PENDAHULUAN
Sahabat-sahabat
yang dirahmati Allah SWT. Artikel ini saya kongsikan sebagai berita
gembira untuk umat Islam, bukan bahan untuk bermegah-megah bahawa umat
Islam semakin ramai. Yang penting ialah kualiti seseorang Muslim, bukan
kuantiti. Juga yang penting ialah ramai tapi bersatu, bukan ramai tapi
berpecah-belah. Selamat membaca. Semoga bermanfaat.
STATISTIK TERKINI UMAT ISLAM SEDUNIA
Penduduk Muslim 2010: Asia
Pasifik 1,005,507,000 (62.1%). Timur Tengah dan Afrika Utara
321,869,000 (19.9%). Afrika Sub-Sahara 242,544,000 (15.0%). Eropah
44,138,000 (2.7%). Amerika 5,256,000 (0.3%). Jumlah 1,619,314,000 (100%). Jangkaan Penduduk Muslim 2030: Asia
Pasifik 1,295,625,000 (59.2%). Timur Tengah dan Afrika Utara
439,453,000 (20.1%). Afrika Sub-Sahara 385,939,000 (17.6%). Eropah
58,209,000 (2.7%). Amerika 10,927,000 (0.5%). Jumlah 2,190,154,000
(100%) Sumber: Pew Research Center's Forum on Religion & Public
Life, The Future of the Global Muslim Population (Washington, DC: Pew
Research Center, 2011).
Nota:
Statistik yang dikemukakan oleh Pew Research Center tidak selaras
dengan statistik CIA. Namun saya paparkan juga untuk tujuan
perbandingan.
JUMLAH UMAT ISLAM SUDAH ATASI JUMLAH KRISTIAN
Ia
fakta yang telah diketahui umum. Islam adalah agama terbesar di dunia
dari segi jumlah penganut yang mempraktikkan Islam (practising
followers). Kini Islam juga merupakan agama terbesar dari sudut jumlah
kasar (gross numbers). Menurut statistik Agensi Perisikan Pusat, Amerika
(CIA), jumlah penduduk Islam telah meningkat dari 1.6 bilion pada tahun
2005 ke 1.84 bilion pada Ogos 2007.
Ada
dua sebab mengapa hal ini berlaku: (1) Peningkatan pantas jumlah
saudara baru Islam (2) Peningkatan pantas penduduk Islam (faktor kadar
kelahiran).
1) Peningkatan pantas jumlah saudara baru Islam.
Menurut
Universiti Chicago, 300 hingga 400 warga Amerika kembali kepada Islam
setiap hari. Islam adalah agama kedua terbesar di kebanyakan negara
Barat termasuk Amerika dengan lebih dari 10 juta umat Islam, dan
sekurang-kurangnya 30% dari jumlah ini adalah saudara baru. 70% dari
saudara baru adalah wanita. Menurut laporan EU, penduduk Muslim di
Eropah akan meningkat tiga kali ganda dalam masa 10 tahun.
2) Peningkatan pantas penduduk Islam
Negara-negara
seperti Pakistan, India, Bangladesh, Indonesia, Malaysia dll, seramai
3,500,000 Muslim lahir setiap tahun. Kadar kelahiran umat Islam naik
pantas sedangkan di kalangan umat Kristian ianya menurun. Kristian kalah
dari segi bilangan ini berbanding Islam, Buddha, athiest dan lain-lain
falsafah timur. Jumlah terkini umat Kristian ialah 1.8 bilion penganut.
Memang
benar bahawa dari jumlah 1.84 bilion Muslim, bukan semuanya Muslim yang
sebenar. Tapi hal itu serupa saja dengan penganut Kristian, bukan
semuanya Kristian yang sebenar. Mereka iktiraf JW dan lain-lain sebagai
Kristian. Walau bagaimana pun, mana-mana puak yang tertolak telah
diambilkira dalam statistik yang dikeluarkan.
PERBANDINGAN JUMLAH ISLAM VS KRISTIAN
Berdasarkan
statistik 2007 yang dikeluarkan oleh CIA: Roman Katolik 16.99%,
Protestant 5.78%, Ortodoks 3.53%, Anglicans 1.25%. Jumlah Kristian ialah
33.3%. Perhatikan peratusan Roman Katolik, yang merupakan mazhab
tunjang dalam agama Kristian, malah secara umumnya Kristian seolah-olah
sinonim dengan mazhab Roman Katolik (yang berpusat di Vatican). Jumlah
16.99% Kristian dari penduduk dunia itu sebenarnya sudah ketinggalan
berbanding jumlah penganut agama Islam: Muslim 21.01%.
Dari segi jumlah kasar (gross number): Kristian 1.8 bilion. Muslim 1.84 bilion. (setakat 2007).
Hal
ini telah menimbulkan kegusaran di kalangan pemuka Vatican. Pada 28
Mac, 2008, Gereja Vatican telah mengisytiharkan menerusi akhbar Vatican,
L'osservatore Romano: Islam telah mengatasi Kristian Roman Katolik
sebagai agama terbesar di dunia. Untuk pertama kali dalam sejarah,
Kristian tidak lagi menduduki tempat pertama kerana sudah diatasi oleh
Islam. Wakil Vatican berkata dalam satu temuramah dengan Akhbar Vatican
bahawa Roman Katolik mewakili 17.4% dari penduduk dunia sedangkan Muslim
mewakili 19.2%. Data adalah merujuk tahun 2006. ( Data mengenai Muslim
dikumpulkan oleh negara Islam kemudian dihantar ke Bangsa-Bangsa
Bersatu).
KERISAUAN PUAK KRISTIAN
Para
pemuka agama Kristian Roman Katolik ada sebab-sebab jelas mengapa
mereka menjadi risau berikutan perkembangan ini. Mereka sudah tahu
bahawa nisbah bilangan umat Islam itu tidak akan dapat diatasi lagi di
masa akan datang. Bila nisbah umat Islam sudah mengatasi nisbah umat
Kristian, maka jurang nisbah itu semakin hari semakin besar. Ada dua
sebab paling utama mengapa hal ini berlaku:
(1) Kadar Kelahiran Umat Islam Lebih Tinggi
Keluarga
Muslim terkenal mempunyai ramai anak sementara Roman Katolik mempunyai
anak yang semakin sedikit. Institusi keluarga Muslim yang stabil
membolehkan kehidupan keluarga bahagia dan saling sayang menyayangi.
Umat Islam tidak menganggap bertambahnya ahli keluarga sebagai beban,
malah menganggapnya sebagai aset.
(2) Peningkatan Mendadak Saudara Baru
Terutamanya
setelah fitnah WTC 911, bila mana banyak statistik mengenai umat Islam
mula direkod dengan lebih kemas, didapati bahawa jumlah saudara-saudara
baru Islam secara komparatif telah meningkat, bukan menurun (sebagaimana
yang diharapkan oleh Yahudi Zionis). Penduduk di Barat telah secara
senyap-senyap mendapatkan maklumat mengenai Islam menerusi membaca buku,
melayari laman-laman web serta menonton video di internet. Sebahagian
dari mereka ini telah secara senyap-senyap mengucap syahadah dan
melakukan ibadah sebagai Muslim, dan hanya diketahui oleh keluarga
mereka setelah beberapa tahun mereka kembali kepada Islam.
Inilah
yang paling merisaukan pihak Vatican. Telah wujud begitu banyak
maklumat-maklumat benar mengenai Islam dari sumber-sumber berwibawa di
internet. Ia termasuklah terjemahan Al-Qur'an, terjemahan Hadis,
video-video ceramah mengenai Islam dan penerangan-penerangan mengenai
bagaimanakah jika mahu memeluk Islam dsb. Masjid-masjid di Barat dan
badan-badan dakwah telah berusaha gigih menerangkan mengenai Islam,
bahawa agama yang suci ini bukanlah agama yang menggalakkan keganasan,
tapi menggalakkan kehidupan harmoni lagi aman damai.
Paling
jelas, mana-mana saudara baru Islam di Barat adalah berkualiti. Mereka
adalah bijakpandai. Sebahagian dari mereka adalah para Pendeta Kristian
yang sudah berpuluh tahun menjadi pendakwah Kristian, malah mereka ini
lahir dalam keluarga yang taat mengikut ajaran Kristian. Setelah mereka
memeluk Islam, mereka menjadi pendakwah Islam yang terkenal, malah telah
berjaya mengajak ibubapa dan adik-beradik mereka kembali kepada Islam.
Saudara-saudara
baru yang berkualiti ini adalah individu-individu yang disegani di
kawasan-kawasan tempat mereka tinggal. Sebahagiannya adalah doktor,
pensyarah, jurutera, saintis, pemberita, jurnalis dsb yang tentunya
berinteraksi dengan ramai orang. Mereka berjaya mengajak kawan-kawan
bukan Islam untuk datang ke masjid, agar mereka ini nampak dengan mata
kepala sendiri bagaimanakah umat Islam melakukan solat, dan bahawa di
masjid tidak ada patung-patung. Sebahagian dari kawan-kawan yang datang
ke masjid ini kemudiannya telah kembali kepada Islam, mengucap dua
kalimah syahadah di hadapan kawan-kawan mereka.
Wujudnya
senario bila mana saudara-saudara baru yang berkualiti ini memutuskan
bahawa Islam adalah agama yang sebenar bukanlah satu perkara yang
berlaku sekelip mata. Mereka ini telah mengkaji berbagai-bagai agama
lain dan membuat perbandingan. Mereka juga telah mengkaji Kristian Roman
Katolik dan telah mengemukakan berbagai soalan kepada para paderi.
Mereka sudah yakin kepada Islam sebelum memeluk Islam!
Keadaan
ini (saudara baru yang berkualti) amat sukar diperolehi oleh Kristian
Roman Katolik. Mereka tahu bahawa sesiapa yang mengkaji sendiri dan
membandingkan agama-agama amat sukar menemui apa yang dikatakan
kebenaran hakiki dalam agama Kristian, terutama setelah mengkaji Bible.
Kerana itu, mereka lebih percaya pada 'Christian by default' iaitu
melalui kelahiran, kemudian ibubapa akan membawa anak-anak ke gereja
untuk dibaptis.
Pada
31 Ogos 2005, Pope Benedict VII memaklumkan kepada umat Katolik agar
melahirkan lebih banyak anak. Mengapakah Gereja Roman Katolik perlu
bergantung kepada kadar kelahiran dan bayi? Kerana orangramai tidak
menukar agama menjadi Kristian Katolik berdasarkan pada kajian terhadap
Bible. Ringkasnya, jika seseorang itu mengkaji Bible untuk mencari
'kebenaran', maka mereka tidak akan menemukannya.
Contoh
mudah: Jesus dikatakan oleh Kristian Roman Katolik sebagai Tuhan. Tapi
Jesus (Tuhan) telah dibunuh. Alasan mereka (bahawa Tuhan Jesus
membiarkan dirinya disalib) ialah untuk mengampunkan dosa umat Kristian.
Tapi umat Kristian masih perlu 'diampunkan dosanya' oleh paderi yang
berkelayakan dengan membeli Sijil Pengampunan!
GEREJA BERTUKAR MENJADI MASJID
Sebenarnya
hal ini merupakan kempen secara langsung kepada para penganut Kristian
Roman Katolik supaya mengkaji dengan lebih lanjut mengenai sebab-sebab
gereja sudah tidak ada pengunjung, ditutup, kemudian dibeli oleh orang
Islam, lalu dijadikan masjid. Tidak dapat tidak, mereka akan mengkaji
kenapa para penganut Kristian kembali kepada Islam di benua Eropah dan
Amerika. Dulu mereka amat kurang mengetahui mengenai Islam, tapi pada
masa kini mereka dalam senyap-senyap sudah membaca terjemahan Al-Qur'an,
dan melihat kawan-kawan mereka yang dulunya ke gereja, kini sudah ke
masjid.
Beribu-ribu
gereja di Eropah dan Amerika sudah ditutup kerana bilangan 'practising
Christians' sudah berkurangan. Bilangan gereka yang ditutup bertambah,
bukan berkurang. Sebahagian besar dari gereja-gereja ini sudah menjadi
masjid, dan dipenuhi oleh 'practising Muslims' yang dulunya
(kebanyakannya) beragama Kristian.
KESIMPULAN
Nota
ini tidak bertujuan merendah-rendahkan para penganut agama Kristian
Roman Katolik. Sebagai seorang Muslim, saya sendiri menganggap bahawa
apa yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT. Bila sampai masa yang
dikehendakiNya, maka berbondong-bondonglah penduduk Barat kembali kepada
Islam, dan mereka menjadi umat Islam yang berkualiti, yang
mempraktikkan Islam dalam kehidupan mereka sehari-hari. Mereka bukan
masuk Islam pada nama saja. Sebahagian dari mereka masih mengekalkan
nama Kristian, tapi mereka adalah Muslim yang berkualiti. Mereka ini
malah patut menjadi contoh teladan kepada umat Islam di Timur apatah
lagi di Timur Tengah.
Mengapa?
Kerana keperibadian mereka, jelasnya cara mereka berinteraksi sesama
mereka dan bila berhadapan dengan bukan Islam, adalah berhemah lagi
bersopan. Mereka berdakwah menerusi peribadi yang baik. Mereka elakkan
dari bergaduh, tuduh-menuduh atau mempersendakan sesama sendiri.
Sebaliknya mereka berpakat dan menyusun strategi dan taktik yang mantap
untuk meramaikan saudara-saudara baru Islam yang berkualiti. Mereka
menjalani cara hidup yang 'Islamik' dan mereka Muslim. Maka sesiapa yang
memperhatikan cara hidup mereka akan tertarik kepada Islam.
Adakah
kita yang lahir dalam keluarga Muslim telah menjadi contoh teladan yang
baik kepada sesiapa saja kawan-kawan kita yang bukan Islam? Maksudnya,
adakah mereka nampak bahawa kita adalah 'practising Muslims'? Berdakwah
tidak semestinya menyeru mereka secara terus-terang agar masuk Islam.
Itu dakwah secara langsung. Dakwah secara tidak langsung mungkin lebih
dialu-alukan tanpa disedari. Apa dia?
Mereka
lihat kita menunaikan janji apabila berjanji. Mereka lihat kita solat
bila masuk waktu. Mereka rasa lebih senang bila bersama dengan kita
berbanding bila bersama rakan seagama dengan mereka. Mereka lihat kita
hormat pada mereka. Mereka lihat kita memahami mereka dan tidak
merendah-rendahkan pegangan mereka dsb. Ada lagi? Ada:
Mereka
lihat kita sesama Muslim tidak bergaduh, tidak tuduh-menuduh, tidak
kafir-mengkafir antara satu sama lain. Mereka dapat lihat golongan
ulama' menyeru kepada perpaduan, bukan kepada perpecahan. Mereka lihat
walaupun ada perbezaan pendapat, namun umat Islam tidaklah hingga
bergaduh sesama sendiri, malah saling faham-memahami. Mereka lihat umat
Islam bijak dalam politik dan amalkan politik yang sihat dsb. Ada lagi?
Ada:
Mereka
dapat lihat bahawa umat Islam tidak minum arak, tidak berjudi, tidak
berzina. Mereka dapat lihat umat Islam jadi kuat kerana sistem zakat.
Yang kaya membantu yang miskin hingga sukar untuk ditemui umat Islam
yang miskin. Mereka dapat lihat bahawa umat Islam adalah berkualiti,
membaca Al-Qur'an, memahaminya, dan mempraktikkannya dalam kehidupan
sehari-hari. Mereka lihat umat Islam maju kerana berpegang teguh pada
ajaran Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah. Mereka lihat umat Islam hormat
kepada alim ulama' kerana alim ulama' melakukan dakwah bukan kerana wang
atau kerana sesuatu kepentingan peribadi bersifat duniawi, tapi
semata-mata kerana Allah SWT. Banyak contoh baik yang mereka dapat
lihat.
Sudah
wujudkah contoh-contoh yang baik itu di Timur? Ia sudah wujud, namun
mungkin kualitinya belum memuaskan hingga boleh mencapai tahap bahan
dakwah secara tidak langsung. Orang Islam ramai, tapi yang 'Islamik'
atau apa yang mereka (bukan Islam) sebut sebagai 'practising Muslims'
tidak ramai. 'Practising Muslims' bukan terletak pada melaksanakan
ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, haji. 'Practising Muslims'
menjadikan cara hidup mereka keseluruhannya menurut suruhan Islam.
Maknanya, mereka solat dan mereka tidak terima rasuah. Mereka solat dan
mereka tidak pecah amanah. Mereka solat dan mereka saling
hormat-menghormati dan faham-memahami sesama mereka. Mereka solat dan
mereka bersungguh-sungguh untuk jadi contoh teladan yang baik.
Semoga
Nota yang tidak sepertinya ini boleh jadi bahan renungan saya dan
sahabat-sahabat yang sudi memikirkannya. Mudah-mudahan kita akan berubah
menuju tahap 'practising Muslims' yang boleh jadi contoh. Mungkin ilmu
agama kita tinggi, tapi mungkin masih ada tindak-tanduk kita yang belum
benar-benar mencerminkan ketinggian ilmu yang ada pada kita itu
dipraktikkan dengan baik. Kita mungkin popular dan sering berceramah di
sana-sini, tapi mungkin ada terselit kata-kata yang kurang manis
didengar atau tidak sesuai untuk dikatakan oleh orang berilmu seperti
kita. Kita sendiri perlu berubah, bukan orang biasa saja yang perlu
berubah.
Ringkasnya,
kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kini sudah jadi kenyataan
bahawa umat Islam adalah paling ramai di atas muka bumi. Namun kita
perlulah menjadi Muslim yang berkualiti, lagi diredhaiNya.
Saya
mohon maaf jika terdapat kekurangan dan kesilapan dalam Nota ini.
Sebagai seorang yang jahil, saya sekadar berkongsi pendapat sesuai
dengan kejahilan saya. Semoga ada manfaatnya pada diri saya sendiri dan
juga kepada sahabat-sahabat yang saya kasihi kesemuanya.
~WALLAHUALAM~
Sumber Rujukan: www.islamicpopulation.com/source.html, www.cia.gov/library/publications/the-world-factbook/rankorder/2119rank.html, en.wikipedia.org/wiki/CIA_World_Factbook,www.religioustolerance.org/worldrel.htm
Tweet
0 Komen: