Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)

15/01/2012

Author : Unknown Time : 7:50:00 pm Total Comment : 0

Hatinya Tidak Buta..

Hatinya Tidak Buta..

Si Buta Yang Celik…
Abdullah Ibn Umm Maktum bukanlah seorang pembesar negara mahupun seorang ketua panglima perang tetapi sahabat yang buta ini adalah seorang yang begitu hampir dengan Rasullulah saw. Namanya terbaris sebagai salah seorang generasi al Quran yang unik kerana bumi Allah ini pernah dibasahi oleh ayat-ayat al Quran sebanyak dua kali kerananya.
Di antara kehebatannya yang tercatat di lembaran sejarah ialah apabila beliau telah dipilih oleh Rasulullah saw bersama Mus’ab Ibn Umair untuk meredahi padang pasir sebagai sahabat yang pertama berhijrah ke Madinah. Bayangkanlah bagaimana si buta ini boleh mengatur strategi hijrah yang begitu berisiko ini. Andai kata dia dan Mus’ab yang masih muda tersilap langkah, bukan sahaja nyawa mereka bakal melayang tetapi juga masa depan Islam di Madinah yang belum lagi menentu pada ketika itu.


Satu lagi kisah beliau yang cukup menarik yang berlaku di Madinah sebelum wafatnya Rasulullah saw ialah ketika beliau pernah meminta keringanan daripada Rasullulah saw untuk mengerjakan solat fardhu di rumah apabila beliau menjelang tua.
“Ibn Umm Maktum berkata: Wahai Rasulullah, saya seorang yang buta dan rumahku pula jauh dari masjid. Penunjuk jalan saya tidak serasi dengan diri saya. Adakah keringanan untuk saya bersolat di rumah? Rasulullah saw bertanya: “Adakah engkau mendengar azan?” Jawabku: Ya. Rasulullah saw bersabda: “Kamu tidak mendapat keringanan.” [HR Abu Daud No. 552, “Sahih”].
Beliau sebenarnya mempunyai banyak sebab yang mendorongnya untuk bertanya kepada Rasulullah saw. Di antaranya ialah :
  • Rumahnya jauh daripada masjid
  • Dia telah tua pada ketika itu
  • Badannya tidak kuat dan anggota badan semakin lemah
  • Matanya buta (atau rabun yang amat sangat)
  • Beliau terpaksa melalui ladang tamar
  • Beliau terpaksa meredahi sarang labah-labah (terutamanya solat subuh)
Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan ini, beliau tetap terus istiqamah bersolat lima waktu sehari semalam secara berjamaah di atas arahan Rasulullah. Beliau ke masjid dengan panduan tali yang diikat oleh para sahabat yang lain daripada rumahnya ke pohon-pohon tamar di sepanjang perjalanan sehinggalah sampai ke masjid. Begitulah iltizamnya beliau dengan amalan-amalan Islam.
Setelah Rasulullah saw wafat, Abdullah Ibn Umm maktum terus tinggal di Madinah sehinggalah umat Islam bersiap-siaga untuk menyertai peperangan Qaadisiyah iaitu peperangan yang akan menentukan jatuh bangunnya empayar Islam bagi menamatkan kezaliman Parsi. Jika para sahabat menang, maka akan jatuhlah empayar hebat yang digeruni ini dan akan tamatlah kezaliman mereka.
Beliau memohon kepada Umar al Khattab untuk pergi berjihad dengan katanya, “ Wahai Umar, tentera Islam memerlukan seseorang yang memegang janjinya. Berilah tanggung jawab itu kepadaku. Aku ini buta dan akan ku redahi semua yang di hadapanku. Engkau akan memerlukan orang yang tidak menjatuhkan atau membuat panji Islam tergelincir. Akulah orangnya. Aku akan mara ketika orang lain mengelak tikaman. Aku tidak mengelak tikaman dan englau memerlukan orang seperti aku…..”.
Umar memberikan keizinan ini setelah beliau berfikir panjang. Apa tidaknya, Abdullah Ibn Maktum telah terlebih awal memeluk Islam daripadanya. Malahan dia telah berhijrah ketika sahabat lain masih berlindung di Mekah dan dia telah mengIslamkan penduduk Madinah sebelum ketibaan Rasulullah saw. Bahlah juga kerana dua kali ayat Quran turun ke bumi kerananya.
Akhirnya cita-cita tertinggi Abdullah Ibn Umm Maktum tercapai apabila beliau menemui syahid di jalan Allah setelah berjuang bersama ribuan tentera yang dipimpin oleh Saad Ibn Abi Waqas.
Pengajarannya :
  • Kekurangan diri dan ketiadaan jawatan tidak menghalang seseorang insan untuk menjadi pencinta dan pendokong perubahan yang besar.
  • Perubahan dan kejayaan yang hebat tidak akan berlaku tanpa kesungguhan dan pengorbanan seseorang individu mahupun generasi seangkatannya.
Semoga kehebatan sahabat yang buta ini mampu kita warisi…

0 Komen:

 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.