“Masjid Malaysia di Ibu Kota Sarajevo, Bosnia – Herzegovina”
Alhamdulillah, pada tahun yang lepas saya dipertemukan dengan seorang sahabat dari
Sarajevo, Bosnia-Herzegovina yang bertugas sebagai pemandu pelancong di
segenap kota Eropah dan kini berkhidmat di Rotterdam, Belanda. Saudara
Muharem Mulasmajic itulah nama insan yang tenang ketika berbicara dan
dari sinar matanya nyata sudah pelbagai pengalaman pahit manis yang
ditempuhinya. Mahir berbahasa dalam 10 bahasa termasuk bahasa Bosnia/
Croatia/ Serbia, Arab, Inggeris, Belanda, Jerman, Sepanyol, Perancis,
Itali, Parsi dan Turki (dan menyebut insya Allah Bahasa Melayu akan
menjadi bahasa ke-11 dimahirinya) membuatkan saya kagum pada kebolehan
beliau tersebut.
Sepanjang
pengenalan ringkas, kami sempat berbincang secara agak terperinci
tentang perjalanan panjang sejarah kedatangan Islam ke Bosnia, selain
hala tuju negara Bosnia-Herzegovina yang merdeka kini. Selain
itu, beliau turut mengisahkan sejarah sebuah negara Yugoslavia yang
terdiri daripada 6 wilayah iaitu Bosnia-Herzegovina, Serbia, Montenegro,
Croatia, Slovenia dan Macedonia, namun akhirnya tercatat di lipatan
sejarah terlibat dalam memori duka Perang Bosnia-Serbia-Croatia yang
akhirnya memecahkan Yugoslavia kepada beberapa negara tersendiri. Beliau
juga meminta didoakan agar Kosovo yang kini masih di bawah cengkaman
Serbia juga akan beroleh kemerdekaan. Sama-sama kita doakan kemajuan dan
kebangkitan ummah. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.
“Yugoslavia Sekitar Tahun 1990. 1: Slovenia; 2: Croatia; 3: Bosnia-Herzegovina; 4: Serbia; 4a: Vojvodina; 4b: Kosovo; 5: Montenegro; 6: Republik Yugoslavia Macedonia; A: Lautan Adriatik”
Beliau
turut menceritakan dan masih segar di dalam ingatannya bagaimana perang
tersebut bermula apabila tentera Serbia melancarkan peluru-peluru
berpandu ke masjid-masjid ketika Muslimin Bosnia tengah menunaikan solat
‘Eidul Adha pada tahun 1991. Seperkara yang
menarik dan suka untuk saya kongsikan dengan tetamu ziarah yang budiman
sekalian ialah betapa Saudara Muharem Mulasmajic amat menyanjungi
peranan Malaysia ketika berlaku kekejaman pembersihan etnik dan perang
disebabkan perbezaan fahaman politik antara negara serumpun ini pada
tahun 1991-1996. Malah katanya, nama Malaysia sangat harum di dalam hati
rakyat Bosnia khususnya mereka yang berada di Sarajevo. Sepanjang
perbualan saya dengan beliau, lebih daripada 3 kali Saudara Muharem
menyebut dan menyanjung tinggi (Tun) Dr. Mahathir Mohamad yang lantang
bersuara dalam menyuarakan kenyataan membantah keras perang dan
pembersihan etnik di Bosnia pada awal tahun 90-an dahulu. Lebih daripada
itu, di Sarajevo juga ada sebuah masjid yang dinamakan Masjid Malaysia
yang mana menurut Saudara Muharem dibiayai sepenuhnya pembinaannya oleh
Kerajaan Malaysia.
Mengenai
memori saya dan Bosnia pula, saya tentunya masih ingat isu
tentang perang saudara ini ketika saya berada di antara Tahun 6
sehinggalah ke Tingkatan 3 yakni tempoh masa ketika perang ini tengah
berkecamuk. Apa yang saya ingat-ingat lupa kalau tidak silap pada ketika
itu ada diadakan kutipan RM1 seorang dari seluruh rakyat Malaysia oleh
Barisan Bertindak Bosnia untuk membantu saudara seaqidah di Bosnia dalam
menghadapi penganiyaan dan ujian dahsyat tersebut. Apa yang pasti dan
saya sangat-sangat ingat sehingga ke hari ini ialah apabila di kaca
televisyen ditunjukkan anak-anak Bosnia yang datang ke Malaysia dalam
program anak angkat yang dilancarkan oleh Kerajaan Malaysia. Cuma yang
mencuit hatinya ialah sebab utama saya ingat perkara ini bukan kerana
perang tersebut, tetapi kerana saya teruja melihat di televisyen betapa
cantik dan comelnya anak-anak Bosnia ini.
Berbalik
kepada pertemuan saya dengan Saudara Muharem Mulasmajic. Sebenarnya
beliau juga ada mengajak saya untuk ke Bosnia pada 11 Oktober ini dan
bersama-sama beliau menyambut ‘Eidul Fitri di Sarajevo. Hati ini
sesungguhnya dan sememangnya melonjak gembira dan teringin amat untuk ke
sana, namun apakan daya tiket pulang ke Malaysia telah dijadualkan pada
7 Oktober ini. Lebih-lebih lagi beraya bersama keluarga di kampung juga
menggamit jiwa untuk segera pulang ke Malaysia! Apapun, saya menanam
tekad insya Allah suatu hari nanti saya akan menjejakkan kaki ke bumi
Sarajevo, Bosnia-Herzegovina. Mudah-mudahan menjadi kenyataan. Amiin.
“Peta Central Europe (Eropah Tengah) Kini”
Saudara
Muharem juga menceritakan kepada saya serba sedikit tentang kedatangan
Islam ke Bosnia. Secara ringkas, menurut beliau Bosnia bolehlah
dikatakan sebagai “daughter of Turkey”. Ini kerana menurut sejarahnya,
Islam datang ke Bosnia-Herzegovina dengan dibawa dan disebarkan oleh
pasukan Turki ketika Kerajaan Uthmaniyyah menduduki negara tersebut pada
tahun 1463M bersamaan dengan tahun 867 Hijrah. Agama yang suci ini
kemudiannya berkembang selama 400 tahun pemerintahan Kerajaan Turki
Uthmaniyyah di Bosnia. Menurut Wikipedia, orang Bosniak moden yang ada
kini berketurunan daripada mualaf Bosnia abad ke-15 dan ke-16 yang hidup
di Kemaharajaan Bosnia (mereka memanggil diri sebagai “Dobri Bošnjani”
yang bermaksud “Bosnia Baik” dalam bahasa lama Bosnia) dan secara
umumya orang Bosniak merupakan penganut Muslim Sunnah Waljamaah
walaupun pada sejarah, Tasawwuf telah memainkan peranan penting di
negara itu.
Saya amat
tertarik dan adalah sesuatu yang wajar diteladani apabila Saudara
Muharem menyatakan bahawa hikmah terbesar daripada peristiwa berdarah
Perang Bosnia-Serbia-Croatia 1991-1996 ialah umat Islam lebih mempunyai
semangat jatidiri Islami (Islamic esteem) selepas perang
tersebut. Lebih daripada itu katanya, dengan mempunyai kerajaan sendiri
kini yang ditadbir sepenuhnya oleh umat Islam, agenda Islam lebih mudah
untuk dilaksanakan. Lebih membahagiakan, semangat orang Bosnia untuk
kembali menghayati agama kembali membara selepas perang dengan tumbuhnya
madrasah-madrasah pengajian Islam dan masjid-masjid kian diimarahkan.
Malah Saudara Muharem sendiri belajar di madrasah dan amat fasih
berbahasa ‘Arab dan saya menyaksikan sendiri bagaimana lancarnya bahasa
‘Arab beliau apabila berbual dengan 2 orang sahabat saya dari Oman
iaitu Saudara Soud Al-Ghaitsi dan Saudara Khalil Al-Hanashi. Selain itu,
beliau seorang yang sangat berpegang dengan aliran Salaf sehinggakan
apabila saya ingin mengabadikan gambar bersama beliau, beliau memohon
maaf dan menyatakan pendiriannya bahawa mengambil gambar adalah
terlarang kecuali untuk tujuan yang sangat perlu atau tujuan keselamatan
dan pentadbiran sahaja. Saya maklum, memahami dan menghormati pendirian
beliau, meskipun dalam hal bergambar foto ini saya mengambil pendekatan
yang lebih sederhana. Wallahu a’lam bissawab.
“Masjid Tsar – Masjid Tertua Di Sarajevo , Dibina Pada Zaman Uthmaniyyah”
Alhamdulillah,
pada sebelah petangnya, kami juga sempat iftar (berbuka puasa) bersama
dan mengajak sekali seorang lagi kenalan iaitu Sean Patrick Former
(tidak mempunyai agama tetapi percaya adanya Tuhan) dari
California, Amerika Syarikat ke Majlis Berbuka Puasa percuma dan terbuka
kepada semua orang awam sempena ‘Islamen Dialoog’ anjuran masyarakat
Islam Turki di tengah kota The Hague. Tahniah kepada penganjur ’Islamen
Dialoog’ kerana saya yakin ini adalah satu gerak dakwah yang wajar kita
contohi dalam menyebarkan syiar Islam. Alhamdulillah, ramai juga orang
Belanda yang hadir sama dalam program iftar perdana tersebut.
Mudah-mudahan mereka beroleh hidayah iman. Amiin.
Segala
puji selamanya milik Allah Ta’ala di atas jalinan persaudaraan seaqidah
yang dinikmati. Pertemuan singkat tetapi amat bermakna saya dengan
Saudara Muharem Mulasmajic pada hari tersebut berakhir dengan kami
sama-sama menunaikan solat tarawikh di Masjid As-Sunnah di
Wouwermanstraat.
DOA PERPISAHANPertemuan Kita Di Suatu Hari
Menitiskan Ukhwah Yang Sejati
Bersyukurku Ke Hadrat Ilahi Di Atas Jalinan Yang Suci
Namun Kini Perpisahan Yang Terjadi
Dugaan Yang Menimpa Diri
Bersabarlah Di Atas Suratan
Ku Tetap Pergi Jua
Kan Ku Utuskan Salam Ingatanku
Dalam Doa Kudusku Sepanjang Waktu
Ya Allah Bantulah Hamba Mu
Mencari Hidayah Daripada Mu
Dalam Mendidikkan Kesabaranku
Ya Allah Tabahkan Hati Hamba Mu
Di Atas Perpisahan Ini
“Teman Betapa Pilunya Hati Menghadapi Perpisahan Ini.
Pahit Manis Perjuangan Telah Kita Rasa Bersama. Semoga
Allah Meredhai Persahabatan Dan Perpisahan Ini. Teruskan
Perjuangan”
Kan Ku Utuskan Salam Ingatanku
Dalam Doa Kudusku Sepanjang Waktu
Ya Allah Bantulah HambaMu
Senyuman Yang Tersirat Di Bibirmu
Menjadi Ingatan Setiap Waktu
Tanda Kemesraan Bersimpul Padu
Kenangku Di Dalam Doamu
Semoga Tuhan Berkatimu!
Buat
Saudara Muharem Mulasmajic yang mulia… Alhamdulillah, ukhuwwah fillah
yang terbina dirasakan sangat indah.. Mudah-mudahan kita akan berjumpa
lagi di Bosnia-Herzegovina, Malaysia atau mana-mana pelusuk dunia ini.
Insya Allah sekiranya tidak bertemu lagi di dunia ini, mudah-mudahan
kita akan bertemu di SyurgaNya nanti. Amiin Ya Rabb!
Wallahu a’lam...
Tweet
0 Komen: