Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)

15/03/2012

Author : Unknown Time : 2:03:00 pm Total Comment : 0

Berlindung Kepada Allah Dari Kekufuran Yang Berulang

Orang yang paling bahagia hidupnya ialah mereka yang diselamatkan oleh Allah SWT daripada kejahatan diri mereka sendiri. Allah SWT mengangkatnya dengan kemuliaan hidayah dan hidup di bawah naungan keredaan-Nya. Tanpa ada perasaan tersisih dari rahmat-Nya kerana pernah berbuat dosa. Bukankah Allah SWT sentiasa menunggu kepulangan kita dengan taubat? Pulang kepada Yang Maha Pengampun dan Penyayang lagi Mengasihani hamba-hamba yang pernah tenggelam dalam kubangan lumpur yang kotor dan nista. Kalam Ilahi sentiasa memujuk: “Janganlah kamu berputus asa dari Rahmat-Ku.” ( Surah al-Zumar: Ayat 53)
Lalu kita bangkit meredah belukar tajam yang pedihnya sampai ke dasar hati demi meninggalkan segala tipudaya syahwat dan keghairahan nafsu. Kita memilih untuk menelan kepahitan kerana janji kemanisan yang ditawarkan oleh Allah SWT. Alangkah hebatnya kuasa iman jika ia hidup pada diri setiap insan. Kepahitan bertukar menjadi manisan, kesusahan beralih menjadi kesenangan dan kemurungan hati berganti gembira. Semuanya kerana kita memilih jalan Allah untuk dilalui. Kerana tangisan pada jalan Allah SWT bermakna kegembiraan yang terlalu hebat. Sebaliknya tangisan di jalan kekufuran adalah kehancuran yang menjunamkan diri ke jurang kehancuran.
Bagi mereka yang telah bertaubat dan bahagia hidupnya dengan iman yang sentiasa menyala, ada beberapa tips untuk memastikan kekufuran tidak akan berulang dalam hidup mereka.
Berdoa kepada Allah agar dimudahkan segala ujian keimanan.
Daripada Asma’ binti Abu Bakar al-Siddiq RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Ketika aku sedang berdiri di tepi telagaku (al-Kauthar pada hari kiamat nanti) sambil menunggu orang-orang yang datang meminum daripadanya, maka tiba-tiba ada orang-orang yang dihalang daripada sampai ke sisiku (ke tepi telagaku). Lalu aku berkata: ”Bukankah mereka itu dahulunya dari kalangan umatku? Maka dikatakan kepadaku: ”Ya benar, tetapi engkau tidak mengetahui bahawa mereka setelah itu kembali ke belakang (berpaling tadah meninggalkan ajaranmu).” Berkata Ibnu Abu Mulaikah (salah seorang daripada perawi hadis): ”Ya Allah kami berlindung dengan-Mu daripada kembali kepada kekufuran atau kami diuji dengan ujian yang berat.” (Riwayat al-Bukhari)
Cucuran air mata penyesalan pada setiap doa yang dilafazkan begitu menusuk ke jiwa orang yang beriman apatah lagi dengan ingatan pada diari kekufuran yang tertulis di sepanjang lembar kehidupannya. Siapakah yang merasa terjamin imannya akan selamat sampai dia menjumpai keredaan Allah SWT pada penghujung hidupnya? Tiada siapapun mengetahui adakah langkah-langkahnya menuju pintu syurga itu akan terhenti lalu berpaling ke lubuk neraka. Berlindunglah kita kepada Allah dari Suul Khatimah.
Waspada dengan tipudaya syaitan.
Musuh yang paling berbahaya, syaitan boleh berada di dalam tubuh manusia. Bahkan ia bergerak bersama aliran darah orang yang dapat dikuasainya. Pujuk rayunya begitu halus bahkan ia seolah-olah boleh menjadi kawan yang amat rapat (Qarin) dan memahami jiwa orang yang dirasuknya. Pendekatan tipudaya syaitan adalah pelbagai bergantung kepada jenis manusia yang mereka dekati. Mereka membelit orang alim melalui ilmunya, sedangkan ahli ibadat dirasuk dengan amalnya. Orang kaya dirosakkan dengan hartanya, pemimpin dengan egonya, sedangkan orang yang miskin lebih dekat dengan kekufuran kerana kesusahan yang ditanggungnya. Hanya orang beriman yang dilindungi Allah SWT sahaja yang dapat mematahkan tipu daya syaitan.
Aisyah RA berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW pernah keluar dari rumah Aisyah pada suatu malam, lalu aku merasa cemburu terhadapnya. Apabila beliau kembali dan melihat apa yang aku lakukan, beliau berkata kepadaku: ”Wahai Aisyah apakah engkau cemburukan aku? Jawabku: Bagaimanakah orang seperti aku ini tidak merasa cemburu terhadap orang sepertimu? Kemudian Beliau berkata pula: Kenapa sampai begitu? Apakah syaitanmu telah merasukmu? Aku lalu bertanya: Wahai Rasulullah, apakah aku memiliki syaitan? Jawab Beliau: Benar! Aku bertanya lagi: Apakah syaitan itu ada pada semua manusia? Jawab Beliau: Benar. Aku bertanya lagi: Dan Engkau juga ada syaitan? Jawab Beliau: Benar, akan tetapi Tuhanku menolongku terhadap syaitan itu hingga akhirnya ia menyerah kalah.” (Riwayat Muslim)
Hadis di atas menerangkan kepada kita bahawa setinggi manapun ilmu kita dan sebanyak manapun amalan yang dilakukan tidak menjamin kita selamat daripada tipudaya syaitan. Sedangkan isteri Rasulullah SAW pernah merasakan tipudaya syaitan ini hingga Rasulullah SAW menegurnya supaya lebih bersabar dan bermujahadah melawan serangan syaitan laknatullah. Kemampuan mengawal kehendak syaitan dalam diri kita dan mengusirnya menuntut perjuangan yang panjang dan berterusan. Jangan berlengah sedikitpun dengan melepaskan diri kita jatuh ke dalam gelanggang perlawanan syaitan tanpa iman yang mantap sebagai senjata pertahanan diri.
Iman, ilmu dan amal salih benteng pertahanan diri.
Bantulah diri anda untuk istiqamah di jalan Allah dengan tiga kekuatan yang saling berkait antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan. Iman mesti diperoleh dengan ilmu yang benar dan ilmu mesti disemai dengan amal soleh sebagai hasilnya. Iman sifatnya relatif, naik dan turun mengikut keadaan semasa. Jika anda merasa kekurangan semangat iman, cuba ingatkan diri anda berapa lama anda tidak aktif mengkaji dan menghayati ilmu Allah? Tiada dorongan dan kesedaran menuntut ilmu menyebabkan anda semakin malas untuk beramal soleh dan akhirnya kekerasan hati semakin menjadi dengan palitan-palitan nafsu yang dituruti kemahuannya. Akhirnya terjerumuslah anda dalam kealpaan seperti seseorang yang sedang menaiki anak tangga yang tinggi untuk mendapatkan keredaan Tuhannya, tiba-tiba kerana satu kesilapan ia jatuh terperosok kembali ke anak tangga yang paling bawah.
Imam al-Ghazali di dalam Bidayatul Hidayah merumuskan empat aktiviti yang mesti dilakukan oleh orang yang di hatinya tersimpan iman yang mendalam;
Pertama menuntut ilmu, kedua beribadat, ketiga menolong untuk kemaslahatan kaum muslimin dan terakhir bekerja mencari nafkah untuk keluarga.
Jika waktu kita dipenuhi dengan aktiviti seperti di atas insyaAllah tiada ruang untuk kembali kepada kekufuran kerana keyakinan kepada janji Allah iaitu kejayaan di dunia dan akhirat, seperti yang tertulis di dalam firman-Nya: ”Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh bahawa Dia bersungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar keadaan mereka sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang kafir sesudah (perjanjian) itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” ( Surah al-Nur: Ayat 55)

0 Komen:

 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.