Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)

03/01/2012

Author : Cahaya Kebaikan Time : 6:12:00 pm Total Comment : 0

Rosak Akidah di Zaman Moden

Rosak Akidah Di Zaman Moden

Ajaran Islam membawa sinar melenyapkan penyelewengan fahaman bangsa Arab di zaman jahiliah, namun, jika diperhatikan masa ini sinar Islam seakan tenggelam apabila akidah umat Islam lemah.
Ramai dalam kalangan umat Islam yang mengaku sebagai orang Islam, namun realiti kehidupan mereka langsung tidak mencerminkan keperibadian seorang Islam.
Benarlah seperti digambarkan Rasulullah SAW ketika ditanya sahabat mengenai keadaan umat Islam pada akhir zaman seperti makanan dikerumuni pelahap.

Kerapuhan akidah

Sahabat bertanya: “Bagaimanakah keadaan umat Islam pada waktu itu? Baginda menjawab: Umat Islam ramai tetapi ibarat buih yang berada di lautan. Rapuhnya akidah mereka terhadap Allah SWT.”
Persoalan besar timbul kenapa ini berlaku kepada umat Islam? Berdasarkan pemerhatian, antara penyebabnya ialah sifat umat Islam sendiri yang terlalu cintakan dunia, takutkan kematian serta kelemahan iman mereka dan kemiskinan kehidupan.
Kesan kemiskinan ini boleh membawa kualiti hidup yang lemah, mudah terjebak dalam kegiatan sosial dan membawa kekufuran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hampir saja kemiskinan itu membawa kepada kekufuran.” (Hadis riwayat Abu Naim)
Asas akidah ialah beriman kepada Allah SWT iaitu kepercayaan kepada keesaan-Nya dan kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW. Islam amat mengambil berat dan menyeru kepada mentauhidkan Allah SWT secara ilmu dan amal serta menjelaskan perkara membawa kepada syirik sama ada secara i’tiqad atau tingkah laku.
Islam agama diiktiraf di sisi Allah SWT, menjamin umat Islam kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 19)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi.” (Surah Ali-Imran, ayat 85)
Dalam kemajuan dan globalisasi, umat Islam terdedah cabaran yang menguji kekuatan akidah. Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, humanisme dan unsur negatif mempengaruhi umat Islam dengan mudah.
Kita juga dikejutkan dengan fahaman liberalisme, pluralisme serta komunisme yang diperkatakan semula hari ini. Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit budaya songsang black metal, punk, gejala gay, seks bebas serta sukan judi.
Kepincangan hidup berkeluarga juga menyelubungi umat Islam, ada anak yang sanggup menghina kibu bapa bahkan lebih malang lagi menderhaka kepada mereka.
Gejala ini disebabkan lemah keimanan anggota keluarga terutama ibu bapa sebagai ketua keluarga sedangkan ibu bapalah yang paling utama mendidik anak menghayati ajaran dan akidah Islam.
Kelemahan akidah turut mendedahkan mereka kepada amalan khurafat seperti bertenung nasib, sihir dan ilmu guna-guna. Semua gejala keruntuhan akidah sebenarnya menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Akibat lebih buruk ialah azab seksa yang pedih di akhirat menanti golongan ingkar.

Pertahankan akidah di zaman moden ini

Sebagai umat Islam kita perlu sedar dan bangkit mempertahankan akidah Islam kerana ia adalah asas kekuatan menghadapi musuh yang mahu menghancurkan Islam dan umatnya. Umat Islam memerlukan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pelaksanaan ibadat umum dan khusus.
Di samping itu, umat Islam perlu membina kekuatan dari sudut ilmu dan teknologi supaya maklumat yang diperoleh adalah benar dan tepat. Ibu bapa hendaklah berperanan mendidik anak ajaran Islam yang sebenar supaya menjadi generasi yang diredai oleh Allah SWT dan menjauhi seksa neraka.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah al-Tahrim, ayat 6.

Dipetik daripada Khutbah Jumaat – Ideologi Moden Perosak Akidah bertarikh 23 Sept 2011.

0 Komen:

 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.