Peringkat penurunan Al-Quran
Para  ulama menyatakan penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu  secara sekaligus, dan berperingkat. Walau bagaimanapun mereka berselisih  pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara  sekaligus. Terdapat tiga pandangan mengenai hal ini, iaitu :
- Penurunan al-Quran dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz;
- Kali kedua, dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia; dan
- Kali ketiga, penurunan kepada Jibril a.s. dalam tempoh 20 malam.
Al-Suyuti  dalam kitabnya ‘al-Itqan if Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat  oleh Ibn ‘Abbas, Hakim Dan al-Nasa’i, hanya membahagikan kepada dua  peringkat sahaja iaitu dari al-Lauh Mahfuz ke Bait al-‘Izzah Dan dari  Bait al-‘Izzah kepada Rasulullah s.a.w. Melalui Jibril a.s.
- 1. Dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz.
Penurunan  ini berlaku sekaligus dengan tujuan untuk membuktikan ketinggian dan  kekuasaan Allah SWT. Para Malaikat menyaksikan bahawa segala perkara  yang ditentukan oleh Allah SWT di Luh Mahfuz ini benar-benar berlaku.  Pendapat ini disandarkan kepada ayat 21 Dan 22 surah al-Buruj yang  berbunyi,
بَلْ  هُوَ قُرْآنٌ مجيد فِي لَوْحٍ مَحْفُوظ . “(Sebenarnya apa yang engkau  sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah  Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan  sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.” (al-Buruj:21-22)
- 2. Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-’Izzah di langit dunia.
Penurunan  kali kedua secara sekaligus dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-’Izzah di  langit dunia dipercayai berlaku berpandukan kepada tiga (3) ayat  al-Quran sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas; Allah SWT  berfirman,
شَهْرُ  رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ  وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ  الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ  مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ  بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى  مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ “(Masa yang diwajibkan kamu  berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran,  menjadi petunjuk bagi sekalian manusia Dan menjadi keterangan-keterangan  yang menjelaskan petunjuk Dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar  dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan  anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa  bulan itu Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia  berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak Hari yang ditinggalkan  itu pada hari-Hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu)  Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu  menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa  (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat  petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah:185) Firman Allah  SWT,
إِنَّا  أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ  “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat;  (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi  peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”  (ad-Dukhan:3) Firman Allah SWT,
إِنَّا  أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ “Sesungguhnya Kami telah  menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (al-Qadr:1) Ibn  ‘Abbas juga menyatakan mengikut apa yang diriwayatkan oleh Said b.  Jubayr: “Al-Quran diturunkan sekaligus pada malam yang penuh berkat.”  Ikrimah pula meriwayatkan ‘Abdullah bin ‘Abbas berkata: “Al-Quran  diasingkan daripada al-Dhikr ‘الذكر’ dan ditempatkan di Bait al-‘Izzah  di langit dunia.
Ibn  Marduwayh dan al-Baihaqi mencatatkan perbualan antara ‘Atiyyah bin  al-Aswad dan ‘Abdullah bin ‘Abbas yang mana ‘Atiyyah agak keliru  mengenai penurunan ayat-ayat ini, “Pada bulan Ramadhan al-Quran  diturunkan”, dan “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada  Malam Lailatul-Qadar”, ia juga diturunkan pada bulan Syawwal, Dhu  al-Qaedah, Dhu al-Hijjah, al-Muharram, Safar dan Rabi’ al-Awwal.”  Kemudian Ibn ‘Abbas menjelaskan: “Al-Quran diturunkan pada malam  Lailatul-Qadar sekaligus kemudiannya untuk diwahyukan kepada Rasulullah  s.a.w. secara beransur-ansur selama beberapa bulan dan hari.”
- 3. Dari Bait al-’Izzah kepada Rasulullah S.A.W. (dalam masa 20 malam).
Penurunan  di peringkat ini telah berlaku secara beransur-ansur. Al-Quran mula  diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. sejak baginda dilantik menjadi  Rasulullah S.A.W, dan selesai apabila baginda hampir wafat, iaitu dalam  tempoh dua puluh tiga tahun. Tiga belas tahun di Makkah dan sepuluh  tahun di Madinah al-Munawwarah. Mengikut pendapat ini, Jibril A.S.(Angel  Gabriel) diberi Malam Lailatul-Qadar setiap tahun, dari mula turun  wahyu hingga ke akhirnya sepanjang tempoh kenabian, sebahagian daripada  al-Quran disimpan di Bait al-‘Izzah yang mencukupi baginya untuk  disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. dalam masa 20 malam. Pandangan ini  dipegang kuat oleh al-Mawardi.
Kritikan terhadap pandangan atau pendapat di atas
Mengenai  pendapat pertama mengenai al-Quran diturunkan sekaligus dari Allah SWT  ke al-Lauh Mahfuz tidak disokong oleh bukti yang jelas dan kukuh. Ayat  dalam surah al-Buruj yang digunakan sebagai hujah tidak menunjukkan  secara tersurat atau tersirat mengenai penurunan sekaligus. Para ulama  hanya membuat tafsiran pada ayat ini. Maksud ayat ini menceritakan  tentang al-Quran dipelihara daripada sebarang pencemaran. Ayat ini  ditujukan kepada musuh-musuh Islam yang cuba menambah, mengurang atau  mengubah ayat al-Quran tidak akan dapat berbuat demikian kerana ia akan  tetap tulen dan selamat. Tafsiran ini disokong oleh para mufassir  seperti Tabari, Baghawi, Razi dan Ibn Kathir. Pendapat kedua tentang  penurunan sekaligus ke Bait al-‘Izzah berpandukan kepada ayat 2, surah  al-Baqarah dan ayat 1, surah al-Qadr tidak menyatakan secara jelas  mengenai al-Quran diturunkan sekaligus pada malam yang penuh berkat  tersebut. Kenyataan al-Quran ini merujuk kepada masa ia diturunkan dan  tidak mengenai bagaimana atau cara ia diturunkan. Ulama tabiin yang  terkenal ‘Amir al-Sha’abi mengatakan: “Sudah pasti penurunan al-Quran  berlaku pada Malam Lailatul-Qadr pada bulan Ramadhan, dan terus turun  dalam masa 23 tahun. Tidak ada Nuzul lain melainkan yang diturunkan  kepada Rasulullah SAW.”
Jumhur  bersetuju yang ayat 1-5 daripada surah al-‘Alaq diturunkan di akhir  Ramadhan 13 tahun sebelum Hijrah. Ketiga-tiga ayat yang dijadikan hujah  di atas, tidak dinafikan, merujuk kepada ayat 1-15 surah al-‘Alaq. Cuma  para ulama mentafsirkan ayat 185 surah al-Baqarah sebagai ‘keseluruhan  al-Quran’. Para ulama, fuqaha, ahli hadith dan ahli tafsir semuanya  bersetuju perkataan al-Quran merujuk kepada sebuah al-Quran atau  sebahagian daripadanya. Malah ia dinyatakan dalam surah al-A’raf, ayat  204, Allah SWT berfirman,
وَإِذَا  قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ  تُرْحَمُونَ “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia  serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya  kamu beroleh rahmat.”
Mengenai  riwayat Ibn ‘Abbas, ia merupakan pandangan beliau dan tidak ada  dikaitkan dengan sebarang ucapan Rasulullah s.a.w. sebagai satu sumber  menyokong pendapatnya. Suatu persoalan timbul mengapa perkara sepenting  ini hanya disebut oleh Ibn ‘Abbas sedangkan di kalangan sahabat yang  diiktiraf sebagai pakar al-Quran seperti ‘Abdullah Mas’ud, Ubayy bin  Ka’ab, Zaid bin Thabit dan Mu’az bin Jabal tidak membicarakan perkara  Nuzul al-Quran yang diturun sekaligus ke Bait al-‘Izzah(langit dunia).  Al-Zarqani berpendapat tidak wajar untuk mempersoalkan atau tidak  mempercayai Ibn ‘Abbas kerana beliau dikenali sebagai orang yang tidak  ada kaitan dengan cerita-cerita israiliyat serta pendiriannya sebagai  ‘sahabat’, oleh itu beliau tergolong di bawah ‘Hukm al-Marfu’ iaitu  perkara yang ada hubungan dengan Rasulullah SAW.
Sebahagian  ulama berpendapat penurunan al-Quran hanya sekali sahaja iaitu daripada  Allah SWT terus kepada Rasulullah melalui Jibril(Gabriel) secara  berperingkat dan bukannya tiga kali dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz,  ke Bait al-‘Izzah(langit dunia) dan kepada Rasulullah. Penulisan ini  tidak akan terbabit dalam perbahasan ulama mengenai jumlah penurunan dan  juga mengenai riwayat Ibn ‘Abbas bersandarkan kepada Rasulullah atau  tidak. Penulis hanya menyampaikan adanya perbezaan pendapat di kalangan  ulama mengenai jumlah Nuzul.

Tweet
 



 
 Penterjemahan Al-Quran
Penterjemahan Al-Quran
0 Komen: