yang ditunjukkan sehinggalah aku mendapati ular dibelakangku dan neraka dihadapanku. Lalu aku berlari kembali ke arah lelaki tua itu dan berkata, “Tolonglah aku, selamatkan aku.” Maka jawabnya lagi,”Aku lemah seperti yang kau lihat. Pergilah ke arah gunung itu, mungkin kau akan selamat.”

“Aku pun berlari ke arah gunung dan ular tersebut juga semakin hampir mengekoriku. Lalu aku melihat di puncak gunung kanak-kanak kecil berteriak, “Wahai Fatimah, temuilah ayahmu, temuilah ayahmu..”

“Aku tahu itu anakku yang meninggal sewaktu usianya 3 tahun itu. Anakku menolongku dan menyambutku dengan tangan kanannya, lalu mengusir ular tersebut dengan tangan kirinya. Sedangkan aku kelihatan seperti mayat waktu itu kerana ketakutan. Lalu aku kembali berada di bilikku sewaktu di dunia dan anakku berkata,

“Belumkah datangnya waktu orang-orang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah…(al-Hadid:16)”

Aku bertanya kepada Fatimah, “Ceritakanlah padaku tentang ular itu.”

Lalu dia berkata, “Itu adalah amal burukmu yang kau besarkan dan cambahkan setiap hari, sehingga ia hampir memakanmu. Bukankah kau tahu wahai ayahku, bahawa amal di dunia akan berubah menjadi jasad di akhirat kelak?”

Aku bertanya lagi, “Dan lelaki tua itu?”

Anakku menjawab, “Itulah amal solehmu. Kau lemahkan dia, sehingga dia menangis dan tak mampu melakukan sesuatu untuk membantumu. Sekiranya kau tidak melahirkan aku dan aku mati ketika kecil, tentu tidak ada yang bermanfaat bagimu.”

“Aku pun terbangun dari tidur dan berteriak,”Telah datang wahai Tuhanku…telah datang, wahai Tuhanku…”

Aku pun keluar dan bersiap untuk solat subuh dan sewaktu melangkah masuk masjid, aku mendengar Si imam membaca,

“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingati Allah…(al-Hadid:16)”

Sejak dari itu Malik pun bertaubat sehingga dikenali kerana hampir setiap hari menghabiskan masa di masjid.

Belum sampaikah waktunya untuk kita?

“Siapa yang mendekatiku sejengkal, maka Aku akan mendekat padanya sehasta. Lalu siapa yang mendekatiKu dengan sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Dan siapa yang mendekatiKu dengan berjalan, maka Aku akan mendekatinya sambil berlari kecil.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga Allah kurniakan nikmat taubat itu pada kita semua..

Wallahualam...

05/10/2012

Author : Unknown Time : 9:12:00 pm Total Comment : 0

Dapat Hidayah Di Kedai Buku


“Tidak kenal maka tidak cinta”, begitulah bermulanya bibit-bibit perkenalan Akifah Baxter dengan agama Islam.
Terlalu banyak gereja yang telah saya kunjungi. Saya mendengar, saya berdoa dan saya berbicara dengan mereka yang daripada pelbagai kepercayaan. Namun, saya masih merasakan ada yang tidak kena, ia mengelirukan seperti ada sesuatu yang hilang.
“Saya selalu dimomokkan dengan kata-kata orang dahulu. “Saya percaya kepada Tuhan tetapi saya tidak berpegang pada mana-mana agama. Bagi saya, mereka semua itu nampak seperti tidak kena sahaja”.
Itulah sebenarnya apa yang saya rasa tetapi saya tidak mahu ia terus berkeadaan begitu atau terima sahaja pendirian tersebut. Bagi saya jika Tuhan itu wujud, ia tidak akan membiarkan kita tanpa arah tujuan ataupun membiarkan kita dalam kejahilan. Mesti ada satu perancangan kepada kebenaran agama. Saya cuma perlu untuk mencarinya.
Justeru itu, di gereja-gerejalah di mana saya membuat penyelidikan dan pencarian. Sebabnya, di kejiranan inilah saya dibesarkan dan seperti ada sedikit kebenaran dalam ajaran yang mereka amalkan.
Namun, pada masa sama timbul pula terlalu banyak perbezaan dalam pandangan serta konflik dalam pengajaran agama mereka.
Ini jelas ketara terhadap perkara-perkara asas seperti; bagaimana untuk bersembahyang, kepada siapa kita menyembah dan menerusi apa, siapakah yang dimaksudkan ‘yang terselamat’ dan siapa yang sebaliknya dan bagaimana seseorang itu perlu lakukan untuk ‘selamat’. Ia berbelit-belit.
Kesemua persoalan yang menyemakkan fikiran itu membuatkan saya hampir-hampir putus asa. Setiap gereja yang saya pergi memberikan pandangan yang sama.
Turut menambahkan kekecewaan apabila kita mengetahui bahawa apa yang diajarkan itu adalah satu pembohongan yang nyata.
Pada suatu hari, saya ke kedai buku dan tergerak ke bahagian buku-buku agama. Sedang saya berdiri memerhatikan pelbagai buku-buku terutamanya buku berkaitan agama Kristian yang tersusun rapi di rak-rak pameran, terlintas di hati saya jika dalam banyak-banyak buku itu ada tidak buku berkaitan agama Islam.
Lantas, saya terus mengambil apa sahaja buku berkaitan Islam yang tersedia di rak itu.
Sungguhpun ketika memilih satu buku mengenai Islam saya langsung tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana bagi saya Islam juga bukanlah satu agama yang terlalu menonjol.
Saya sekadar mahu membacanya sahaja, tidak lebih dari itu. Ini kerana saya tidak mahu kecewa dan dikecewakan sekali lagi.
Namun makin lama saya menyelak satu ke satu halaman dan helaian, saya mula jadi tertarik. Satu kenyataan yang menyentap sanubari saya adalah, “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah”.
Allah itu Esa, setiap amalan dan sembahan itu adalah kerana-Nya semata-mata. Ia nampak begitu mudah tetapi begitu besar maknanya atau impaknya dan ia sesuatu yang masuk akal. Jadi, daripada situ saya mula membaca apa sahaja informasi tentang Islam.
Apa yang saya bacakan semuanya seperti sesuatu yang logik dan bertepatan dengan fitrah bagi makhluk bernama manusia. Ia seolah-olah teka-teki yang berselerakan di dalam minda, kini telah dapat diselesaikan.
Saya telah temui jawapan yang dicari selama ini menerusi agama baru ini.
Islam telah menjelaskan segala kemusykilan yang selama ini berserabut dalam fikiran saya, sekali gus memberikan gambaran jelas mengapa kita dihidupkan di atas muka bumi ini iaitu semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah SWT yang juga Pencipta alam semesta ini.
Saya semakin seronok dengan apa yang diperoleh menerusi pembacaan buku-buku Islamik. Kemudian, saya membaca pula al-Quran. Hati saya tersentuh dan bersyukur kerana berpeluang membaca kitab suci tersebut.
Saya tahu kata-kata dalam al-Quran itu semuanya datang daripada Allah menerusi utusannya, Nabi Muhammad SAW. Jadi inilah kebenaran hakiki yang saya cari selama ini.
Rupa-rupanya barulah saya tahu yang saya selama ini adalah seorang Muslim, cuma ia tidak saya sedari.
Kini, apabila saya memulakan kehidupan sebagai seorang Muslim, kehidupan saya sudah kembali tenang.
Saya juga rasa selamat kerana mengetahui kini apa yang saya pelajari itu adalah kebenaran sebenar dan ia membawa saya lebih hampir kepada Allah SWT.
Semoga kita sentiasa di dalam perlindungan dan petunjuk-Nya. Amin.”
Susunan ZUARIDA MOHYIN
Wallahu’alam….

04/10/2012

Author : Unknown Time : 10:09:00 pm Total Comment : 0

Masuk Islam Kerana Mengkaji Kulit Manusia


Professor Tagata Tagasone, Ketua Jabatan Anatomi dan Embriologi di Universiti of Shiang Mai di Thailand telah mengucap dua kalimah syahadah semasa Persidangan Perubatan Saudi Ke 8 di Riyadh.

Dia telah mendapat hidayah apabila diketahui hasil kajian para saintis yang pakar dalam bidang kulit (dermatologi) telah lama diterangkan di dalam Al Quran lebih 1400 tahun yang lalu. Professor Tagasone begitu yakin adalah mustahil ayat Al Quran yang menceritakan secara terperinci mengenai sifat kulit manusia datangnya daripada seorang manusia bernama Muhammad saw. Lalu diberitahu kepada Professor Tagasone bahawa ayat Al Quran itu adalah ayat-ayat Allah swt yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw.
Apakah hasil kajian tersebut sehinggakan seorang saintis dermatologi yang hebat terasa begitu bodoh kerana kajiannya yang dianggap canggih telah terdapat dalam Al Quran ?
Kajian saintis membuktikan bahawa rasa sakit apabila dibakar badan manusia ini adalah pada sel-sel yang terdapat pada kulit manusia. Apabila kulit manusia ini terbakar maka sel-sel yang memberi rasa sakit ini akan musnah. Maka manusia tidak akan merasa sakit lagi apabila sel-sel ini terbakar (tetapi manusia akan mati selepas itu).
Jadi kalau diakhirat nanti apabila manusia dibakar dalam api neraka adakah mereka tidak akan merasa sakit, hanya sakit apabila dibakar kali pertama ?
Jawapannya ialah ayat Al Quran surah ke 4 , ayat ke 56 yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang menolak ayat-ayat Kami. Kami akan membakar mereka dalam api neraka, Tiap-tiap kali kulit mereka terbakar hangus. Kami akan gantikan kulit mereka dengan kulit yang baru supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu, Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(An-Nisaa’ 4:56)
Maka beruntunglah Professor Tagasone yang telah memeluk agama Islam dalam keadaan suci , bersih. Sesiapa yang tidak mahu menerima Islam dan mengamalkan segala apa yang terkandung di dalam Al Quran , maka Allah akan pilih orang lain untuk menerima hidayahNya.
english.islamway.com
Wallahu’alam….

Author : Unknown Time : 10:06:00 pm Total Comment : 0

Professor AS Masuk Islam Kerana Mengkaji Solat Berjemaah


Professor AS Akui Solat Berjemaah Tersirat Aspek Sains Fizik

SEORANG professor fizik di Amerika Syarikat (AS) membuat satu kajian kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Berdasarkan kajiannya, tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik, iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita, sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.

Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan, menyebabkan kita berasa letih dan lesu selepas melakukan kegiatan seharian.

Oleh itu, cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal. Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan dalam minda beliau, mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.

Hasil kajiannya mendapati, bilangan rakaat berbeza dalam solat bertindak menyeimbangkan cas dalam badan kita.

Ketika solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan yang dianjurkan ketika solat berjemaah itu mempunyai pelbagai kelebihan.

Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan di kanan kita, akan menstabilkan kembali cas yang diperlukan oleh tubuh.

Ia berlaku apabila cas yang berlebihan – sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam tubuh kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Beliau berkata, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan berasa segar dan sihat selepas berehat beberapa jam.

Ketika ini tubuh kita mengandungi cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas supaya keseimbangan tubuh badan yang penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan dua rakaat.

Seterusnya, selepas sehari kita bekerja kuat dan memerah otak, semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh badan yang sudah digunakan.

Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan memulihkan keseimbangan cas berkenaan. Sebab itu, solat Zuhur didirikan empat rakaat untuk memberi ruang lebih kepada proses pertukaran cas di dalam tubuh.

Keadaan sama turut berlaku pada sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ia menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak.

Seperti solat Zuhur, empat rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.

Lazimnya, selepas waktu Asar, kita tidak lagi melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama.

Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak tiga rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding dua waktu sebelumnya.

Timbul persoalan dalam fikiran professor itu mengenai solat Isyak yang dikerjakan sebanyak empat rakaat.

Secara logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan kegiatan dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.

Selepas kajian lanjut dilakukan , didapati ada keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan empat rakaat di dalam solat Isyak.

Kita sedia maklum, umat Islam digalakkan tidur awal supaya mampu bangun untuk menunaikan tahajud (sembahyang malam) pada sepertiga malam.

Ringkasnya, solat Isyak sebanyak empat rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun pada waktu malam untuk beribadat (qiamullail).

Dalam kajiannya, beliau mendapati bahawa Islam adalah agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri.

Beliau berasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam semesta ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.

Oleh: Wan Marzuki Wan Ramli

Wallahu’alam….


Author : Unknown Time : 9:55:00 pm Total Comment : 0

Kisah Seorang Sarjan Amerika (Wanita) Memeluk Islam


LINDA DELGADO, seorang anggota polis berpangkat Sarjan di Arizona, Amerika Syarikat. Beliau menerima hidayah Allah dan memeluk agama Islam ketika dunia digegarkan dengan isu keganasan. Ikuti kisah beliau bagaimana beliau memeluk agama Islam dan suka duka pengalaman beliau.
LIMA tahun yang lalu, usia saya 52 tahun dan merupakan seorang Kristian. Saya bukannya ahli pada mana-mana gereja, tapi sepanjang hidup, saya sentiasa mencari kebenaran. Saya menghadiri banyak gereja dan belajar daripada guru-guru mereka. Semuanya tidak lengkap dan saya menyedari tiada apa yang benar melainkan Allah. Sejak usia saya 9 tahun saya membaca Injil setiap hari. Tidak dapat dikatakan, sejak sekian tahun lamanya, kerap kali saya mencari kebenaran yang hakiki.
Bertahun-tahun lamanya sepanjang pencarian saya untuk kebenaran, saya mempelajari beberapa ajaran agama. Lebih setahun lamanya saya belajar dua kali seminggu bersama seorang paderi Katolik, tapi tidak boleh menerima kepercayaan Katolik. Kemudian selama setahun saya mempelajari Kesaksian Jehovah dan juga tidak dapat menerima kepercayaan mereka. Saya menghabiskan masa hampir dua tahun bersama Mormon dan masih tidak menjumpai kebenaran. Saya pergi ke beberapa gereja Protestan, sesetengahnya selama beberapa bulan, cuba mencari jawapan pada persoalan saya.
Hati saya mengatakan Jesus bukannya Tuhan tapi adalah merupakan Nabi. Hati saya mengatakan Adam dan Hawa bertanggungjawab atas dosa mereka, bukan saya. Hati saya mengatakan saya mesti menyembah Tuhan dan tiada yang lain. Perasaan saya mengatakan saya bertanggungjawab atas usaha baik dan jahat saya dan Tuhan sesekali tidak akan menjelma menjadi manusia untuk memberitahu bukan saya yang dipertanggungjawabkan. Dia tidak perlu hidup dan mati sebagai manusia, kerana Dia ialah Tuhan.
Begitulah kedudukan saya, penuh persoalan dan memohon doa kepada Tuhan untuk pertolongan. Saya begitu takut menghadapi maut tanpa mengetahui kebenaran. Saya berdoa dan terus berdoa.
Saya menerima jawapan daripada paderi-paderi dan mubaligh-mubaligh mengatakan, “Ini ialah satu misteri”.
Saya merasakan Tuhan mahukan manusia masuk ke syurga jadi Dia tidak akan menjadikan ianya satu misteri untuk pergi ke sana, bagaimana untuk menguruskan kehidupan ini, dan bagaimana untuk mengenali Dia. Saya tahu hati saya menyatakan iaitu apa yang saya dengar selama ini tidak benar. Saya tinggal di Arizona, Amerika Syarikat dan pada usia 52 tahun belum pernah bercakap dengan orang Islam. Saya seperti kebanyakan orang Barat, telah membaca banyak melalui media mengenai Islam sebagai agama fanatik dan teroris, jadi saya tidak pernah mengkaji apa-apa buku atau maklumat mengenai Islam. Saya tidak tahu apa-apa mengenai agama tersebut.
PENEMUAN SAYA
Empat tahun yang lalu, saya bersara setelah berkhidmat selama 24 tahun sebagai pegawai polis. Suami saya juga pesara polis. Setahun sebelum kami bersara, saya merupakan seorang sarjan polis dan penyelia. Anggota polis seluruh dunia mempunyai ikatan yang sama, kita panggil sebagai Persaudaraan Penguatkuasa Undang-Undang. Kita sentiasa membantu antara satu sama lain tidak kira polis dari jabatan mana atau negara mana sekalipun.
Tahun tersebut saya menerima satu risalah yang memerlukan bantuan daripada sekumpulan anggota polis dari Arab Saudi yang datang ke Amerika Syarikat untuk belajar bahasa Inggeris di universiti berdekatan dan mengadakan latihan di akademi polis di bandar tempat tinggal saya. Anggota polis dari Arab ini sedang mencari rumah untuk mereka tinggal bersama keluarga angkat bertujuan untuk mereka mempelajari budaya Amerika dan mempraktikkan bahasa Inggeris yang mereka pelajari.
Anak lelaki saya membesarkan cucu perempuan saya sebagai bapa tunggal. Saya membantunya mencari rumah berhampiran rumah kami agar kami dapat menjaga cucu. Saya berbincang dengan suami saya dan kami bersetuju ada baiknya kita membantu anggota polis tadi. Ianya juga merupakan satu peluang untuk cucu saya mempelajari mengenai orang daripada negara lain. Saya diberitahu anak-anak muda tadi beragama Islam dan saya begitu tertanya-tanya.
Seorang jurubahasa dari Arizona State University membawa seorang pemuda Arab bernama Abdul untuk bertemu dengan kami. Kami menunjukkan kepada pemuda tadi bilik tidur dan bilik mandi yang dia akan guna apabila tinggal bersama kami. Saya terus sukakan Abdul. Perwatakannya yang baik dan menghormati orang memikat hati kami!
Kemudian Fahd dibawa ke rumah kami. Dia lebih muda dan pemalu, tapi seorang anak muda yang ceria. Saya menjadi tutor mereka dan kami berkongsi banyak pengalaman kerja kepolisian, mengenai Amerika Syarikat dan Arab Saudi, Islam dan lain-lain. Saya memerhatikan bagaimana mereka saling bantu membantu antara satu sama lain dan juga 16 anggota polis Arab Saudi yang lain yang datang mempelajari bahasa Inggeris.
Sepanjang tahun mereka di sini, saya menghormati Fahd dan Abdul yang tidak membiarkan budaya Amerika mempengaruhi mereka. Mereka ke masjid setiap hari Jumaat, menunaikan solat pada setiap waktu walaupun mereka keletihan, dan sentiasa berhati-hati apa yang mereka makan dan seterusnya. Mereka menunjukkan kepada saya masakan tradisional mereka dan mereka membawa saya ke pasar dan restoran Arab. Mereka begitu baik dengan cucu saya. Mereka sentiasa memberi cucu saya hadiah, berjenaka dan bersahabat. Mereka melayan saya dan suami saya dengan penuh hormat. Setiap hari mereka akan bertanya sekiranya mereka perlu membantu saya membeli barangan di pasar sebelum mereka pergi belajar bersama anggota polis Arab yang lain. Saya mengajar mereka bagaimana menggunakan komputer, dan saya melanggani akhbar Arab online dan mula membuat carian di internet untuk mempelajari lebih mendalam mengenai mereka, budaya mereka dan agama mereka. Saya tidak mahu melakukan perkara yang boleh menyinggung perasaan mereka.
Satu hari, saya menanyakan mereka jika mereka ada Quran lebih. Saya hendak membaca apa yang diperkatakan didalamnya. Mereka membuat permohonan daripada kedutaan mereka di Washington DC dan mendapatkan saya Quran terjemahan bahasa Inggeris, kaset-kaset dan risalah-risalah. Atas kehendak saya, kami mula berbincang mengenai Islam (mereka terpaksa bercakap bahasa Inggeris dan ini menjadi fokus sessi pembelajaran).
Saya mula menyayangi anak muda ini, dan mereka memberitahu saya bahawa sayalah orang bukan Islam yang pertama mereka mengajarkan Islam!
Setelah setahun, mereka menamatkan pengajian mereka serta latihan di akademi polis. Saya telah dapat membantu mereka dalam pengajian kepolisian, kerana saya pernah menjadi jurulatih polis. Saya mengajak ramai kawan-kawan polis mereka ke rumah saya untuk menyiapkan projek universiti dan mempraktikkan bahasa Inggeris. Seorang daripada mereka membawa isteri ke Amerika, dan saya diajak ke rumah mereka. Mereka begitu baik dan saya berbicara dengan isterinya mengenai pakaian Islam, wudhu dan perkara lain.
Seminggu sebelum “anak-anak angkat” saya pulang ke Arab Saudi, saya merancang untuk mengadakan jamuan makan malam dengan hidangan tradisional mereka (saya membeli separuh daripadanya kerana tidak tahu memasaknya). Saya membeli hijab dan baya (gaun panjang). Saya hendak mereka pulang mengingati saya memakai pakaian wanita Islam yang sempurna.
MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH
Sebelum kami mula hendak makan, saya mengucapkan dua kalimah syahadah. Anak-anak muda tadi menangis dan ketawa dan ia sungguh istimewa sekali. Saya percaya dalam hati saya, Allah telah menghantar anak-anak muda ini sebagai membalas jawapan saya dalam doa-doa saya selama ini. Saya percaya Allah telah memilih saya untuk melihat kebenaran pada cahaya Islam. Saya percaya Allah telah menghantar Islam ke pintu rumah saya. Saya memuji-Nya atas sifat keampunan, penyayang dan pengasih-Nya kepada saya.
PENGEMBARAAN SAYA DALAM ISLAM
Anak-anak angkat Arab saya pulang ke kampung halaman mereka seminggu selepas saya memeluk agama Islam. Saya amat rindukan mereka, tapi masih terasa gembira. Saya telah menghadiri masjid berdekatan tempat tinggal saya sebaik sahaja saya memeluk agama Islam dan mendaftarkan diri saya sebagai seorang Islam. Saya menjangkakan sambutan yang baik daripada masyarakat Islam tempatan. Saya menyangka semua orang Islam adalah seperti anak-anak angkat saya yang telah bersama saya setahun yang lalu. Keluarga saya masih dalam keadaan terperanjat! Mereka menyangka saya akan berpegang pada agama baru ini hanya untuk sementara waktu, menjadi tidak ketentuan, dan beralih ke agama lain, seperti mana yang saya lakukan sebelum ini. Mereka begitu hairan dengan perubahan pada kehidupan harian saya. Suami saya seorang yang serba boleh, jadi dia membeli makanan halal apabila saya katakan kita akan makan makanan halal dan menjauhkan makanan haram, dia setuju.
Perubahan seterusnya ialah mengalihkan semua gambar manusia dan gambar haiwan daripada semua bilik di rumah kami. Satu hari apabila suami saya pulang kerja dia mendapati gambar-gambar yang digantung di dinding sebelum ini, telah disusun dalam album. Dia hanya melihat tanpa sebarang komen. Seterusnya saya menulis surat pada keluarga saya yang bukan Islam dan memberitahu mereka keadaan saya dan menjelaskan bagaimana ianya tidak akan mengubah hubungan kekeluargaan. Saya menerangkan sedikit asas Islam. Keluarga saya tetap dengan pendirian mereka, dan saya meneruskan usaha belajar sembahyang dan membaca Quran. Saya menjadi aktif dalam kumpulan wanita Islam melalui internet dan ini memudahkan pembelajaran saya.
Saya juga menghadiri kelas asas Islam di masjid apabila saya tidak bekerja. Saya masih seorang sarjan polis ketika itu dan ianya adalah sukar – sebenarya mustahil untuk bertudung. Ini begitu menggusarkan saya dan amat saya bimbang. Hanya lapan bulan lagi dan saya boleh bersara, jadi saya membuat permohonan, lalu dibenarkan untuk bekerja tiga hari seminggu untuk saya membuat perancangan dan projek penyelidikan.
Enam bulan berlalu, muslimah di masjid tidak begitu mengendahkan saya. Saya merasa kecewa. Saya terasa seperti orang luar. Saya jadi keliru. Saya cuba bergiat aktif dalam komuniti bersama segelintir muslimah yang baik dengan saya. Saya tercari-cari mereka yang baik hati, setia kawan dan sikap yang baik yang ditelah ditunjukkan oleh anak-anak muda polis Arab pada setiap hari.
Saya melakukan banyak kesilapan di masjid, seperti bercakap di tempat sembahyang. Saya pergi ke majlis komuniti dan makan dengan menggunakan tangan kiri; saya menggunakan ‘nail polish’ dan telah dimarahi. Saya mengambil wudhu dengan cara yang salah dan dipandang serong. Saya menjadi lemah semangat.
Pada satu hari saya menerima bungkusan daripada kawan muslimah saya yang saya kenal melalui internet. Dalam bungkunsan tersebut terdapat beberapa abayas, hijabs, stokin sutera dan sekeping nota yang mengalu-alukan kemasukan saya ke dalam agama Islam. Wanita ini daripada Kuwait. Seterusnya seorang muslimah yang baik hati mengirimkan telekung dan sejadah yang dia buat sendiri. Wanita baik ini tinggal di Arab Saudi.
Saya menerima e-mel yang saya sentiasa ingat apabila saya terasa seperti orang asing. Nota dalam e-mel tersebut berbunyi: “Saya merasa gembira anda memeluk agama Islam, sebelum saya menemui ramai orang Islam”. Ini bukanlah penghinaan. Ianya adalah peringatan iaitu Islam itu sempurna dan kita sebenarnya orang Islam yang tidak sempurna. Sepertimana diri saya sendiri yang mempunyai kelemahan, begitulah juga saudara-saudara Islam saya yang lain.
Saya juga mula memahami apa yang saya percaya sebagai anugerah Allah pada umat Islam: iaitu persaudaraan dalam Islam.
Empat tahun berlalu, kehidupan saya berubah dengan begitu ketara. Keluarga saya telah menerima dengan rasa baik dan toleran yang saya adalah seorang Islam dan akan sentiasa berada dalam keIslaman. Segala puji bagi Allah yang telah menguji saya yang memeluk Islam dan berhadapan dengan keluarga yang berusaha untuk mengeluarkan saya daripada Islam.
Beransur-ansur, saya mendapat kawan setempat dan melalui ruangan siber, ramai kawan-kawan muslimah saya telah menjadi keluarga Islam saya yang membantu, mengasihi dan menjalinkan persahabatan. Penghujung tahun pertama saya memeluk Islam, saya telah jatuh sakit dengan penyakit yang membahayakan. Saya berpegang teguh pada tali Islam dan bersyukur dengan pemberian teh biji hitam dan air zam-zam serta doa daripada sahabat saya serata dunia.
Setelah keadaan kesihatan saya bertambah teruk saya menjadi lemah. Saya terpaksa memberhentikan kerja komuniti dan terpisah daripada komuniti Islam setempat. Saya berusaha keras dalam solat saya, menghadapi kesukaran untuk menyebut perkataan Arab, tapi tidak pernah putus asa. Guru yang mengajar Islam membuat beberapa kaset, dan sahabat saya membawanya ke rumah saya. Setelah dua tahun, saya telah belajar empat surah daripada Quran. Ini mungkin nampak sedikit pada kebanyakan orang Islam, tapi untuk saya ianya adalah suatu pencapaian yang besar. Saya belajar memahami ayat-ayat yang diucapkan didalam solat, perjuangan selama dua tahun.
Tahun ketiga keIslaman saya, saya terkena serangan sakit jantung dan terpaksa melalui pembedahan jantung. Ianya waktu yang begitu sedih untuk saya, kerana saya tahu saya tidak akan dapat menyentuh dahi saya ke lantai ketika solat, tapi akan selamanya terpaksa duduk atas kerusi untuk menunaikan solat. Pada masa inilah saya memahami kemudahan yang Allah berikan dalam ibadah. Bersembahyang secara duduk di atas kerusi adalah dibolehkan; tidak berpuasa apabila keuzuran adalah dibolehkan. Saya tidak merasakan keIslaman saya kurang apabila saya melakukannya dalam keadaan yang demikian.
Setelah menziarahi beberapa buah masjid, ianya adalah seperti Mini Bangsa-Bangsa Bersatu, saya dapat melihat beberapa kumpulan kecil di masjid yang terhasil mengikut bahasa dan budaya bukannya disebabkan oleh suka atau tidak suka pada seseorang. Saya merasa senang walaupun terdapat banyak perbezaan, saya sentiasa boleh mendapatkan ucapan “Assalamualaikum” dan senyuman.
Kemudian, saya mula berkenalan dengan mereka yang memeluk Islam seperti saya. Terdapat banyak persamaan antara kita – kami menghadapi ujian yang sama, seperti ahli keluarga yang bukan Islam, kesukaran menyebut perkataan Arab, terasa kesunyian pada hari perayaan Islam, dan tidak mempunyai ahli keluarga untuk berbuka pada bulan Ramadhan. Adakalanya keIslaman kami akan mengakibatkan sahabat lama kita yang tidak boleh menerima perubahan pada diri kita, atau disebabkan oleh aktiviti yang kita tidak dapat bersama dengan mereka yang bukan Islam seperti menari serta pergaulan bebas lelaki dan perempuan.
Apabila saya tidak berupaya melakukan khidmat komuniti, saya berusaha dengan cara lain untuk kebaikan komuniti Islam. Saya berterusan memohon pertolongan Allah dalam hal ini.
Pada satu hari, cucu saya mencadangkan agar saya menulis buku mengenai anak-anak angkat saya daripada Arab Saudi, Islam dan pengalaman keluarga saya dengan Islam. Saya membuat keputusan untuk menulis buku dan termasuk juga cerita mengenai sekumpulan gadis, Islam dan bukan Islam. Cerita tersebut termasuklah masalah yang dihadapai oleh anak gadis di sekolah dan di rumah dan saya akan menggunakan pengetahuan saya dalam Islam sebagai panduan untuk karektor dalam buku tersebut. Saya mula menulis beberapa siri buku yang dipanggil “Islamic Rose Books”. Saya membentuk kumpulan penulis wanita Muslim dan penulis aspirasi dan seterusnya terhasillah persatuan Islamic Writers Alliance (Perikatan Penulis Islam). Perikatan ini ialah organisasi antarabangsa yang memberi sokongan untuk penulis wanita Islam dan penulis aspirasi. Matlamat utama kami ialah untuk mempromosi hasil kerja kami kepada para pembaca dan penerbit.
Saya juga membuat keputusan untuk membantu dua Tabung Makanan Islam dengan cara membantu mereka membuat pangkalan data yang digunakan untuk tujuan inventori, pelanggan, dan untuk menghasilkan laporan yang diperlukan untuk tujuan penajaan serta pembiayaan. Saya juga membuat keputusan iaitu saya akan membelanjakan sebahagian besar keuntungan hasil jualan buku tersebut untuk membeli buku dan ditempatkan di perpustakaan kanak-kanak. Saya dapati banyak perpustakaan yang mempunyai banyak ruangan kosong ditempat buku kanak-kanak Islam.
Banyak lagi yang saya perlu pelajari mengenai Islam. Saya tidak pernah jemu membaca Quran dan saya gemar membaca kisah-kisah mengenai tokoh-tokoh Islam yang unggul. Apabila saya merasa ragu-ragu dalam sesuatu perkara, saya akan merujuk pada sunnah Rasul s.a.w. Saya akan melihat bagaimana Baginda saw akan bertindak dalam sesuatu situasi dan saya akan menjadikannya sebagai panduan.
Pengembaraan saya dalam Islam akan berterusan, dan saya sentiasa mengharapkan pengalaman-pengalaman baru. Saya bersyukur kepada Allah atas sifat keampunan-Nya dan sifat penyayang-Nya.
Wallahu’alam….

 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.