Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)
Showing posts with label AL-QURAN. Show all posts
Showing posts with label AL-QURAN. Show all posts

27/05/2014

Author : Unknown Time : 5:12:00 pm Total Comment : 0

Ibu Lebih Utama Berbanding Ayah

Abu Hurairah  radhiallahu 'anh  berkata:

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:

"Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?"

Baginda menjawab: "Ibu kamu."

Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"

Baginda menjawab: "Ibu kamu."

Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"

Baginda menjawab: "Ibu kamu."

Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"

Baginda menjawab: "Ayah kamu." [1]


Seorang sahabat bernama Jahimah radhiallahu 'anh datang menemui Rasulullah SAW meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.   

Rasulullah bertanya: " Adakah kamu masih mempunyai ibu? "

Jahimah menjawab: " Ya. "

Lalu Rasulullah bersabda:
"Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya." [2]


Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak untuk menerima perhatian daripada seorang anak. Tidak sekadar itu, ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah sepertimana terbukti melalui hadis di atas. Syurga juga terletak di bawah kaki ibu, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis kedua di atas. Selain itu Allah Subhanahu wa Ta'ala juga telah mengkhususkan beberapa ayat-Nya di dalam al-Qur'an untuk ibu. Ini tidak lain menunjukkan betapa besar dan mulia kedudukan ibu di sisi Allah dalam peranannya melahirkan anak dan membesarkannya. [3]    Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:  

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (Dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu ; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Luqman 31:14]

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. [Al-Ahqaf 46:15]


Terdapat beberapa sebab mengapa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah:

  1. Ibu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, dalam proses mengandung seorang anak. Allah mengkhabarkan kesusahan ini dengan firman-Nya yang bermaksud: "  ... ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah ... "  [al-Ahqaf 46:15]
  2. Kesusahan ketika mengandung semakin bertambah selari dengan pembesaran janin. Kesusahan yang semakin bertambah mengakibatkan seorang ibu menanggung kelemahan demi kelemahan: "  ... ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan ... "
  3. Kesusahan ini mencapai tahap paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut: "  ... dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. "  Kesusahan ini diungkap oleh Allah dalam kisah Maryam ketika beliau hendak melahirkan 'Isa:
(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!" [Maryam 19:23]


Berkenaan kesusahan yang amat berat saat hendak melahirkan, Abi Burdah radhiallahu 'anh pernah melihat Ibn 'Umar radhiallahu 'anhuma dan seorang lelaki dari Yaman sedang tawaf di sekeliling Kaabah.    

Lelaki tersebut sedang menyokong ibunya lalu mengeluh: " Saya baginya bagaikan tunggangan yang hina. "

Lalu dia bertanya: " Wahai Ibn 'Umar! Apakah sudah aku balas budinya? "

Ibn 'Umar menjawab: " Tidak! Walaupun setarik nafasnya (yakni ketika ibunya sedang melahirkannya). " [4]

  4. Setelah melahirkan, ibu benar-benar memberi perhatian kepada anaknya. Seandainya anaknya tidak
sihat atau hilang sekejap daripada perhatiannya, nescaya dia menjadi bimbang. Apatah lagi jika anaknya dijauhkan daripadanya, seorang ibu akan teramat berdukacita sehingga hatinya menjadi kosong, sehinggalah anaknya dikembalikan kepadanya.

Kenalilah perhatian seorang ibu terhadap anaknya berdasarkan kisah berikut daripada al-Qur'an, ketika Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintah ibu Musa untuk menghanyutkan anaknya (Musa) agar dia (Musa) tidak ditangkap dan dibunuh oleh Fir'aun:  

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: "Susukanlah dia; dalam pada itu jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita ; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang daripada Rasul-rasul Kami.   

Selepas itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.

Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: "(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak. " Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya) .

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong ; sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah ). 

Dan berkatalah dia kepada kakak Musa: "Pergilah cari khabar beritanya." (Maka pergilah dia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya.

Dan Kami jadikan dia (Musa) dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (Melihatkan halnya itu), kakaknya berkata (kepada isteri Fir'aun): "Mahukah aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya? "

Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya
dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui 
(Yang demikian itu). [Maksud surah al-Qasas 28:7-13]

  5.    Sekalipun dengan segala pengorbanan ibu daripada saat mengandung hinggalah kepada membesarkan,
seorang anak lazimnya akan lebih cenderung untuk meremehkan ibunya berbanding ayahnya. Faktor penyebab adalah sama ketika menjelaskan bab sebelum ini berkenaan mengapa ibu dikhususkan daripada ayah dalam larangan menderhaka. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang "hanya di rumah" menyebabkan sebahagian anak-anak tidak menghormati ibu mereka dan justeru melecehkan tuntutan berbuat baik kepadanya.

Lima sebab di atas, paling kurang, menjelaskan mengapa Allah dan Rasul-Nya mengkhususkan seorang ibu di atas seorang ayah. Malah hadis yang asal dalam perbincangan ini memberi hak tiga kali ganda lebih besar kepada seorang ibu berbanding seorang ayah. Oleh itu dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa, hendaklah kita memberi perhatian dan keutamaan kepada ibu.

Mengambil iktibar daripada kisah para sahabat Rasulullah, seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn 'Abbas radhiallahu 'anhuma, "  Saya meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan aku. Setelah itu datang orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan saya membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya? "

Ibn 'Abbas bertanya: " Apakah ibu kamu masih hidup? "

Dia menjawab: " Tidak . "

Ibn 'Abbas berkata: " Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah kepada-Nya semampu mungkin . "

Atha 'bin Yasar (yang hadir sama saat itu) bertanya kepada Ibn' Abbas: " Mengapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih hidup? "

Ibn 'Abbas menjawab: " Saya tidak tahu perbuatan yang paling mendekatkan (seseorang) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala  melainkan berbakti kepada ibu. " [5]




[1]  Sahih:  Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahih nya - hadis no: 5971   (Kitab al-Adab, Bab siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik).
[2]   Hasan Sahih:  Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai - hadis no: 3104    (Kitab al-Jihad, Bab kelonggaran daripada berperang bagi orang yang memiliki ibu).
[3]  Sayang sekali kebanyakan wanita sekarang ini tidak lagi memandang mulia terhadap peranan mereka untuk melahir dan membesarkan anak. Apa yang dipandang mulia oleh Allah kini dipandang hina oleh manusia. Semua ini berlaku kerana manusia kini mengejar kemuliaan mengikut ukuran mereka sendiri. Mereka tidak sedar bahawa apa yang dianggap mulia oleh sebahagian manusia dianggap hina oleh manusia yang lain. Apa yang dianggap mulia pada masa kini akan menjadi hina pada masa akan datang. Ringkasnya, kemuliaan mengikut ukuran manusia sentiasa bersifat nisbi manakala kemuliaan mengikut ukuran Allah sentiasa bersifat hakiki.
[4]  Sanad Sahih:  Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad - hadis no: 9.  
[5]  Sahih:  Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad - hadis no: 4 dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah - hadis no: 2799     

22/05/2014

Author : Unknown Time : 3:53:00 pm Total Comment : 0

Kisah Pengajaran dari Surah Al-Buruuj (4-8)


Suatu masa dahulu ada seorang Raja zalim di sebuah negeri yang mengaku dirinya tuhan. Raja kepada negeri tersebut mempunyai ahli sihir yang sangat handal. Namun ahli sihir tersebut sangat tua dan selalu sakit. Beliau merasakan ajalnya telah hampir. Lalu ahli sihir itu meminta kepada Raja supaya mencarikan seorang kanak-kanak untuk dijadikan perintis ahli sihir.

Raja berkenan mencarikan seorang budak yang pandai untuk diajarkan sihir. Seorang kanak-kanak yang pandai di dalam negeri tersebut telah dipilih oleh pembantu Raja. Setiap hari kanak-kanak itu akan pergi ke istana untuk belajar sihir. Pelbagai teknik sihir yang merupakan ilmu hitam diajar kepada kanak-kanak tersebut (sihir memerlukan pengamal berkawan dengan jin/syaitan untuk mendapatkan kuasa). Ilmu ini merupakan ilmu sesat.

Dalam perjalanan kanak-kanak tersebut dari istana, beliau berjumpa dengan seorang alim. Orang alim tersebut mengajar ilmu tauhid untuk menyembah Allah. Ilmu baik pun dipelajari, dalam masa kanak-kanak ini belajar ilmu sihir. Akhirnya berlaku pertentangan dalam jiwa kanak-kanak tersebut. Namun kanak-kanak itu (dengan hidayah dan inayah Allah), lebih cenderung kepada ilmu yang disampaikan oleh orang alim tersebut.

Pada suatu hari semasa dalam perjalanan ke istana, kanak-kanak tersebut terserempak dengan seekor binatang buas yang sangat besar. Binatang tersebut membuat huru-hara di suatu kawasan laluan orang ramai. Kanak-kanak tersebut dengan beraninya mengambil sebiji batu lalu berdoa, “Ya Allah, sekiranya ilmu yang diajarkan oleh orang alim itu betul, dan ahli sihir itu salah, Kau matikan lah binatang buas itu dengan batu ini”. Lalu dibaling batu ke arah binatang buas tersebut (dengan keyakinan pada Allah, tanpa dibantu dengan ilmu sihir). Binatang itu rebah lalu mati dengan balingan batu kanak-kanak tersebut. Lalu kanak-kanak itu sedar bahawa ajaran orang alim benar, dan ahli sihir salah.

Disebabkan binatang tadi, kanak-kanak itu lambat sampai kepada ahli sihir. Lalu ahli sihir bertanya kenapa beliau lambat. Kanak-kanak itu menjawab dengan beraninya, “Saya ada urusan lain. Saya belajar mengenal Allah”. Ahli sihir terkejut dan marah, lalu bertanya siapa yang mengajar tentang Allah. Kanak-kanak itu pun bercerita tentang orang alim di mana beliau belajar.

"Selama ini tuhan kamu siapa?”, bentak ahli sihir. “Tuhan saya, ahli sihir dan Raja adalah Allah”, jawab si kanak-kanak dengan berani. “Bukan! Tuhan kita adalah Raja”, sekali lagi ahli sihir menegaskan. “Tidak, tuhan kita adalah Allah”, kanak-kanak itu tetap dengan pendiriannya.

Ahli sihir pergi mengadap Raja untuk melaporkan tentang peristiwa itu. Raja menitahkan kanak-kanak itu dan orang alim ditangkap. Raja bertanya kepada orang alim, “Benarkan engkau telah mengajar kanak-kanak ini Allah itu tuhan kamu?”. “Benar!”, orang alim menjawab. Raja menitahkan orang alim dibelah kepala dengan gergaji kerana tidak mahu mengaku Raja adalah tuhan. Orang alim pun mati dibelah kepala.

Raja bertanya kepada kanak-kanak itu, “Siapa tuhan kamu?”. “Tuhan saya tetap Allah”, jawab beliau dengan berani. Raja menitahkan pengawal membawa kanak-kanak itu ke lereng bukit dan lepaskan dari atas bukit.
Sampai di atas bukit, dengan izin Allah, bukit bergegar. Pengawal semua jatuh dari atas bukit dan mati. Namun kanak-kanak itu selamat lalu kembali ke istana berjumpa Raja. Raja hairan bagaimana beliau boleh terlepas. Kanak-kanak memberitahu tentang insiden bumi bergegar, dan pengawal semua mati, cuma beliau yang terselamat.

Sekali lagi Raja memanggil pengawal dan mengarahkan kanak-kanak itu di bawa ke tengah laut (dengan menaiki kapal laut) dan dicampak ke dalam laut. Sampai ditengah laut ombak besar melanda kapal, semua pengawal lemas kecuali kanak-kanak itu selamat dengan bantuan Allah. Kanak-kanak tersebut pun kembali semula ke istana dengan selamat.

Sampai di istana Raja sekali lagi hairan dan mati akal untuk membunuh kanak-kanak itu. Dengan selambanya kanak-kanak itu memberi cadangan kepada Raja, “Bunuhlah aku di depan orang ramai dengan menggunakan anak panah. Aku hanya akan mati sekiranya Raja menyebut ‘aku bunuh budak ini dengan nama Allah tuhan budak ini’  sebelum melepaskan anak panah dari busur”.

Dengan gembira Raja mengikat kanak-kanak itu di khalayak ramai. Beliau juga mengarahkan orang ramai supaya berkumpul menyaksikan acara tersebut. Sebelum melepaskan anak panah Raja menjerit, “Aku bunuh budak ini dengan nama Allah tuhan budak ini!”. Anak panah dilepaskan dan budak itu pun mati (dalam iman).

Orang ramai yang hadir berasa marah dengan Raja. Mereka terus beriman kepada Allah beramai-ramai (dianggarkan 20 ribu) selepas mendengar seruan nama Allah oleh Raja. Kanak-kanak itu telah berjaya mengIslamkan ramai dari kalangan khalayak dengan kematiannya. Raja sangat murka kerana telah terpedaya, terus mengarahkan pengawal mengepung semua orang yang telah tertarik untuk mengenal Allah. Raja mengarahkan supaya digali lubang besar dan dibuat api yang besar di dalam lubang tersebut. Orang ramai yang mengaku telah beriman kepada Allah ditendang masuk ke dalam lubang tersebut.

Kemudian Allah datangkan satu bala tentera (kaum lain) menyerang Raja dan pengikutnya. Semua mereka mati disebabkan kelakuan mereka yang melampui batas. Kisah ini diceritakan dalam al-Quran mengenai kaum yang menggali parit (lubang) dan dibakar orang-orang yang beriman di dalam parit itu.

Surah al-Buruuj (85 ayat 4-8).


4. Celakalah kaum Yang menggali parit,
5. (Parit) api Yang penuh Dengan bahan bakaran,
6. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya,
7. Sambil mereka melihat apa Yang mereka lakukan kepada orang-orang Yang beriman.
8. Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang Yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!


19/03/2014

Author : Unknown Time : 9:30:00 pm Total Comment : 0

Tidakkah kita rindu kepada Allah?




Tidakkah kita rindu kepada Allah?

Bangunlah di akhir malam ketika orang lain sedang nyenyak tidur. Berdoalah dan bermunajatlah kepada Allah.
Lepaskan seluruh kerinduanmu kepada Allah, kerana Allah sentiasa merindui hamba-hamba-Nya terutama yang sanggup meninggalkan tempat tidurnya semata-mata untuk berjumpa dengan Allah...
Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya.

(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.

Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)."

(Surah az-Zariyat ayat 15~18)

09/03/2014

Author : Unknown Time : 7:00:00 pm Total Comment : 0

Kehilangan Pesawat MH370

 Quran ITU BENAR. 
Surah Yassin ada 83 ayat. Kehilangan pesawat pada 8.3.2014. Dilaporkan hilang pada minit 41 iaitu pada pukul 2:41am. Jom kita perhatikan ayat 41 Surah Yassin . Ayat 41-43.

"Dan suatu tanda (kebesaran Allah) bagi mereka adalah bahawa Kami angkut keturunan mereka dalam kapal yang penuh muatan (ayat 41)

"Dan Kami ciptakan (juga) untuk mereka (angkutan lain) seperti apa yang mereka kendarai" (ayat 42)

"Dan jika Kami menghendaki, Kami tenggelamkan mereka. Maka tidak ada penolong bagi mereka dan tidak (pula) mereka diselamatkan" (ayat 43)

"Melainkan (Kami selamatkan mereka) kerana rahmat yang besar dari Kami dan untuk memberikan kesenangan hidup sampai waktu tertentu" (ayat 44)

WALLAHUALAM

16/02/2014

Author : Unknown Time : 8:00:00 pm Total Comment : 1

Subhanallah!! Peluk Islam Setelah Melihat Keajaiban Saf Solat

Masuk Islam Kerana Melihat Keajaiban Saf Solat
Dalam satu program bertajuk ONE FAMILY dalam saluran Majd Channel, Moderatornya ialah Dr.Yahya Alyahya (head of the CALL to Islam Committee) menceritakan sebuah kisah tentang seorang lelaki Amerika bukan Muslim yang berbincang dengannya mengenai Islam ketika sedang menonton siaran langsung Solat Isha’ dalam bulan Ramadhan di Makkah.
Lelaki Amerika itu sangat terkejut melihat keadaan umat Islam melalui kaca TV itu, melebihi 3 Juta orang yang berhimpit antara satu sama lain di dalam Masjidil Haram pada malam terakhir di dalam bulan suci Ramadhan itu, terlalu ramai dan sangat tidak terurus.
Sheikh tersebut bertanya kepada lelaki Amerika itu:
” Berapa lama kamu fikir mereka akan menguruskan diri masing-masing untuk berada dalam barisan dan memulakan solat?
Lelaki Amerika itu menjawab:
” Sekurang-kurangnya 2-3 jam”
Sheikh itu berkata:
” Tetapi Masjidil Haram mempunyai 4 aras?”
Lelaki itu menjawab:
” Oh, kalau begitu pasti akan mengambil masa lebih kurang 12 jam!”
Sheikh itu berkata lagi:
“Kamu bayangkan bahawa mereka datang dari seluruh pelusuk dunia dengan berlainan bahasa, mungkinkah mereka dapat berada dalam satu barisan untuk memulakan solat?”
Lelaki Amerika itu menjawab”
” Jika begitu amat mustahil bagi mereka untuk menguruskan diri agar berada dalam satu barisan untuk memulakan solat!!”
Dan apabila waktu solat sudah pun tiba, Sheikh Abdul Rahman As-Suddais berdiri tegak lalu melaungkan kalimah
” Rapatkan Saf… “
Dan dalam beberapa saat saja, seluruh pemandangan di Masjdil Haram berubah serta merta dan 3 Juta Muslim sebentar tadi telah tersusun rapi dalam barisan hanya SEKELIP MATA.
Lelaki Amerika itu memandang kaca TV sejenak lalu beliau berkata:
“ASH-HADU ALLAH ILAHA ILLA ALLAH WA ASH-HADU ANNA MUHAMMADAN RASULULLAH”
I bear witness that there is none worthy of worship but ALLAH, and I bear witness that Mohammad is His Servant and Messenger
Lihatlah betapa ajaibnya Islam, hanya kerana saf solat saja boleh menarik penganut agama lain untuk yakin dengan agama Islam yang mulia ini. - Sumber

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”  (Al-Qasas 28:56)
Wallahu’alam….
hasnulhadiahmad.com


17/01/2014

Author : Unknown Time : 4:47:00 pm Total Comment : 0

Alam

 
 
Mari bayu ku bisikkan,
kalimat hijaiyyah yang menguncikan lailaha illallah.
Mari laut ku alunkan,
senandung nyanyian untuk Tuhan paling indah.
dan nanti akan aku ceritakan bagaimana kisahnya para nabi,dan sang rasul junjungan.
...
Lalu balas mereka,
"Kami adalah makhluk yang sentiasa berzikir memuji asma' (nama-nama) Allah. Kamu pula?"

Al-Israa [44]

"Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun."


----------------
Seringlah mentadabbur (mengkaji) alam. Kerana mereka nanti yang akan menunjukkan kamu, bagaimana menjadi makhluk Allah yang tidak lelah menyembah, memuji Penciptanya.

Allahuallah. :')

09/01/2014

Author : Unknown Time : 7:30:00 pm Total Comment : 0

Islam larang rosakkan bumi

ALLAH menciptakan langit dan bumi serta segala isinya untuk manfaat umat manusia. Bagaimanapun, tidak ramai yang menghargai nikmat alam sekitar itu. Hal ini menyebabkan ada di kalangan manusia memandang enteng nikmat  tersebut sehinggakan bertindak menggondolkan bukit-bukau sewenang-wenangnya.

Sehubungan itu, Allah memberi peringatan melalui firman-Nya yang bermaksud: 

Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf. (al-Rum: 41)
Berkenaan tanggungjawab manusia memelihara alam sekitar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan. (riwayat Muslim).

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Nidzamuddin Zakaria bagi mengupas isu ini.

Mega: Apakah konsep penjagaan alam sekitar dalam Islam?

Nidzamuddin: Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu 1972 menjelaskan bahawa alam sekitar adalah: “Suatu aset atau simpanan sumber-sumber alam sama ada berbentuk material dalam kelompok masyarakat atau populasi tertentu, pada waktu dan tempat yang tertentu bagi menyempurnakan dan memenuhi keperluan manusia dari masa ke semasa”. (Rujuk: Muhammad Sa’id dan Rasyid Ahmad. 1986. Al-Bi’ah wa musykilatiha. Kuwait: Maktabah al-Falah.Hal. 25).

Ibnu Abd. Rabbihi pula menyatakan takrif alam sekitar ini di dalam kitabnya al-Jumanah dengan penjelasannya bahawa: “Alam sekitar ialah yang merujuk kepada kehidupan ciptaan Ilahi dan kebudayaan yang wujud di mana manusia dapat menjalani kehidupan di dalamnya”. (Rujuk: Muhammad Abd al-Qadir Al-Fiqqiyy. 1993. Al-Bi’ah Musykiluha wa Qadayaha. Kaherah: Maktabah Ibn Sina. Hal. 9.)

Al-Quran dan sunah memberikan penekanan yang serius mengenai penjagaan alam sekitar di mana kedua-dua sumber perundangan ini menyeru manusia untuk mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu kurniaan atau nikmat Tuhan yang agung. Ia melarang pencemaran di samping menggesa mereka untuk memanfaatkan khazanah alam di mana usaha murni ini di sanjung mulia agama Islam bahkan dianggap sebagai ibadat yang agung di sisi Tuhan. Alam sekitar tidak terhad kepada aspek estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. Hakikatnya keseimbangan alam sekitar memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran bumi. Tanpa rimbunan pokok, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan mengurang. Tanpa hutan maka keupayaan menyerap gas karbon dioksida di atmosfera akan berkurangan. Tanpa udara yang bebas bahan cemar, maka kesihatan awam terancam.

Ajaran agama menjelaskan peranan alam sekitar sebagai salah satu unsur terpenting aspek ketuhanan dalam konteks kosmologi. Ajaran Islam pula menjelaskan kedudukan alam sekitar yang kudus dan tertib. Itulah rasionalnya alam sekitar dikemukakan sebagai salah satu teras Islam Hadhari.

Pelestarian dan kepentingan alam sekitar disebutkan secara tersurat dan tersirat dalam banyak ayat al-Quran dan hadis. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

 ...(iaitu) Orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada seksa neraka. (ali-Imran: 191).

Ayat ini menunjukkan bahawa alam sekitar fizikal dan seluruh cakerawala adalah tanda kebesaran Allah Yang Maha Pencipta. Orang beriman sentiasa berusaha menjadikan alam sekitar terpelihara dan bersih, bukan saja dalam keadaan aman, malah ketika peperangan.

Ajaran Islam mengajar umatnya supaya melestarikan alam sekitar kerana di sebalik kehijauan hutan dan kebiruan langit, tertera ayatullah yang memperlihatkan sifat Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta.

Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa adalah satu lagi contoh keengganan manusia mematuhi perintah Allah sebagaimana dalam surah ar-Rum: 41. Bagaimana membetulkan keadaan ini?

Nidzamuddin: Kalau kita meneliti sumber-sumber syarak dan usul-usulnya, pasti kita akan melihat asas-asas dan dasar-dasar yang murni yang digagaskan oleh Islam. Ia bagi memandu dan memimpin suatu etika dan akhlak yang terpuji bagi setiap individu muslim berperanan dan bermuamalah secara positif dengan alam sekitar ciptaan Ilahi ini agar warisan tersebut tidak pupus atau rosak di tangan manusia itu sendiri.

Akhirnya, ketiadaan sikap menyayangi dan memelihara alam sekitar ini boleh membawa kepada kemusnahan, kerosakan dan bencana yang menimpa manusia itu sendiri.

Allah menegaskan hal ini melalui firman-Nya yang bermaksud: 

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (al-Rum: 41).

Tindakan paling drastik yang perlu dilakukan umat Islam adalah kembali kepada Islam itu sendiri, tinggalkan budaya atau gaya hidup yang jauh daripada Allah dan syariat-Nya. Barangkali musibah seumpama ini adalah peringatan untuk kita agar jangan lalai dan leka terhadap peranan kita selaku hamba dan khalifah-Nya di muka bumi ini.
Islam adalah agama yang mengikat hubungan kita dengan Pencipta dan menjalin hubungan manusia sesama manusia.

Islam juga menyusun peradaban dan etika manusia dengan makhluk sekitarnya meliputi alam dan ciptaan Tuhan yang berada di atasnya bersesuaian dengan agenda utama manusia di muka bumi ini selaku khalifah Tuhan yang mentadbir dan mengurus dunia ini dengan saksama dan penuh bijaksana demi kemaslahatan manusia dan keharmonian alam sekitarnya.

Bukit-bukau dan gunung-ganang dijadikan Allah sebagai pasak bumi (al-Anbiya’: 31). Apakah saranan Islam tentang pembangunan seimbang (sustainable development)?

Nidzamuddin: Kita perhatikan dahulu ayat al-Quran itu tadi. Allah menegaskan: 

Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani. (al-Anbiya’: 31).

Ayat ini menegaskan bahawa fungsi sebenar bukit-bukau dan gunung-ganang itu ialah sebagai pasak kepada bumi. Meneres kawasan bukit-bukau sesuka hati tanpa kawalan dan sempadan mengundang ketidakseimbangan muka bumi itu sendiri.

Justeru, pembangunan yang seimbang ini amat dititik beratkan dalam ayat Allah yang lain antaranya firman Allah yang bermaksud: 

Dan bumi ini Kami bentangkan dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya. (al-Hijr: 19).

Sistem keseimbangan dalam alam sekitar yang diaturkan Penciptanya ini lebih dikenali sebagai ekosistem yang sangat unik dan sistematik. Seluruh unit dalam sistem telah diprogramkan Allah agar mengikuti sistem atau sunnatullah yang hebat ini.

Sebagai contoh, matahari dan bulan ditentukan Allah berfungsi dalam ekosistem ini selaku penyumbang cahaya mengikut kadar peratusan yang tertentu.

Jika kadar pencahayaan matahari itu melebihi peratusan yang sepatutnya, maka tentulah alam dan hidupan di atas permukaannya bakal mengalami kemusnahan dan kebakaran.

Begitu juga kadar oksigen dalam udara yang telah ditentukan Allah sejumlah 21 peratus, maka andainya kadar oksigen itu menjangkau 50 peratus, nescaya alam dan hidupan di atas permukaannya juga pasti mengalami kemusnahan dan kebakaran. Begitulah al-Quran melukiskan peri pentingnya keseimbangan ekosistem ini untuk dipelihara oleh khalifah Tuhan atau manusia di muka bumi ini sebaik-baiknya. (Tibarah, ‘Afif bin Abdul Fattah. Ruh al-Din al-Islami. Beirut: Dar al-Malayin li al-‘Ilmi. Hal. 57).

Akhirnya, renungilah seruan Ilahi untuk hamba-hamba-Nya bagi menjaga alam sekitar khususnya bukit-bukau dan gunung-ganang ciptaan terindah Tuhan menerusi ayat yang bermaksud: 

Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam; Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (Faatir: 27 -28)

Sebilangan manusia berpendapat, penjagaan alam sekitar tugas pihak tertentu sahaja. Justeru, bebas membersihkan hutan, membuang sampah merata-rata. Adakah pandangan begini tepat?

Nidzamuddin: Pandangan ini tidak tepat sama sekali! Ia mencerminkan sikap mementingkan diri sendiri dan tidak prihatinnya terhadap warisan alam. Yang sebenarnya, manusia itu adalah unsur atau entiti yang maujud di tengah-tengah alam sekitar, bahkan Islam meletakkan manusia selaku unsur paling penting di dalamnya berbeza dengan hidupan lain yang hanya bersifat material dan kosong maknawi atau rohaninya di mana setiap insan itu bertindak selaku pengurus atau pentadbir alam sekitar itu.

Justeru, dengan kelebihan ciptaan manusia daripada unsur material dan maknawi, maka manusia dinobatkan selaku pemimpin dan khalifah Tuhan yang mengurus dan mentadbir alam dengan sebaik-baiknya.

Firman Allah bermaksud: 

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaanKu) maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (al-Hijr: 28-29).

Hal ini disokong pula dengan hadis Nabi SAW bermaksud; 

Sesungguhnya dunia ini cantik dan subur menghijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat padanya. (Al-Tirmizi, Muhammad bin Isa. 2004. (Rujuk: Jami’ al-Tirmizi. Kitab al-Fitan. Hadis No. 2191. Riyadh: Bait al-Afkar al-Dauliyyah).

Faktor keuntungan dan wang ringgit adakalanya mengelabui mata menyebabkan pihak tertentu seperti jurutera, ahli geologi dan sebagainya ‘menipu’ dan menyembunyikan kebenaran tentang bahaya yang mungkin berlaku apabila mendirikan bangunan di lereng-lereng bukit. Apakah balasan Allah terhadap golongan sebegini?

Nidzamuddin: Inilah bahana dan bahayanya apabila pihak yang berwajib dan yang berautoriti dari segi kuasa dan keilmuannya tidak bersikap profesional, telus dan bertanggungjawab.

Ketamakan pada keuntungan yang melambak-lambak akan mengenepikan soal bahaya dan risiko yang bakal menimpa. Ya, memang ada orang yang kaya dan mampu membina semula banglo yang runtuh itu lantaran kekayaannya yang tidak terkira. Lebih mengejutkan ialah ada yang berani membangunkan semula bangunan baru di lokasi yang telah berlaku tanah runtuh.

Namun soal nyawa, harta benda yang terbuang dan musnah begitu sahaja serta ‘pencabulan terhadap keharmonian alam sekitar’ itu sendiri adalah suatu isu yang perlu dititik beratkan.

Pokok-pokok yang subur menghijau bukan sekadar dilihat sebagai ciptaan Allah yang mendamai dan menakjubkan, bahkan Rasulullah SAW mengajar umatnya agar memeliharanya daripada ditebang dan dimusnahkan.

Ini terserlah melalui larangan keras Baginda terhadap usaha penebangannya yang tanpa sebab dan melampau bermaksud: 

“Barang siapa yang memotong pokok (bidara) - tanpa manfaat atau kepentingan - nescaya Allah SWT akan menghumbankan kepalanya ke jurang neraka”. (Rujuk: Abu Daud, Sulaiman bin al-Asy’ath al-Sijistani. T.th. Sunan Abi Daud. Kitab Adab. No. Hadis: 4561. Juzuk 4. Hal. 361).

Imam Abu Daud mengulas maksud hadis ini setelah disoal mengenainya dengan penjelasannya: “Barangkali yang dimaksudkan dengan amaran Nabi SAW dengan penebangan pokok tanpa sebab ini adalah terhadap pokok-pokok yang terdapat di padang pasir yang dijadikan tempat teduhan orang yang lalu lalang atau para musafir.”

Kalau nak dikiaskan dengan geografi negara kita, maka pokok-pokok di lerengan bukit-bukau itu juga dilarang Islam menebangnya tanpa bersebab dan kawalan. Kalau isu penebangan pokok atau peneresan bukit-bukau ini tidak dikawal secara serius, maka tidak mustahil bahawa kita akan menyaksikan banyak lagi penempatan di kawasan-kawasan bukit akan menjadi mangsa tanah runtuh ini.

Adakah kepincangan yang berlaku sekarang disebabkan kurangnya sifat ihsan di kalangan kita sehingga adakalanya kita menipu dalam sukatan pembinaan dan sebagainya?

Nidzamuddin: Ya, saya setuju bahawa ia adalah antara faktor-faktor utama yang menyumbang kepada kemusnahan alam ini. Kerakusan membolot projek-projek yang mega dan bernilai juta ringgit kadang-kadang menghakis norma-norma kemanusiaan dan perasaan ihsan sesama insan bahkan terhadap alam sekitar itu sendiri.

Memang benar alam tidak menjerit dan melolong apabila diperlakukan penebangan atau peneresan bukit-bukau dengan sewenang-wenangnya, namun kerakusan ini akan berakhir dengan dentuman bangunan runtuh, suara tangisan mangsa tanah runtuh dan kerosakan harta benda yang begitu besar.

Justeru, Allah melarang keras penipuan ini khususnya dalam sukatan dengan firman-Nya: 

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? (al-Mutaffifin: 1-4).

Perbuatan merosakkan alam sekitar adalah sama seperti menafikan sikap adil dan ihsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah Allah yang perlu dilaksanakan. Perbuatan mencemar dan merosakkan alam sekitar juga menodai fungsi kekhalifahan yang telah dibebankan kepada manusia.

Ini kerana bumi bukan milik manusia untuk dia berbuat sesuka hati tetapi bumi ini adalah milik Allah yang dipinjamkan kepada manusia yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah di atasnya.

Oleh yang demikian, manusia perlu ingat bahawa dia dilantik sebagai khalifah Allah di atas muka bumi yang juga milik Allah. Maka tidak sepatutnya manusia bertindak seperti raja yang seolah-olah tidak akan dipertanggungjawabkan di atas segala yang telah dikerjakannya.


 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.