Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)

17/05/2012

Author : Cahaya Kebaikan Time : 6:14:00 pm Total Comment : 0

Pahit Manis Islam di Bosnia-Herzegovina

Masjid Malaysia, Bosnia
Masjid Malaysia di Ibu Kota Sarajevo, Bosnia – Herzegovina
Alhamdulillah, pada tahun yang lepas saya dipertemukan dengan seorang sahabat dari Sarajevo, Bosnia-Herzegovina yang bertugas sebagai pemandu pelancong di segenap kota Eropah dan kini berkhidmat di Rotterdam, Belanda. Saudara Muharem Mulasmajic itulah nama insan yang tenang ketika berbicara dan dari sinar matanya nyata sudah pelbagai pengalaman pahit manis yang ditempuhinya. Mahir berbahasa dalam 10 bahasa termasuk bahasa Bosnia/ Croatia/ Serbia, Arab, Inggeris, Belanda, Jerman, Sepanyol, Perancis, Itali, Parsi dan Turki (dan menyebut insya Allah Bahasa Melayu akan menjadi bahasa ke-11 dimahirinya) membuatkan saya kagum pada kebolehan beliau tersebut.

Sepanjang pengenalan ringkas, kami sempat berbincang secara agak terperinci tentang perjalanan panjang sejarah kedatangan Islam ke Bosnia, selain hala tuju negara Bosnia-Herzegovina yang merdeka kini. Selain itu, beliau turut mengisahkan sejarah sebuah negara Yugoslavia yang terdiri daripada 6 wilayah iaitu Bosnia-Herzegovina, Serbia, Montenegro, Croatia, Slovenia dan Macedonia, namun akhirnya tercatat di lipatan sejarah terlibat dalam memori duka Perang Bosnia-Serbia-Croatia yang akhirnya memecahkan Yugoslavia kepada beberapa negara tersendiri. Beliau juga meminta didoakan agar Kosovo yang kini masih di bawah cengkaman Serbia juga akan beroleh kemerdekaan. Sama-sama kita doakan kemajuan dan kebangkitan ummah. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.

Yugoslavia_Peta.jpg 
Yugoslavia Sekitar Tahun 1990. 1: Slovenia; 2: Croatia; 3: Bosnia-Herzegovina; 4: Serbia; 4a: Vojvodina; 4b: Kosovo; 5: Montenegro; 6: Republik Yugoslavia Macedonia; A: Lautan Adriatik

Beliau turut menceritakan dan masih segar di dalam ingatannya bagaimana perang tersebut bermula apabila tentera Serbia melancarkan peluru-peluru berpandu ke masjid-masjid ketika Muslimin Bosnia tengah menunaikan solat ‘Eidul Adha pada tahun 1991. Seperkara yang menarik dan suka untuk saya kongsikan dengan tetamu ziarah yang budiman sekalian ialah betapa Saudara Muharem Mulasmajic amat menyanjungi peranan Malaysia ketika berlaku kekejaman pembersihan etnik dan perang disebabkan perbezaan fahaman politik antara negara serumpun ini  pada tahun 1991-1996. Malah katanya, nama Malaysia sangat harum di dalam hati rakyat Bosnia khususnya mereka yang berada di Sarajevo. Sepanjang perbualan saya dengan beliau, lebih daripada 3 kali Saudara Muharem menyebut dan menyanjung tinggi (Tun) Dr. Mahathir Mohamad yang lantang bersuara dalam menyuarakan kenyataan membantah keras perang dan pembersihan etnik di Bosnia pada awal tahun 90-an dahulu. Lebih daripada itu, di Sarajevo juga ada sebuah masjid yang dinamakan Masjid Malaysia yang mana menurut Saudara Muharem dibiayai sepenuhnya pembinaannya oleh Kerajaan Malaysia.

Mengenai memori saya dan Bosnia pula, saya tentunya masih ingat isu tentang perang saudara ini ketika saya berada di antara Tahun 6 sehinggalah ke Tingkatan 3 yakni tempoh masa ketika perang ini tengah berkecamuk. Apa yang saya ingat-ingat lupa kalau tidak silap pada ketika itu ada diadakan kutipan RM1 seorang dari seluruh rakyat Malaysia oleh Barisan Bertindak Bosnia untuk membantu saudara seaqidah di Bosnia dalam menghadapi penganiyaan dan ujian dahsyat tersebut. Apa yang pasti dan saya sangat-sangat ingat sehingga ke hari ini ialah apabila di kaca televisyen ditunjukkan anak-anak Bosnia yang datang ke Malaysia dalam program anak angkat yang dilancarkan oleh Kerajaan Malaysia. Cuma yang mencuit hatinya ialah sebab utama saya ingat perkara ini bukan kerana perang tersebut, tetapi kerana saya teruja melihat di televisyen betapa cantik dan comelnya anak-anak Bosnia ini.:-)

Berbalik kepada pertemuan saya dengan Saudara Muharem Mulasmajic. Sebenarnya beliau juga ada mengajak saya untuk ke Bosnia pada 11 Oktober ini dan bersama-sama beliau menyambut ‘Eidul Fitri di Sarajevo. Hati ini sesungguhnya dan sememangnya melonjak gembira dan teringin amat untuk ke sana, namun apakan daya tiket pulang ke Malaysia telah dijadualkan pada 7 Oktober ini. Lebih-lebih lagi beraya bersama keluarga di kampung juga menggamit jiwa untuk segera pulang ke Malaysia! Apapun, saya menanam tekad insya Allah suatu hari nanti saya akan menjejakkan kaki ke bumi Sarajevo, Bosnia-Herzegovina. Mudah-mudahan menjadi kenyataan. Amiin.

Central Europe Map
Peta Central Europe (Eropah Tengah) Kini

Saudara Muharem juga menceritakan kepada saya serba sedikit tentang kedatangan Islam ke Bosnia. Secara ringkas, menurut beliau Bosnia bolehlah dikatakan sebagai “daughter of Turkey”. Ini kerana menurut sejarahnya, Islam datang ke Bosnia-Herzegovina dengan dibawa dan disebarkan oleh pasukan Turki ketika Kerajaan Uthmaniyyah menduduki negara tersebut pada tahun 1463M bersamaan dengan tahun 867 Hijrah. Agama yang suci ini kemudiannya berkembang selama 400 tahun pemerintahan Kerajaan Turki Uthmaniyyah di Bosnia. Menurut Wikipedia, orang Bosniak moden yang ada kini berketurunan daripada mualaf Bosnia abad ke-15 dan ke-16 yang hidup di Kemaharajaan Bosnia (mereka memanggil diri sebagai “Dobri Bošnjani” yang bermaksud “Bosnia Baik” dalam bahasa lama Bosnia) dan secara umumya  orang Bosniak merupakan penganut Muslim Sunnah Waljamaah walaupun pada sejarah, Tasawwuf telah memainkan peranan penting di negara itu. 

Saya amat tertarik dan adalah sesuatu yang wajar diteladani apabila Saudara Muharem menyatakan bahawa hikmah terbesar daripada peristiwa berdarah Perang Bosnia-Serbia-Croatia 1991-1996  ialah umat Islam lebih mempunyai semangat jatidiri Islami (Islamic esteem) selepas perang tersebut. Lebih daripada itu katanya, dengan mempunyai kerajaan sendiri kini yang ditadbir sepenuhnya oleh umat Islam, agenda Islam lebih mudah untuk dilaksanakan. Lebih membahagiakan, semangat orang Bosnia untuk kembali menghayati agama kembali membara selepas perang dengan tumbuhnya madrasah-madrasah pengajian Islam dan masjid-masjid kian diimarahkan. Malah Saudara Muharem sendiri belajar di madrasah dan amat fasih berbahasa ‘Arab dan saya menyaksikan sendiri bagaimana lancarnya bahasa ‘Arab beliau apabila berbual dengan 2 orang sahabat saya dari Oman iaitu Saudara Soud Al-Ghaitsi dan Saudara Khalil Al-Hanashi. Selain itu, beliau seorang yang sangat berpegang dengan aliran Salaf sehinggakan apabila saya ingin mengabadikan gambar bersama beliau, beliau memohon maaf dan menyatakan pendiriannya bahawa mengambil gambar adalah terlarang kecuali untuk tujuan yang sangat perlu atau tujuan keselamatan dan pentadbiran sahaja. Saya maklum, memahami dan menghormati pendirian beliau, meskipun dalam hal bergambar foto ini saya mengambil pendekatan yang lebih sederhana.  Wallahu a’lam bissawab.



Masjid Tsar – Masjid Tertua Di Sarajevo , Dibina Pada Zaman Uthmaniyyah

Alhamdulillah, pada sebelah petangnya, kami juga sempat iftar (berbuka puasa) bersama dan mengajak sekali seorang lagi kenalan iaitu Sean Patrick Former (tidak mempunyai agama tetapi percaya adanya Tuhan) dari California, Amerika Syarikat ke Majlis Berbuka Puasa percuma dan terbuka kepada semua orang awam sempena ‘Islamen Dialoog’ anjuran masyarakat Islam Turki di tengah kota The Hague. Tahniah kepada penganjur ’Islamen Dialoog’ kerana saya yakin ini adalah satu gerak dakwah yang wajar kita contohi dalam menyebarkan syiar Islam. Alhamdulillah, ramai juga orang Belanda yang hadir sama dalam program iftar perdana tersebut. Mudah-mudahan mereka beroleh hidayah iman. Amiin.

Segala puji selamanya milik Allah Ta’ala di atas jalinan persaudaraan seaqidah yang dinikmati. Pertemuan singkat tetapi amat bermakna saya dengan Saudara Muharem Mulasmajic pada hari tersebut berakhir dengan kami sama-sama menunaikan solat tarawikh di Masjid As-Sunnah di Wouwermanstraat.

DOA PERPISAHAN

Pertemuan Kita Di Suatu Hari
Menitiskan Ukhwah Yang Sejati
Bersyukurku Ke Hadrat Ilahi Di Atas Jalinan Yang Suci

Namun Kini Perpisahan Yang Terjadi
Dugaan Yang Menimpa Diri
Bersabarlah Di Atas Suratan
Ku Tetap Pergi Jua

Kan Ku Utuskan Salam Ingatanku
Dalam Doa Kudusku Sepanjang Waktu
Ya Allah Bantulah Hamba Mu

Mencari Hidayah Daripada Mu
Dalam Mendidikkan Kesabaranku
Ya Allah Tabahkan Hati Hamba Mu
Di Atas Perpisahan Ini

“Teman Betapa Pilunya Hati Menghadapi Perpisahan Ini.
Pahit Manis Perjuangan Telah Kita Rasa Bersama. Semoga
Allah Meredhai Persahabatan Dan Perpisahan Ini. Teruskan
Perjuangan”


Kan Ku Utuskan Salam Ingatanku
Dalam Doa Kudusku Sepanjang Waktu
Ya Allah Bantulah HambaMu

Senyuman Yang Tersirat Di Bibirmu
Menjadi Ingatan Setiap Waktu
Tanda Kemesraan Bersimpul Padu
Kenangku Di Dalam Doamu

Semoga Tuhan Berkatimu!
 
Buat Saudara Muharem Mulasmajic yang mulia… Alhamdulillah, ukhuwwah fillah yang terbina dirasakan sangat indah.. Mudah-mudahan kita akan berjumpa lagi di Bosnia-Herzegovina, Malaysia atau mana-mana pelusuk dunia ini. Insya Allah sekiranya tidak bertemu lagi di dunia ini, mudah-mudahan kita akan bertemu di SyurgaNya nanti. Amiin Ya Rabb!

Wallahu a’lam...

0 Komen:

 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.