Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)
Showing posts with label KISAH MUKMINAH. Show all posts
Showing posts with label KISAH MUKMINAH. Show all posts

04/10/2012

Author : Unknown Time : 9:55:00 pm Total Comment : 0

Kisah Seorang Sarjan Amerika (Wanita) Memeluk Islam


LINDA DELGADO, seorang anggota polis berpangkat Sarjan di Arizona, Amerika Syarikat. Beliau menerima hidayah Allah dan memeluk agama Islam ketika dunia digegarkan dengan isu keganasan. Ikuti kisah beliau bagaimana beliau memeluk agama Islam dan suka duka pengalaman beliau.
LIMA tahun yang lalu, usia saya 52 tahun dan merupakan seorang Kristian. Saya bukannya ahli pada mana-mana gereja, tapi sepanjang hidup, saya sentiasa mencari kebenaran. Saya menghadiri banyak gereja dan belajar daripada guru-guru mereka. Semuanya tidak lengkap dan saya menyedari tiada apa yang benar melainkan Allah. Sejak usia saya 9 tahun saya membaca Injil setiap hari. Tidak dapat dikatakan, sejak sekian tahun lamanya, kerap kali saya mencari kebenaran yang hakiki.
Bertahun-tahun lamanya sepanjang pencarian saya untuk kebenaran, saya mempelajari beberapa ajaran agama. Lebih setahun lamanya saya belajar dua kali seminggu bersama seorang paderi Katolik, tapi tidak boleh menerima kepercayaan Katolik. Kemudian selama setahun saya mempelajari Kesaksian Jehovah dan juga tidak dapat menerima kepercayaan mereka. Saya menghabiskan masa hampir dua tahun bersama Mormon dan masih tidak menjumpai kebenaran. Saya pergi ke beberapa gereja Protestan, sesetengahnya selama beberapa bulan, cuba mencari jawapan pada persoalan saya.
Hati saya mengatakan Jesus bukannya Tuhan tapi adalah merupakan Nabi. Hati saya mengatakan Adam dan Hawa bertanggungjawab atas dosa mereka, bukan saya. Hati saya mengatakan saya mesti menyembah Tuhan dan tiada yang lain. Perasaan saya mengatakan saya bertanggungjawab atas usaha baik dan jahat saya dan Tuhan sesekali tidak akan menjelma menjadi manusia untuk memberitahu bukan saya yang dipertanggungjawabkan. Dia tidak perlu hidup dan mati sebagai manusia, kerana Dia ialah Tuhan.
Begitulah kedudukan saya, penuh persoalan dan memohon doa kepada Tuhan untuk pertolongan. Saya begitu takut menghadapi maut tanpa mengetahui kebenaran. Saya berdoa dan terus berdoa.
Saya menerima jawapan daripada paderi-paderi dan mubaligh-mubaligh mengatakan, “Ini ialah satu misteri”.
Saya merasakan Tuhan mahukan manusia masuk ke syurga jadi Dia tidak akan menjadikan ianya satu misteri untuk pergi ke sana, bagaimana untuk menguruskan kehidupan ini, dan bagaimana untuk mengenali Dia. Saya tahu hati saya menyatakan iaitu apa yang saya dengar selama ini tidak benar. Saya tinggal di Arizona, Amerika Syarikat dan pada usia 52 tahun belum pernah bercakap dengan orang Islam. Saya seperti kebanyakan orang Barat, telah membaca banyak melalui media mengenai Islam sebagai agama fanatik dan teroris, jadi saya tidak pernah mengkaji apa-apa buku atau maklumat mengenai Islam. Saya tidak tahu apa-apa mengenai agama tersebut.
PENEMUAN SAYA
Empat tahun yang lalu, saya bersara setelah berkhidmat selama 24 tahun sebagai pegawai polis. Suami saya juga pesara polis. Setahun sebelum kami bersara, saya merupakan seorang sarjan polis dan penyelia. Anggota polis seluruh dunia mempunyai ikatan yang sama, kita panggil sebagai Persaudaraan Penguatkuasa Undang-Undang. Kita sentiasa membantu antara satu sama lain tidak kira polis dari jabatan mana atau negara mana sekalipun.
Tahun tersebut saya menerima satu risalah yang memerlukan bantuan daripada sekumpulan anggota polis dari Arab Saudi yang datang ke Amerika Syarikat untuk belajar bahasa Inggeris di universiti berdekatan dan mengadakan latihan di akademi polis di bandar tempat tinggal saya. Anggota polis dari Arab ini sedang mencari rumah untuk mereka tinggal bersama keluarga angkat bertujuan untuk mereka mempelajari budaya Amerika dan mempraktikkan bahasa Inggeris yang mereka pelajari.
Anak lelaki saya membesarkan cucu perempuan saya sebagai bapa tunggal. Saya membantunya mencari rumah berhampiran rumah kami agar kami dapat menjaga cucu. Saya berbincang dengan suami saya dan kami bersetuju ada baiknya kita membantu anggota polis tadi. Ianya juga merupakan satu peluang untuk cucu saya mempelajari mengenai orang daripada negara lain. Saya diberitahu anak-anak muda tadi beragama Islam dan saya begitu tertanya-tanya.
Seorang jurubahasa dari Arizona State University membawa seorang pemuda Arab bernama Abdul untuk bertemu dengan kami. Kami menunjukkan kepada pemuda tadi bilik tidur dan bilik mandi yang dia akan guna apabila tinggal bersama kami. Saya terus sukakan Abdul. Perwatakannya yang baik dan menghormati orang memikat hati kami!
Kemudian Fahd dibawa ke rumah kami. Dia lebih muda dan pemalu, tapi seorang anak muda yang ceria. Saya menjadi tutor mereka dan kami berkongsi banyak pengalaman kerja kepolisian, mengenai Amerika Syarikat dan Arab Saudi, Islam dan lain-lain. Saya memerhatikan bagaimana mereka saling bantu membantu antara satu sama lain dan juga 16 anggota polis Arab Saudi yang lain yang datang mempelajari bahasa Inggeris.
Sepanjang tahun mereka di sini, saya menghormati Fahd dan Abdul yang tidak membiarkan budaya Amerika mempengaruhi mereka. Mereka ke masjid setiap hari Jumaat, menunaikan solat pada setiap waktu walaupun mereka keletihan, dan sentiasa berhati-hati apa yang mereka makan dan seterusnya. Mereka menunjukkan kepada saya masakan tradisional mereka dan mereka membawa saya ke pasar dan restoran Arab. Mereka begitu baik dengan cucu saya. Mereka sentiasa memberi cucu saya hadiah, berjenaka dan bersahabat. Mereka melayan saya dan suami saya dengan penuh hormat. Setiap hari mereka akan bertanya sekiranya mereka perlu membantu saya membeli barangan di pasar sebelum mereka pergi belajar bersama anggota polis Arab yang lain. Saya mengajar mereka bagaimana menggunakan komputer, dan saya melanggani akhbar Arab online dan mula membuat carian di internet untuk mempelajari lebih mendalam mengenai mereka, budaya mereka dan agama mereka. Saya tidak mahu melakukan perkara yang boleh menyinggung perasaan mereka.
Satu hari, saya menanyakan mereka jika mereka ada Quran lebih. Saya hendak membaca apa yang diperkatakan didalamnya. Mereka membuat permohonan daripada kedutaan mereka di Washington DC dan mendapatkan saya Quran terjemahan bahasa Inggeris, kaset-kaset dan risalah-risalah. Atas kehendak saya, kami mula berbincang mengenai Islam (mereka terpaksa bercakap bahasa Inggeris dan ini menjadi fokus sessi pembelajaran).
Saya mula menyayangi anak muda ini, dan mereka memberitahu saya bahawa sayalah orang bukan Islam yang pertama mereka mengajarkan Islam!
Setelah setahun, mereka menamatkan pengajian mereka serta latihan di akademi polis. Saya telah dapat membantu mereka dalam pengajian kepolisian, kerana saya pernah menjadi jurulatih polis. Saya mengajak ramai kawan-kawan polis mereka ke rumah saya untuk menyiapkan projek universiti dan mempraktikkan bahasa Inggeris. Seorang daripada mereka membawa isteri ke Amerika, dan saya diajak ke rumah mereka. Mereka begitu baik dan saya berbicara dengan isterinya mengenai pakaian Islam, wudhu dan perkara lain.
Seminggu sebelum “anak-anak angkat” saya pulang ke Arab Saudi, saya merancang untuk mengadakan jamuan makan malam dengan hidangan tradisional mereka (saya membeli separuh daripadanya kerana tidak tahu memasaknya). Saya membeli hijab dan baya (gaun panjang). Saya hendak mereka pulang mengingati saya memakai pakaian wanita Islam yang sempurna.
MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH
Sebelum kami mula hendak makan, saya mengucapkan dua kalimah syahadah. Anak-anak muda tadi menangis dan ketawa dan ia sungguh istimewa sekali. Saya percaya dalam hati saya, Allah telah menghantar anak-anak muda ini sebagai membalas jawapan saya dalam doa-doa saya selama ini. Saya percaya Allah telah memilih saya untuk melihat kebenaran pada cahaya Islam. Saya percaya Allah telah menghantar Islam ke pintu rumah saya. Saya memuji-Nya atas sifat keampunan, penyayang dan pengasih-Nya kepada saya.
PENGEMBARAAN SAYA DALAM ISLAM
Anak-anak angkat Arab saya pulang ke kampung halaman mereka seminggu selepas saya memeluk agama Islam. Saya amat rindukan mereka, tapi masih terasa gembira. Saya telah menghadiri masjid berdekatan tempat tinggal saya sebaik sahaja saya memeluk agama Islam dan mendaftarkan diri saya sebagai seorang Islam. Saya menjangkakan sambutan yang baik daripada masyarakat Islam tempatan. Saya menyangka semua orang Islam adalah seperti anak-anak angkat saya yang telah bersama saya setahun yang lalu. Keluarga saya masih dalam keadaan terperanjat! Mereka menyangka saya akan berpegang pada agama baru ini hanya untuk sementara waktu, menjadi tidak ketentuan, dan beralih ke agama lain, seperti mana yang saya lakukan sebelum ini. Mereka begitu hairan dengan perubahan pada kehidupan harian saya. Suami saya seorang yang serba boleh, jadi dia membeli makanan halal apabila saya katakan kita akan makan makanan halal dan menjauhkan makanan haram, dia setuju.
Perubahan seterusnya ialah mengalihkan semua gambar manusia dan gambar haiwan daripada semua bilik di rumah kami. Satu hari apabila suami saya pulang kerja dia mendapati gambar-gambar yang digantung di dinding sebelum ini, telah disusun dalam album. Dia hanya melihat tanpa sebarang komen. Seterusnya saya menulis surat pada keluarga saya yang bukan Islam dan memberitahu mereka keadaan saya dan menjelaskan bagaimana ianya tidak akan mengubah hubungan kekeluargaan. Saya menerangkan sedikit asas Islam. Keluarga saya tetap dengan pendirian mereka, dan saya meneruskan usaha belajar sembahyang dan membaca Quran. Saya menjadi aktif dalam kumpulan wanita Islam melalui internet dan ini memudahkan pembelajaran saya.
Saya juga menghadiri kelas asas Islam di masjid apabila saya tidak bekerja. Saya masih seorang sarjan polis ketika itu dan ianya adalah sukar – sebenarya mustahil untuk bertudung. Ini begitu menggusarkan saya dan amat saya bimbang. Hanya lapan bulan lagi dan saya boleh bersara, jadi saya membuat permohonan, lalu dibenarkan untuk bekerja tiga hari seminggu untuk saya membuat perancangan dan projek penyelidikan.
Enam bulan berlalu, muslimah di masjid tidak begitu mengendahkan saya. Saya merasa kecewa. Saya terasa seperti orang luar. Saya jadi keliru. Saya cuba bergiat aktif dalam komuniti bersama segelintir muslimah yang baik dengan saya. Saya tercari-cari mereka yang baik hati, setia kawan dan sikap yang baik yang ditelah ditunjukkan oleh anak-anak muda polis Arab pada setiap hari.
Saya melakukan banyak kesilapan di masjid, seperti bercakap di tempat sembahyang. Saya pergi ke majlis komuniti dan makan dengan menggunakan tangan kiri; saya menggunakan ‘nail polish’ dan telah dimarahi. Saya mengambil wudhu dengan cara yang salah dan dipandang serong. Saya menjadi lemah semangat.
Pada satu hari saya menerima bungkusan daripada kawan muslimah saya yang saya kenal melalui internet. Dalam bungkunsan tersebut terdapat beberapa abayas, hijabs, stokin sutera dan sekeping nota yang mengalu-alukan kemasukan saya ke dalam agama Islam. Wanita ini daripada Kuwait. Seterusnya seorang muslimah yang baik hati mengirimkan telekung dan sejadah yang dia buat sendiri. Wanita baik ini tinggal di Arab Saudi.
Saya menerima e-mel yang saya sentiasa ingat apabila saya terasa seperti orang asing. Nota dalam e-mel tersebut berbunyi: “Saya merasa gembira anda memeluk agama Islam, sebelum saya menemui ramai orang Islam”. Ini bukanlah penghinaan. Ianya adalah peringatan iaitu Islam itu sempurna dan kita sebenarnya orang Islam yang tidak sempurna. Sepertimana diri saya sendiri yang mempunyai kelemahan, begitulah juga saudara-saudara Islam saya yang lain.
Saya juga mula memahami apa yang saya percaya sebagai anugerah Allah pada umat Islam: iaitu persaudaraan dalam Islam.
Empat tahun berlalu, kehidupan saya berubah dengan begitu ketara. Keluarga saya telah menerima dengan rasa baik dan toleran yang saya adalah seorang Islam dan akan sentiasa berada dalam keIslaman. Segala puji bagi Allah yang telah menguji saya yang memeluk Islam dan berhadapan dengan keluarga yang berusaha untuk mengeluarkan saya daripada Islam.
Beransur-ansur, saya mendapat kawan setempat dan melalui ruangan siber, ramai kawan-kawan muslimah saya telah menjadi keluarga Islam saya yang membantu, mengasihi dan menjalinkan persahabatan. Penghujung tahun pertama saya memeluk Islam, saya telah jatuh sakit dengan penyakit yang membahayakan. Saya berpegang teguh pada tali Islam dan bersyukur dengan pemberian teh biji hitam dan air zam-zam serta doa daripada sahabat saya serata dunia.
Setelah keadaan kesihatan saya bertambah teruk saya menjadi lemah. Saya terpaksa memberhentikan kerja komuniti dan terpisah daripada komuniti Islam setempat. Saya berusaha keras dalam solat saya, menghadapi kesukaran untuk menyebut perkataan Arab, tapi tidak pernah putus asa. Guru yang mengajar Islam membuat beberapa kaset, dan sahabat saya membawanya ke rumah saya. Setelah dua tahun, saya telah belajar empat surah daripada Quran. Ini mungkin nampak sedikit pada kebanyakan orang Islam, tapi untuk saya ianya adalah suatu pencapaian yang besar. Saya belajar memahami ayat-ayat yang diucapkan didalam solat, perjuangan selama dua tahun.
Tahun ketiga keIslaman saya, saya terkena serangan sakit jantung dan terpaksa melalui pembedahan jantung. Ianya waktu yang begitu sedih untuk saya, kerana saya tahu saya tidak akan dapat menyentuh dahi saya ke lantai ketika solat, tapi akan selamanya terpaksa duduk atas kerusi untuk menunaikan solat. Pada masa inilah saya memahami kemudahan yang Allah berikan dalam ibadah. Bersembahyang secara duduk di atas kerusi adalah dibolehkan; tidak berpuasa apabila keuzuran adalah dibolehkan. Saya tidak merasakan keIslaman saya kurang apabila saya melakukannya dalam keadaan yang demikian.
Setelah menziarahi beberapa buah masjid, ianya adalah seperti Mini Bangsa-Bangsa Bersatu, saya dapat melihat beberapa kumpulan kecil di masjid yang terhasil mengikut bahasa dan budaya bukannya disebabkan oleh suka atau tidak suka pada seseorang. Saya merasa senang walaupun terdapat banyak perbezaan, saya sentiasa boleh mendapatkan ucapan “Assalamualaikum” dan senyuman.
Kemudian, saya mula berkenalan dengan mereka yang memeluk Islam seperti saya. Terdapat banyak persamaan antara kita – kami menghadapi ujian yang sama, seperti ahli keluarga yang bukan Islam, kesukaran menyebut perkataan Arab, terasa kesunyian pada hari perayaan Islam, dan tidak mempunyai ahli keluarga untuk berbuka pada bulan Ramadhan. Adakalanya keIslaman kami akan mengakibatkan sahabat lama kita yang tidak boleh menerima perubahan pada diri kita, atau disebabkan oleh aktiviti yang kita tidak dapat bersama dengan mereka yang bukan Islam seperti menari serta pergaulan bebas lelaki dan perempuan.
Apabila saya tidak berupaya melakukan khidmat komuniti, saya berusaha dengan cara lain untuk kebaikan komuniti Islam. Saya berterusan memohon pertolongan Allah dalam hal ini.
Pada satu hari, cucu saya mencadangkan agar saya menulis buku mengenai anak-anak angkat saya daripada Arab Saudi, Islam dan pengalaman keluarga saya dengan Islam. Saya membuat keputusan untuk menulis buku dan termasuk juga cerita mengenai sekumpulan gadis, Islam dan bukan Islam. Cerita tersebut termasuklah masalah yang dihadapai oleh anak gadis di sekolah dan di rumah dan saya akan menggunakan pengetahuan saya dalam Islam sebagai panduan untuk karektor dalam buku tersebut. Saya mula menulis beberapa siri buku yang dipanggil “Islamic Rose Books”. Saya membentuk kumpulan penulis wanita Muslim dan penulis aspirasi dan seterusnya terhasillah persatuan Islamic Writers Alliance (Perikatan Penulis Islam). Perikatan ini ialah organisasi antarabangsa yang memberi sokongan untuk penulis wanita Islam dan penulis aspirasi. Matlamat utama kami ialah untuk mempromosi hasil kerja kami kepada para pembaca dan penerbit.
Saya juga membuat keputusan untuk membantu dua Tabung Makanan Islam dengan cara membantu mereka membuat pangkalan data yang digunakan untuk tujuan inventori, pelanggan, dan untuk menghasilkan laporan yang diperlukan untuk tujuan penajaan serta pembiayaan. Saya juga membuat keputusan iaitu saya akan membelanjakan sebahagian besar keuntungan hasil jualan buku tersebut untuk membeli buku dan ditempatkan di perpustakaan kanak-kanak. Saya dapati banyak perpustakaan yang mempunyai banyak ruangan kosong ditempat buku kanak-kanak Islam.
Banyak lagi yang saya perlu pelajari mengenai Islam. Saya tidak pernah jemu membaca Quran dan saya gemar membaca kisah-kisah mengenai tokoh-tokoh Islam yang unggul. Apabila saya merasa ragu-ragu dalam sesuatu perkara, saya akan merujuk pada sunnah Rasul s.a.w. Saya akan melihat bagaimana Baginda saw akan bertindak dalam sesuatu situasi dan saya akan menjadikannya sebagai panduan.
Pengembaraan saya dalam Islam akan berterusan, dan saya sentiasa mengharapkan pengalaman-pengalaman baru. Saya bersyukur kepada Allah atas sifat keampunan-Nya dan sifat penyayang-Nya.
Wallahu’alam….

04/08/2012

Author : Unknown Time : 6:03:00 pm Total Comment : 0

Kenapa Rasulullah kahwini Aisyah Ketika Muda


1- Sabit dalam hadis-hadis sahih bahawa Rasulullah SAW berkahwin dengan Aisyah r.a. ketika beliau berumur 6 tahun dan mereka mula bersama ketika Aisyah berumur 9 tahun.

2- Fakta ini diterima dengan kesepakatan seluruh umat Islam. Kata Ibn Katsir, "Hadis 'baginda berkahwin dengan Aisyah ketika berumur 6 tahun, dan bersama dengannya ketika berumur 9 tahun' tidak ada khilaf antara manusia. Ia sabit dalam kitab-kitab hadis sahih dan lain-lain". (Al-Bidayah wa an-Nihayah 3/161).

3- Tidak ada keganjilan dalam kes ini, kerana wanita yang hidup di negara-negara beriklim panas lebih cepat baligh, lebih cepat matang dan bersedia untuk menjadi isteri lebih awal.

Aisyah r.a. sendiri mengakui dengan kata-katanya, "Apabila kanak-kanak wanita mencapai umur 9 tahun, maka dia sudah bergelar wanita". (Sunan Tirmizi 3/417).

Kata Imam Syafie, "Aku melihat banyak sekali di Yaman kanak-kanak perempuan baligh ketika usia 9 tahun". (Siyar A'lam Nubala 10/91).

Kata Imam Syafie lagi, "Aku menjumpai di San'aa (Yaman) seorang nenek berusia 21 tahun". Dia mula haidh (baligh) ketika usia 9 tahun, dan melahirkan anak ketika usia 10 tahun. Anaknya pula haidh ketika usia 9 tahun dan beranak ketika usia 10 tahun". (Sunan Kubro Baihaqi 1/319).

Jadi, kebiasaan wanita-wanita Arab baligh dan bersedia menjadi isteri ketika usia 9 tahun.

4. Antara yang menunjukkan kebiasaan Arab pada zaman tersebut wanita berkahwin dalam usia yang begitu muda, ialah tidak dinukilkan oleh sejarawan bahawa musuh-musuh Nabi SAW mentohmah baginda dengan kes perkahwinannya dengan Aisyah.

Jika sekiranya ia suatu yang mengaibkan, nescaya pasti dinukilkan tohmahan-tohmahan daripada musuh-musuh sekelilingnya dari kalangan musyrikin dan munafiqin.

5. Perkahwinan baginda dengan Aisyah juga adalah pilihan Allah Taala untuk baginda. Rasulullah SAW telah bermimpi tentangnya, dan dimaklumi mimpi baginda adalah wahyu.

Di dalam Sahih Bukhari:
Maksudnya: Nabi SAW berkata kepada Aisyah, "Aku melihat engkau di dalam mimpi sebanyak dua kali. Iaitu engkau berada di dalam kelubung daripada sutera. Dan dikatakan kepadaku: Inilah isteri kamu, maka singkapkanlah dia. Tiba-tiba perempuan itu ialah engkau. Lalu aku berkata: Jika ia adalah daripada Allah, maka Dia akan meneruskannya". (Bukhari no: 3682).

6. Antara hikmah perkahwinan baginda dengan Aisyah ialah dari sudut sebaran ilmu hadis. Dimaklumi Aisyah adalah seorang wanita yang cerdik dan bijak. Kebersamaannya dengan baginda sejak usia 9 tahun telah memberi ruang yang luas kepadanya untuk tahammul (menghafal) hadis-hadis Nabi. Dan terbukti beliau termasuk sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis.

7. Tohmahan musuh-musuh Islam, bahawa baginda berkahwin dengan Aisyah yang muda semata-mata kerana nafsu adalah tertolak. Lihatlah kesemua isteri-isteri Nabi SAW selain Aisyah. Kesemua mereka adalah janda, kecuali Aisyah. Malahan ada yang menjadi isteri baginda ketika sudah berusia seperti Saudah.

Sebenarnya, musuh-musuh Islam sudah ketandusan idea untuk menolak kehebatan dan kebenaran agama Islam ini. Sehingga akhirnya mereka terpaksa membuat tohmahan berbentuk keduniaan pula. 

Wallahu A'lam.

20/07/2012

Author : Unknown Time : 12:00:00 pm Total Comment : 0

Penemuan Saintifik Mengenai Susu Ibu Bukti Kebenaran Al-Quran


“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman: ayat 14)

Terdapat banyak faedah kepada kedua-dua ibu dan bayi apabila kita mengamalkan penyusuan bayi secara natural. Kita disaran memberi susu ibu kepada bayi sehingga bayi berusia sekurang-kurangnya 6 bulan tanpa makanan sampingan lain, tanpa susu formula lain dan tanpa diberi air masak pun kepada bayi.
Susu ibu kaya dengan antibodi serta hormon-hormon yang mampu memberi perlindungan kepada bayi daripada masalah usus (gastrousus), jangkitan pada pernafasan, jangkitan telinga, alahan makanan, kerosakan gigi, pneumonia dan meningitis. Ia juga menggalakkan pertumbuhan pembentukan otot-otot muka dan rahang.
kajian terbaru yang dijalankan oleh Profesor Catharina Svanborg, seorang pensyarah imunologi dari Universiti Lund, Sweeden, susu ibu membantu untuk mencegah bayi dari mendapat kanser.
“Zat yang disebut alpha-lac (alphalactalbumin), yang terdapat dalam jumlah besar di dalam susu ibu, yang mengenali keberadaan sel-sel kanser dan membunuhnya”.
manusia berusaha untuk mencari cara melawan kanser dengan rawatan kimoterapi dan berbagai-bagai cara lain, namun Allah terlebih dahulu telah menunjukkan kepada kita cara untuk melawan penyakit berbahaya ini.
satu lagi penelitian yang dilakukan oleh James W. Anderson, ahli University Kentucky – IQ bayi yang diberi susu ibu lebih tinggi 5 tahap daripada bayi lain. Susu ibu yang diberikan hingga 6 bulan bermanfaat bagi bayi, manakala anak yang disusui kurang dari 8 minggu tidak memberikan manfaat kepada IQ.
Untuk mereka yang bakal bergelar seorang ibu, fakta ini amat berguna bagi anda. Lihatlah bagaimana Al-Quran menerangkan kepada kita sebab untuk seseorang ibu menyusukan anaknya selama 2 tahun. Dan lihatlah bagaimana kajian saintifik membawa kepada kebenaran dan kebaikan yang dibawa Kalam Allah ini, ini menunjukkan kepada kita Al-Quran mendahului penemuan saintifik sejak 1400 tahun berabad yang lalu.
Menyusu bayi juga baik untuk ibu, antaranya ialah:
akan merembeskan sejenis oksitosin dimana hormon tersebut membantu mengecutkan rahim dan mengembalikan rahim ke bentuk asal. Ia juga membantu mengurangkan berat badan sehingga 500 atau lebih kalori sehari dengan aktiviti tersebut. Ia juga mengurangkan risiko terkena kanser payudara, pre-monopouse, kanser ovari dan osteoporosis. Selain itu, faedahnya adalah seperti berikut:
Jika mampu memberi susu ibu kepada bayi secara natural, ianya lebih mudah. Tidak perlu untuk membasuh botol-botol susu dan ianya boleh diberikan dimana-mana dan bila-bila masa.
Susu ibu dijadikan Allah khas untuk keperluan bayi dengan jumlah dan faedah yang sangat mencukupi. Ia mengandungi kuantiti yang paling tepat seperti nutrient, protein, lemak dan karbohidrat untuk bayi.
Tiada susu yang setanding susu ibu untuk diberikan kepada bayi. Jika penyusuan dilakukan secara natural, ia mampu mengeratkan hubungan antara ibu dan anak. Ia merupakan sentuhan kulit dan rangsangan tersebut turut dirasai bayi.
Di dalam Islam ada menyatakan bahawa besar pahalanya seorang ibu yang menyusukan anaknya. Ia menyebut bahawa demi kesihatan anak, ibu hendaklah menyusukan anak dengan susu ibu. Sejajar dengan firman Allah di dalam Al-Quran Surah Al-Baqarah Ayat 233 yang bermaksud:
“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan”
Imam Syafie berkata, “Sihat atau tidak anak itu bergantung sama ada anak disusui ibu atau tidak walaupun sekali susuan”
Kelebihan dan fadhilat menyusukan anak
1. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya (susu badan) akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.
2. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun) dan beramal soleh tidak melangar perintah Allah dan taat kepada suaminya, maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.
3. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.
4. Susu ibu menjadikan anak lebih sihat daripada terkena penyakit terutama selsema dan batuk, InsyaAllah.
5. Dengan memberi air susu ibu kepada anak, pengaruhnya sangat besar terhadap perkembangan dan kesihatan fizik dan jiwa anak.
6. Jika semalaman ibunya tidak tidur kerana menjaga anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T memberi pahala seperti memerdekakan 70 hamba ke jalan Allah.
Begitulah sayangnya Allah pada wanita yang bergelar IBU.
wallahualam….

12/07/2012

Author : Unknown Time : 10:18:00 pm Total Comment : 0

Adam dan Hawa diturunkan ke bumi


 
Setelah kejadian Adam dan Hawa memakan buah khuldi itu , Allah SWT kemudian memerintahkan kepada Jibril untuk mengeluarkan Adam dan isterinya (Hawa), merak, Ular dan Iblis yang masih berada di dalam syurga ke dunia. Mengetahui akan dikeluarkan dari syurga, Adam berdiri dan menyeru-nyeru sambil menangis, kerana akan berpisah dengan tempat yang dicintainya itu. Namun apa nak dikata takdir berbicara lain.

Maka berjalanlah mereka keluar dari syurga. Adam paling depan, menyusul Hawa, kemudian merak serta ular di belakangnya, dan terakhir iblis. Adam diturunkan di Sarandeep ( India), Hawa di Jeddah, merak di laut, ular di Isafahan, dan Iblis di Basrah (Iraq). Dengan diturunkannya ke bumi,Adam selalu menangis, kerana penyesalannya telah melanggar perintah Allah SWT.. Konon sampai dua ratus tahun lamanya ia menangis, seraya mengucapkan do'a pengampunan :


رَبّنا ظَلَمْنا أَنْفُسَنا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنا وَ تَرْحَمْنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخاسِرينَ

" Robbanaa zolamnaa an fuusanaa wa illam taghfirlanaa wa tarhamnaa lanakunanna minal khoosiriin".
"Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi."QS. Al-A’raf [7]: 23

Begitu banyak air matanya yang mengalir, terbentuklah menjadi aliran-aliran sungai. Dari tebing-tebing sungai itu terbentuk pula kurma, delima, gaharu, ababar, cendana, kayu mansi, dan qarnafal. Seekor binatang yang bernama Tha'irun-nasar melihat Adam menangis, ia ikut pula menangis. Binatang-binatang lain yang mengetahuinya ikut pula menangis. Sementara itu, Hawa pun sama pula menangis. Dari air matanya, jadilah celak dan inai. Sedangkan yang mengalir ke laut menjadi mutiara yang nantinya menjadi perhiasan.

Hingga pada suatu hari, Jibril datang kepada Nabi Adam as, dan berkata : " Hai nabi Allah Adam, " Hajja qobla minal maut," ertinya, "Naik hajilah engkau terlebih dahulu sebelum wafat." Begitu mendengar kata mati, Nabi Adam as bergetar ketakutan. " Ke mana jalanku Jibril?" tanya nabi Adam. " Ka'bah Allah ta'ala" jawab Jibril. Menerima perintah itu, Nabi Adam as pun berangkat menunaikan ibadah haji. Konon, wilayah yang menjadi tempat pemberhentian nabi Adam as kelak akan menjadi negeri yang makmur dan besar. Berapa waktunya Adam as mengadakan perjalanan. Akhirnya sampai juga di Baitul Makmur. Di sana Adam as berjumpa dengan banyak Malaikat. Mereka berkata kepada Adam as,

" Ya Nabi Alah, Adam dua ribu tahun lamanya kami thawaf pada Baitul Makmur ini".
Datang pula ke Padang Arafah, lalu ke Jabal Rahmah. Di sini dia duduk seraya melihat ke Padang Arafah. Dari kejauhan terlihat ada seorang yang tengah berjalan ke arahnya. Semakin dekat wajahnya semakin di kenal. Ternyata yang dilihatnya dialah Hawa, isterinya. Digandengnya Hawa ke sampingnya. Keduanya pun menangis terharu, takut terhadap Alah SWT, dan sedih telah meninggalkan syurga. Para Malaikat di langit yang menyaksikan kejadian tersebut, turut pula menangis terharu. Allah SWT pun berkenan menyingkapkan hijab dari penglihatan Adam as, untuk melihat 'Arsy Allah. Di tiang 'Arsy itu Nabi Adam as melihat tertera kalimat "LAA ILAHA ILLALLAAH MUHAMMADAN RASUULULLAH."

Sembah Nabi Adam as, " Ya Tuhanku, demi kemuliaan nama-Mu yang tersurat pada tiang 'Arsy itu, hamba bertaubat kepada-Mu, dan bukakan pintu taubat kepada hamba-Mu ini;"

Firman Allah SWT melalui Jibril, " Ya Adam, telah diperkenankan oleh Tuhanmu terhadap taubatmu itu. Hai Adam, jika tatkala engkau di dalam Syurga itu minta Syafaat kepada yang empunya nama itu, niscaya tidaklah engkau akan dikeluarkan dari dalam syurga. Ketika dikerjakan oleh mereka amal soleh, maka mereka itu Ku masukkan ke dalam syurga. Dan barangsiapa tidak percaya terhadap Aku, dan rasul-Ku, di samping itu menyembah kepada selain Aku, maka sesungguhnya akan Ku masukkan dia ke dalam neraka.

Hai Adam, tidakkah dahulu telah Ku larang terhadap engkau bahawa hendaklah jangan kau dekati pohon khuldi itu, dan hendaklah kau ambil iblis itu sebagai musuh bagi kamu berdua? Namun, kamu tidak ikut terhadap perkataan-Ku, maka jadilah engkau sekarang bersama-sama dengan dia di dalam dunia ini.

" Hai Adam, tidakkah Aku akan mencegah seseorang tatkala ia berbuat durhaka kepada-Ku, kerana telah Ku larang kepada dia sebelumnya. Hai Adam, sekarang pun Ku ingatkan engkau, jangan diperdayakan oleh iblis sebagaimana halnya diperdayakannya engkau tatkala ada di dalam syurga, dan lagi akan diperdayakannya anak cucumu seperti diperdayakannya engkau."

Bergetar ketakutan Nabi Adam as dan Hawa mendengar firman Allah SWT tersebut. Bersujudlah mereka kehadirat Allah SWT seraya menangis.

"Ya Tuhanku, Engkau juga Tuhan Yang Maha Pengampun terhadap dosa kami, dan mengasihi kami, maka peliharalah oleh-Mu kami dari bencana iblis 'alay laknat' itu. Dan jauhkanlah kami darinya."

Lalu Allah SWT memanggil Malaikat-Nya, yaitu Hajarul Aswad "Mana Hajarul Aswad?" Mendengar perkataan itu, Hajarul Aswad pun datang bersembah kepada Allah SWT.

" Pergilah engkau berjanji setia dengan Adam ke bumi, dan tuliskan olehmu seluruh janji-Ku Adam dan anak cucunya," perintah Allah SWT. Hajarul Aswad pun turun ke bumi.

Dituliskan seluruh anak cucu Adam yang kemungkinan akan mengisi syurga dan neraka. Setelah selesai, surat itu diperintahkan oleh Allah SWt kepada malaikat-Nya untuk dimasukkan ke dalam mulut Hajarul Aswad. Selanjutnya, Hajarul Aswad dikehendaki oleh Allah SWT menjadi batu. Pada awalnya batu itu berwarna putih. Oleh kerana proses alamiah ( seperti terkena hujan dan panas matahari), maka beberapa lama kemudian batu itu berubah warna menjadi hitam. Yang kelak, di hari akhirat, Hajarul Aswad akan kembali menjadi Malaikat, dan memberitahukan apa yang ada di tulisannya itu.


Wallahu a’lam (Allah Yang Maha Mengetahui)

04/06/2012

Author : Unknown Time : 1:45:00 pm Total Comment : 0

~♥~ GAYA PEMERINTAHAN UMAR ABDUL AZIZ ~♥~




1. Umar Abdul Aziz Yang Adil


Pada suatu malam, Umar Abdul Aziz melihat dokumen-dokumen kerajaan di rumahnya dibawah cahaya bilik yang suram yang sekaligus memberikannya ketenangan untuk menelaah. Keadaan ini menyebabkan kehadiran isterinya, Fatimah tidak langsung disedarinya yang kemudian menyapanya.

“Yang mulia! Bolehkan kau luangkan sedikit masamu untukku sejenak? Aku ingin merundingkan mengenai hal peribadi denganmu,” kata Fatimah dengan hormat.

“Tentu sahaja,” jawab Umar lalu berpaling dari kertas-kertas di atas mejanya, kemudian menyambung, “Tapi tolong matikan lampu itu, lampu milik negara, dan nyalakan lampumu sendiri. Aku tidak mahu memakai minyak negara bagi membicarakan hal peribadi,” jawabnya.

Sebagai isteri yang patuh, Fatimah menuruti kehendak Umar.

2. Umar Mengelak Pembaziran

Pada suatu hari, Umar mengundang beberapa pemimpinnya untuk makan malam dirumahnya. Sebelum itu, dia memerintahkan tukang masaknya agar melewatkan penyiapan masakan.

Pada saat para tetamunya mula merintih kelaparan, barulah dia meminta jurumasaknya menyediakan santapan. Sebagai mengalas perut, dia menghidangkan dahulu roti panggang. Makanan yang sederhana ini segera dimakan oleh Umar dan tetamunya yang kelaparan. Kemudian, makanan siap dimasak dan dihidangkan tetapi ditolak oleh para tetamu yang kekenyangan.

Umar yang amat memahami tingkah laku tetamunya segera berkata, “Wahai saudaraku, jika kau mampu makan dengan makanan yang sederhana lalu mengapa kau sewenang-wenangnya merampas hak milik orang lain?” Ucapan ini ternyata memberikan keinsafan kepada tetamunya sehinggakan mereka menitiskan airmata.

3. Umar menolak hadiah dan suapan

Pernah seseorang menghadiahkan Umar sebakul buah epal kepadanya. Umar amat menghargai pemberian itu, tetapi dia menolak permintaan itu dengan baik. Orang itu memberikan contoh Nabi yang pernah menerima hadiah pemberian sahabat.

“Hadiah itu tidak dapat disangsikan lagi memang untuk Nabi, tetapi andai diberikan kepadaku, ia merupakan satu suapan,” jawab Umar.

4. Ketegasan Umar

Umar membawa banyak pembaharuan dalam pentadbiran, kewangan dan pendidikan. Anaknya, Abdul Malik pernah menasihati Umar agar mengadakan pembaharuan dengan lebih tegas.

“Anakku, ketegasan hanya akan berhasil melalui mata pedang. Tetapi pembaharuan tidak akan mendatangkan manfaat yang baik melalui mata pedang,” Umar menjawab,

Umar memang tidak berminat menyebarluaskan Islam melalui mata pedang dan menjalankan misinya dengan damai dengan mengajak mereka memeluk Islam secara aman.

5. Sikap tawadduk Umar

Pada suatu malam, Umar bin Abdul Aziz sedang menulis di kediamannya. Tiba-tiba terdengar pintu diketuk. Seorang tetamu masuk dan berbincang sesuatu dengannya. Saat itulah lampu yang berada di atas meja Umar menjadi malap dan sepertinya kehabisan minyak.

Tetamu tadi terburu-buru bangkit dari duduknya. “Biar saya yang perbaikinya,” kata tetamu itu dengan tujuan untuk menambah minyak lampu itu.

“Bukanlah perbuatan mulia membiarkan tetamu melakukan kerja,” ujar Umar.

“Kalau begitu, biar saya bangunkan pembantumu!” kata tetamu itu lagi.

“Dia baru saja tidur,” jawab Umar lalu segera bangun dan mengisi minyak lampu.

“Apakah engkau sendiri yang melakukannya, wahai Amirul Mukminin?” tanya tetamu itu kehairanan.

“Sama ada aku melakukannya atau tidak, tetap saja aku Umar. Tidak ada yang berkurang dariku. Sebaik-baik orang adalah mereka yang tawadhu di sisi Allah,” jawab Umar.

Wallahualam....

02/06/2012

Author : Unknown Time : 12:35:00 pm Total Comment : 0

KINI UMAT ISLAM PALING RAMAI DI DUNIA



PENDAHULUAN

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT. Artikel ini saya kongsikan sebagai berita gembira untuk umat Islam, bukan bahan untuk bermegah-megah bahawa umat Islam semakin ramai. Yang penting ialah kualiti seseorang Muslim, bukan kuantiti. Juga yang penting ialah ramai tapi bersatu, bukan ramai tapi berpecah-belah. Selamat membaca. Semoga bermanfaat.

STATISTIK TERKINI UMAT ISLAM SEDUNIA

Penduduk Muslim 2010: Asia Pasifik 1,005,507,000 (62.1%). Timur Tengah dan Afrika Utara 321,869,000 (19.9%). Afrika Sub-Sahara 242,544,000 (15.0%). Eropah 44,138,000 (2.7%). Amerika 5,256,000 (0.3%). Jumlah 1,619,314,000 (100%). Jangkaan Penduduk Muslim 2030: Asia Pasifik 1,295,625,000 (59.2%). Timur Tengah dan Afrika Utara 439,453,000 (20.1%). Afrika Sub-Sahara 385,939,000 (17.6%). Eropah 58,209,000 (2.7%). Amerika 10,927,000 (0.5%). Jumlah 2,190,154,000 (100%) Sumber: Pew Research Center's Forum on Religion & Public Life, The Future of the Global Muslim Population (Washington, DC: Pew Research Center, 2011).

Nota: Statistik yang dikemukakan oleh Pew Research Center tidak selaras dengan statistik CIA. Namun saya paparkan juga untuk tujuan perbandingan.

JUMLAH UMAT ISLAM SUDAH ATASI JUMLAH KRISTIAN

Ia fakta yang telah diketahui umum. Islam adalah agama terbesar di dunia dari segi jumlah penganut yang mempraktikkan Islam (practising followers). Kini Islam juga merupakan agama terbesar dari sudut jumlah kasar (gross numbers). Menurut statistik Agensi Perisikan Pusat, Amerika (CIA), jumlah penduduk Islam telah meningkat dari 1.6 bilion pada tahun 2005 ke 1.84 bilion pada Ogos 2007.

Ada dua sebab mengapa hal ini berlaku: (1) Peningkatan pantas jumlah saudara baru Islam (2) Peningkatan pantas penduduk Islam (faktor kadar kelahiran).

1) Peningkatan pantas jumlah saudara baru Islam.

Menurut Universiti Chicago, 300 hingga 400 warga Amerika kembali kepada Islam setiap hari. Islam adalah agama kedua terbesar di kebanyakan negara Barat termasuk Amerika dengan lebih dari 10 juta umat Islam, dan sekurang-kurangnya 30% dari jumlah ini adalah saudara baru. 70% dari saudara baru adalah wanita. Menurut laporan EU, penduduk Muslim di Eropah akan meningkat tiga kali ganda dalam masa 10 tahun.

2) Peningkatan pantas penduduk Islam

Negara-negara seperti Pakistan, India, Bangladesh, Indonesia, Malaysia dll, seramai 3,500,000 Muslim lahir setiap tahun. Kadar kelahiran umat Islam naik pantas sedangkan di kalangan umat Kristian ianya menurun. Kristian kalah dari segi bilangan ini berbanding Islam, Buddha, athiest dan lain-lain falsafah timur. Jumlah terkini umat Kristian ialah 1.8 bilion penganut.

Memang benar bahawa dari jumlah 1.84 bilion Muslim, bukan semuanya Muslim yang sebenar. Tapi hal itu serupa saja dengan penganut Kristian, bukan semuanya Kristian yang sebenar. Mereka iktiraf JW dan lain-lain sebagai Kristian. Walau bagaimana pun, mana-mana puak yang tertolak telah diambilkira dalam statistik yang dikeluarkan.

PERBANDINGAN JUMLAH ISLAM VS KRISTIAN

Berdasarkan statistik 2007 yang dikeluarkan oleh CIA: Roman Katolik 16.99%, Protestant 5.78%, Ortodoks 3.53%, Anglicans 1.25%. Jumlah Kristian ialah 33.3%. Perhatikan peratusan Roman Katolik, yang merupakan mazhab tunjang dalam agama Kristian, malah secara umumnya Kristian seolah-olah sinonim dengan mazhab Roman Katolik (yang berpusat di Vatican). Jumlah 16.99% Kristian dari penduduk dunia itu sebenarnya sudah ketinggalan berbanding jumlah penganut agama Islam: Muslim 21.01%.

Dari segi jumlah kasar (gross number): Kristian 1.8 bilion. Muslim 1.84 bilion. (setakat 2007).

Hal ini telah menimbulkan kegusaran di kalangan pemuka Vatican. Pada 28 Mac, 2008, Gereja Vatican telah mengisytiharkan menerusi akhbar Vatican, L'osservatore Romano: Islam telah mengatasi Kristian Roman Katolik sebagai agama terbesar di dunia. Untuk pertama kali dalam sejarah, Kristian tidak lagi menduduki tempat pertama kerana sudah diatasi oleh Islam. Wakil Vatican berkata dalam satu temuramah dengan Akhbar Vatican bahawa Roman Katolik mewakili 17.4% dari penduduk dunia sedangkan Muslim mewakili 19.2%. Data adalah merujuk tahun 2006. ( Data mengenai Muslim dikumpulkan oleh negara Islam kemudian dihantar ke Bangsa-Bangsa Bersatu).


KERISAUAN PUAK KRISTIAN

Para pemuka agama Kristian Roman Katolik ada sebab-sebab jelas mengapa mereka menjadi risau berikutan perkembangan ini. Mereka sudah tahu bahawa nisbah bilangan umat Islam itu tidak akan dapat diatasi lagi di masa akan datang. Bila nisbah umat Islam sudah mengatasi nisbah umat Kristian, maka jurang nisbah itu semakin hari semakin besar. Ada dua sebab paling utama mengapa hal ini berlaku:

(1) Kadar Kelahiran Umat Islam Lebih Tinggi

Keluarga Muslim terkenal mempunyai ramai anak sementara Roman Katolik mempunyai anak yang semakin sedikit. Institusi keluarga Muslim yang stabil membolehkan kehidupan keluarga bahagia dan saling sayang menyayangi. Umat Islam tidak menganggap bertambahnya ahli keluarga sebagai beban, malah menganggapnya sebagai aset.

(2) Peningkatan Mendadak Saudara Baru

Terutamanya setelah fitnah WTC 911, bila mana banyak statistik mengenai umat Islam mula direkod dengan lebih kemas, didapati bahawa jumlah saudara-saudara baru Islam secara komparatif telah meningkat, bukan menurun (sebagaimana yang diharapkan oleh Yahudi Zionis). Penduduk di Barat telah secara senyap-senyap mendapatkan maklumat mengenai Islam menerusi membaca buku, melayari laman-laman web serta menonton video di internet. Sebahagian dari mereka ini telah secara senyap-senyap mengucap syahadah dan melakukan ibadah sebagai Muslim, dan hanya diketahui oleh keluarga mereka setelah beberapa tahun mereka kembali kepada Islam.

Inilah yang paling merisaukan pihak Vatican. Telah wujud begitu banyak maklumat-maklumat benar mengenai Islam dari sumber-sumber berwibawa di internet. Ia termasuklah terjemahan Al-Qur'an, terjemahan Hadis, video-video ceramah mengenai Islam dan penerangan-penerangan mengenai bagaimanakah jika mahu memeluk Islam dsb. Masjid-masjid di Barat dan badan-badan dakwah telah berusaha gigih menerangkan mengenai Islam, bahawa agama yang suci ini bukanlah agama yang menggalakkan keganasan, tapi menggalakkan kehidupan harmoni lagi aman damai.

Paling jelas, mana-mana saudara baru Islam di Barat adalah berkualiti. Mereka adalah bijakpandai. Sebahagian dari mereka adalah para Pendeta Kristian yang sudah berpuluh tahun menjadi pendakwah Kristian, malah mereka ini lahir dalam keluarga yang taat mengikut ajaran Kristian. Setelah mereka memeluk Islam, mereka menjadi pendakwah Islam yang terkenal, malah telah berjaya mengajak ibubapa dan adik-beradik mereka kembali kepada Islam.

Saudara-saudara baru yang berkualiti ini adalah individu-individu yang disegani di kawasan-kawasan tempat mereka tinggal. Sebahagiannya adalah doktor, pensyarah, jurutera, saintis, pemberita, jurnalis dsb yang tentunya berinteraksi dengan ramai orang. Mereka berjaya mengajak kawan-kawan bukan Islam untuk datang ke masjid, agar mereka ini nampak dengan mata kepala sendiri bagaimanakah umat Islam melakukan solat, dan bahawa di masjid tidak ada patung-patung. Sebahagian dari kawan-kawan yang datang ke masjid ini kemudiannya telah kembali kepada Islam, mengucap dua kalimah syahadah di hadapan kawan-kawan mereka.

Wujudnya senario bila mana saudara-saudara baru yang berkualiti ini memutuskan bahawa Islam adalah agama yang sebenar bukanlah satu perkara yang berlaku sekelip mata. Mereka ini telah mengkaji berbagai-bagai agama lain dan membuat perbandingan. Mereka juga telah mengkaji Kristian Roman Katolik dan telah mengemukakan berbagai soalan kepada para paderi. Mereka sudah yakin kepada Islam sebelum memeluk Islam!

Keadaan ini (saudara baru yang berkualti) amat sukar diperolehi oleh Kristian Roman Katolik. Mereka tahu bahawa sesiapa yang mengkaji sendiri dan membandingkan agama-agama amat sukar menemui apa yang dikatakan kebenaran hakiki dalam agama Kristian, terutama setelah mengkaji Bible. Kerana itu, mereka lebih percaya pada 'Christian by default' iaitu melalui kelahiran, kemudian ibubapa akan membawa anak-anak ke gereja untuk dibaptis.

Pada 31 Ogos 2005, Pope Benedict VII memaklumkan kepada umat Katolik agar melahirkan lebih banyak anak. Mengapakah Gereja Roman Katolik perlu bergantung kepada kadar kelahiran dan bayi? Kerana orangramai tidak menukar agama menjadi Kristian Katolik berdasarkan pada kajian terhadap Bible. Ringkasnya, jika seseorang itu mengkaji Bible untuk mencari 'kebenaran', maka mereka tidak akan menemukannya.

Contoh mudah: Jesus dikatakan oleh Kristian Roman Katolik sebagai Tuhan. Tapi Jesus (Tuhan) telah dibunuh. Alasan mereka (bahawa Tuhan Jesus membiarkan dirinya disalib) ialah untuk mengampunkan dosa umat Kristian. Tapi umat Kristian masih perlu 'diampunkan dosanya' oleh paderi yang berkelayakan dengan membeli Sijil Pengampunan!

GEREJA BERTUKAR MENJADI MASJID

Sebenarnya hal ini merupakan kempen secara langsung kepada para penganut Kristian Roman Katolik supaya mengkaji dengan lebih lanjut mengenai sebab-sebab gereja sudah tidak ada pengunjung, ditutup, kemudian dibeli oleh orang Islam, lalu dijadikan masjid. Tidak dapat tidak, mereka akan mengkaji kenapa para penganut Kristian kembali kepada Islam di benua Eropah dan Amerika. Dulu mereka amat kurang mengetahui mengenai Islam, tapi pada masa kini mereka dalam senyap-senyap sudah membaca terjemahan Al-Qur'an, dan melihat kawan-kawan mereka yang dulunya ke gereja, kini sudah ke masjid.

Beribu-ribu gereja di Eropah dan Amerika sudah ditutup kerana bilangan 'practising Christians' sudah berkurangan. Bilangan gereka yang ditutup bertambah, bukan berkurang. Sebahagian besar dari gereja-gereja ini sudah menjadi masjid, dan dipenuhi oleh 'practising Muslims' yang dulunya (kebanyakannya) beragama Kristian.

KESIMPULAN

Nota ini tidak bertujuan merendah-rendahkan para penganut agama Kristian Roman Katolik. Sebagai seorang Muslim, saya sendiri menganggap bahawa apa yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT. Bila sampai masa yang dikehendakiNya, maka berbondong-bondonglah penduduk Barat kembali kepada Islam, dan mereka menjadi umat Islam yang berkualiti, yang mempraktikkan Islam dalam kehidupan mereka sehari-hari. Mereka bukan masuk Islam pada nama saja. Sebahagian dari mereka masih mengekalkan nama Kristian, tapi mereka adalah Muslim yang berkualiti. Mereka ini malah patut menjadi contoh teladan kepada umat Islam di Timur apatah lagi di Timur Tengah.

Mengapa? Kerana keperibadian mereka, jelasnya cara mereka berinteraksi sesama mereka dan bila berhadapan dengan bukan Islam, adalah berhemah lagi bersopan. Mereka berdakwah menerusi peribadi yang baik. Mereka elakkan dari bergaduh, tuduh-menuduh atau mempersendakan sesama sendiri. Sebaliknya mereka berpakat dan menyusun strategi dan taktik yang mantap untuk meramaikan saudara-saudara baru Islam yang berkualiti. Mereka menjalani cara hidup yang 'Islamik' dan mereka Muslim. Maka sesiapa yang memperhatikan cara hidup mereka akan tertarik kepada Islam.

Adakah kita yang lahir dalam keluarga Muslim telah menjadi contoh teladan yang baik kepada sesiapa saja kawan-kawan kita yang bukan Islam? Maksudnya, adakah mereka nampak bahawa kita adalah 'practising Muslims'? Berdakwah tidak semestinya menyeru mereka secara terus-terang agar masuk Islam. Itu dakwah secara langsung. Dakwah secara tidak langsung mungkin lebih dialu-alukan tanpa disedari. Apa dia?

Mereka lihat kita menunaikan janji apabila berjanji. Mereka lihat kita solat bila masuk waktu. Mereka rasa lebih senang bila bersama dengan kita berbanding bila bersama rakan seagama dengan mereka. Mereka lihat kita hormat pada mereka. Mereka lihat kita memahami mereka dan tidak merendah-rendahkan pegangan mereka dsb. Ada lagi? Ada:

Mereka lihat kita sesama Muslim tidak bergaduh, tidak tuduh-menuduh, tidak kafir-mengkafir antara satu sama lain. Mereka dapat lihat golongan ulama' menyeru kepada perpaduan, bukan kepada perpecahan. Mereka lihat walaupun ada perbezaan pendapat, namun umat Islam tidaklah hingga bergaduh sesama sendiri, malah saling faham-memahami. Mereka lihat umat Islam bijak dalam politik dan amalkan politik yang sihat dsb. Ada lagi? Ada:

Mereka dapat lihat bahawa umat Islam tidak minum arak, tidak berjudi, tidak berzina. Mereka dapat lihat umat Islam jadi kuat kerana sistem zakat. Yang kaya membantu yang miskin hingga sukar untuk ditemui umat Islam yang miskin. Mereka dapat lihat bahawa umat Islam adalah berkualiti, membaca Al-Qur'an, memahaminya, dan mempraktikkannya dalam kehidupan sehari-hari. Mereka lihat umat Islam maju kerana berpegang teguh pada ajaran Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah. Mereka lihat umat Islam hormat kepada alim ulama' kerana alim ulama' melakukan dakwah bukan kerana wang atau kerana sesuatu kepentingan peribadi bersifat duniawi, tapi semata-mata kerana Allah SWT. Banyak contoh baik yang mereka dapat lihat.

Sudah wujudkah contoh-contoh yang baik itu di Timur? Ia sudah wujud, namun mungkin kualitinya belum memuaskan hingga boleh mencapai tahap bahan dakwah secara tidak langsung. Orang Islam ramai, tapi yang 'Islamik' atau apa yang mereka (bukan Islam) sebut sebagai 'practising Muslims' tidak ramai. 'Practising Muslims' bukan terletak pada melaksanakan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, haji. 'Practising Muslims' menjadikan cara hidup mereka keseluruhannya menurut suruhan Islam. Maknanya, mereka solat dan mereka tidak terima rasuah. Mereka solat dan mereka tidak pecah amanah. Mereka solat dan mereka saling hormat-menghormati dan faham-memahami sesama mereka. Mereka solat dan mereka bersungguh-sungguh untuk jadi contoh teladan yang baik.

Semoga Nota yang tidak sepertinya ini boleh jadi bahan renungan saya dan sahabat-sahabat yang sudi memikirkannya. Mudah-mudahan kita akan berubah menuju tahap 'practising Muslims' yang boleh jadi contoh. Mungkin ilmu agama kita tinggi, tapi mungkin masih ada tindak-tanduk kita yang belum benar-benar mencerminkan ketinggian ilmu yang ada pada kita itu dipraktikkan dengan baik. Kita mungkin popular dan sering berceramah di sana-sini, tapi mungkin ada terselit kata-kata yang kurang manis didengar atau tidak sesuai untuk dikatakan oleh orang berilmu seperti kita. Kita sendiri perlu berubah, bukan orang biasa saja yang perlu berubah.

Ringkasnya, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kini sudah jadi kenyataan bahawa umat Islam adalah paling ramai di atas muka bumi. Namun kita perlulah menjadi Muslim yang berkualiti, lagi diredhaiNya.

Saya mohon maaf jika terdapat kekurangan dan kesilapan dalam Nota ini. Sebagai seorang yang jahil, saya sekadar berkongsi pendapat sesuai dengan kejahilan saya. Semoga ada manfaatnya pada diri saya sendiri dan juga kepada sahabat-sahabat yang saya kasihi kesemuanya.

~WALLAHUALAM~


 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.