Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)

18/01/2012

Author : Unknown Time : 5:29:00 pm Total Comment : 0

Membuat binaan dan tulisan di atas kubur



Membuat binaan dan tulisan di atas kubur



Soalan:
1. Hukum membina petak kubur dengan menggunakan simen.
2. Hukum menulis nama si mati, tarikh kematiannya pada petak simen tersebut.
3. Hukum menulis al-Fatihah di atasnya dan doa semoga Allah mengampunkan dosa si mati.
Jawapan:

1) Terdapat khilaf di kalangan ulamak tentang hukum membuat binaan di atas kubur di antara haram dan makruh;
a) Pandangan pertama, ia haram secara mutlaknya. Antara ulama’ yang berpandangan sebegini ialah Imam al-Hafidz al-‘Iraqi, asy-Syaukani dan as-Shon’ani. Mereka berpegang dengan makna zahir dari arahan Nabi supaya meratakan kubur dan larangan baginda dari membuat binaan di atas kubur.
Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri r.a yang menceritakan;
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُبْنَى عَلَى الْقَبْرِ
“Sesungguhnya Nabi s.a.w menegah dari membuat binaan di atas kubur.” (Riwayat Imam Ibnu Majah dengan sanad yang sahih)
عن جابر رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قال: نهى رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم أن يجصص القبر وأن يقعد عليه وأن يبنى عليه. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.
“Rasulullah s.a.w menegah dari melapisi kubur dengan kapur putih, dari duduk di atasnya dan dari membuat binaan di atasnya.” (Riwayat Imam Muslim dari Jabir r.a)
Dalam kitab Sahih Muslim, Sunan at-Tirmizi, Abu Daud dan sebagainya; terdapat hadith dari Saidina Ali r.a yang menceritakan bahawa beliau telah disuruh oleh Nabi s.a.w agar memusnahkan semua patung-patung dan meratakan semua kubur-kubur yang ditinggikan. (Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, bab al-Amr bitaswiyati al-Qabr (hadith no. 969)
b) Pandangan jumhur ulama’ (termasuk mazhab-mazhab empat); membuat binaan di atas kubur adalah makruh. Mereka memahami larangan Nabi dalam hadith di atas sebagai larangan makruh, bukan larangan haram. Kecualilah jika tanah perkuburan tersebut adalah tanah wakaf awam (yakni bukan milik persendirian), maka haramlah membuat binaan di atas kubur kerana akan menghalang orang lain dari menggunakannya di kemudian hari sedangkan tanah perkuburan itu adalah milik bersama. Begitu juga, haram membuat binaan jika dengan tujuan berbangga-bangga dan menghias-hias kubur. Hukum haram ini telah disepakati oleh ulamak. Jadi, hukum makruh yang dimaksudkan oleh jumhur itu ialah apabila binaan dibuat hanya bertujuan memperkemaskan kubur atau memperelokkannya.
Bagi kubur milik persendirian, sebahagian ulama’ (iaitulah ulama’-ulama’ mazhab Malik) mengharuskan membuat binaan sederhana di keliling kubur (bukan di atasnya) iaitu sekadar untuk membezakan satu kubur dari satu kubur yang lain. Adapun kubur wakaf tidak diharuskan sebarang binaan (sama ada di atasnya atau di sekelilingnya) atas alasan tadi.
Apa yang menjadi Sunnah Nabi s.a.w ialah kubur tidak ditinggikan melainkan sekadar satu hasta sahaja iaitu untuk dikenali bahawa itu adalah kubur supaya dijaga kehormatannya dari dipijak, dibuang najis atau sebagainya. Dalam kitab Sahih Imam al-Bukhari, terdapat riwayat dari Sufyan at-Tammar yang menceritakan;
أنه رأى قبر النبي صلى الله عليه وسلم مسنما.
“Ia melihat kubur Nabi s.a.w tingginya hanya sekadar tinggi bonggol unta sahaja.” (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Janaiz, bab Ma Ja-a Fi Qabr an-Nabiy wa Abi Bakr wa ‘Umar)
Ketika Rasulullah s.a.w mengkebumikan jenazah seorang sahabat bernama Usman bin Madz’un r.a, baginda hanya meletakkan tanda di kuburnya dengan seketul batu sahaja di bahagian kepalanya dan baginda s.a.w bersabda:
“أتعلم بها قبر أخي، وأدفن إليه من مات من أهلي”
“Supaya aku mengenali dengan tanda batu ini kubur saudaraku dan agar aku dapat mengkebumikan di tepinya sesiapa yang mati dari ahli keluargaku.” (Sunan Abu Daud, kitab al-Janaiz, bab Fi Jam’ie al-Mauta Fi al-Qabr wa al-Qabr yu’allam)
Berkata Imam as-Syafi’ie; bagi aku makhruh meninggikan kubur melainkan sekadar untuk diketahui bahawa itu adalah kubur yakni supaya ia tidak dilangkahi dan tidak diduduki di atasnya. (Sunan at-Tirmizi, Abwab al-Janaiz ‘an Rasulullah, bab Ma Ja-a Fi Taswiyati al-Qabr)
2) Mengenai tulisan di kubur, pandangan ulama’ juga sebagaimana di atas iaitu ada ulama’ yang mengharamkannya dan jumhur ulama’ memakruhkannya. Terdapat hadith dari Jabir bin ‘Abdillah r.a menceritakan;
نهى رَسُول اللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلَّمْ أن يكتب على القبر شيء.
“Rasulullah menegah dari menulis sesuatu di atas kubur.” (Riwayat Imam Ibnu Majah)
Di dalam hadith yang lain:
نهى رسول الله – صلى الله عليه وسلم – عن تجصيص القبور، والكتابة فيها، والبناء عليها، والجلوس عليها
“Rasulullah menegah dari melapisi kubur dengan kapur putih, membuat tulisan padanya, membuat binaan di atasnya dan duduk di atasnya.” (Riwayat al-Hakim darim Jabir)
Menurut jumhur ulama’, larangan (yakni makruh) menulis sebarang tulisan atas kubur itu merangkumi semua tulisan termasuklah menulis nama si mati, ukiran-ukiran dan sebagainya. Dalam kitab al-Majmu’, pengarangnya (Imam an-Nawawi) menegaskan; menurut Imam as-Syafi’ie dan ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie: ‘Dimakruhkan melapisi kubur dengan kapur putih, menulis di atas kubur nama penghuni kubur atau tulisan lainnya dan membuat binaan di atas kubur’. Hukum ini tidak ada khilaf di sisi kami (mazhab Syaf’ie). (al-Majmu’, 5/163)
Namun demikian, ulama’-ulama’ mazhab al-Hadawiyah mengecualikan larangan tersebut dari nama si mati (yakni menurut mereka; diharuskan menulis nama si mati di atas kubur). Mereka mengkiaskannya dengan tindakan Nabi meletakkan batu tanda di atas kubur sahabat bernama Usman bin Madzun tadi untuk mengenali kuburnya. Pandangan ini ditarjih oleh Dr. Sa’aduddin Hilali (Pensyarah di Universiti al-Azhar) dalam bukunya “Ahkam Dafn al-Mauta wa Ahkam Quburihim” di mana beliau menegaskan: “Pandangan yang terpilih ialah pandangan jumhur ulama’ (iaitu makruh membuat tulisan di kubur) kerana kekuatan hujah mereka dan dikecuali dari hukum makhruh itu tulisan nama khususnya bagi kubur-kubur milik persendirian supaya tidak ada sesiapa mencerobohnya.” (halaman 216)
3. Adapun menulis ayat-ayat al-Quran di kubur, ulama’-ulama’ mazhab Malik menegaskan; selayaknya perbuatan tersebut diharamkan kerana ia membawa kepada merendah-rendahkan al-Quran lama kelamaan dan terjatuh ayat-ayat al-Quran ke tempat berpijak kaki manusia.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
1. Ahkam Dafn al-Mauta wa Ahkam Quburihim, Dr. Saaduddin Mus’ad Hilali (hlm. 215-233).
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Janaiz, bab an-Nahyi ‘an Tajsis al-Qabr, wa al-Bina’ ‘Alaihi wa al-Julus ‘alaihi.
3. Ahkam al-Mayyit wa ‘Adaat al-Maatim, as-Sadiq bin ‘Abd Rahman al-Gharyani, hlm. 44.
4. Nailul-Autar, juz. 4, Tabi’ Kitab as-Solah, bab Taslim al-Qabr wa rasysyihi bil-Ma-a wa ta’limuhu li yu’rafa.

0 Komen:

 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.