Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)

26/03/2012

Author : Unknown Time : 3:33:00 pm Total Comment : 0

Kehebatan Rasulullah Di Akui Orientalis Barat

ANTARA tanda penghormatan dan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW ialah melalui membaca selawat. Semakin banyak selawat dilafaz semakin besar fadilat dan ganjaran pahalanya di sisi Allah SWT. Kita seharusnya selalu membaca selawat dan jangan menunggu ketika tibanya musim Maulidur Rasul barulah hendak mempergiatkan bacaan itu.

Sebenarnya, bukan manusia mukmin saja yang rindu dan cintakan Rasulullah SAW, kerana jika rajin menyusuri sirah Baginda akan terpahat satu kisah yang sebenarnya patut kita semat di dalam hati sebagai penghayatan.

Diceritakan oleh Jabir bin Abdullah, katanya,
“Dulu, masjid menggunakan atap dari pelepah kurma. Apabila berkhutbah, Baginda Rasulullah SAW berdiri berdekatan salah satu pelepah itu. Apabila dibina sebuah mimbar untuknya, Baginda selalu berdiri di atasnya. Kami mendengar tangisan dari pelepah itu seperti unta bunting, sehingga Rasulullah SAW datang mendekatinya lalu mengelus pelepah itu, kemudian pelepah itu terdiam.” (Riwayat Bukhari)

Baginda Rasulullah SAW berpindah ke mimbar yang baru dibina itu adalah hasil pandangan sahabat, memandang semakin ramainya jemaah. Jadi, berdasarkan kisah itu, dapat kita tafsirkan betapa Rasulullah SAW menjadi manusia yang sentiasa dirindu seluruh makhluk Allah kerana Baginda pembawa rahmat.

Kejadian yang dapat disaksikan oleh sahabat Baginda membuktikan kenabian Rasulullah SAW dan hal itu memperkukuhkan iman dan takwa dalam kalangan mereka. Aisyah pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah berada di tengah-tengah sekelompok kaum Muhajirin dan Ansar. Lalu datang seekor unta dan bersujud kepada Baginda, maka berkatalah sahabat, ‘Wahai Rasulullah SAW, binatang dan pohon bersujud kepadamu, maka kami adalah lebih sepatutnya bersujud kepadamu.’
Lantas Rasulullah SAW segera menjawab,
“Sembahlah Tuhanmu dan muliakanlah saudaramu. Sekiranya saya menyuruh seseorang untuk bersujud kepada orang lain, nescaya saya menyuruh wanita bersujud kepada suaminya. Dan sekiranya saya menyuruhnya (wanita) berpindah dari gunung kuning ke gunung hitam dan dari gunung hitam ke gunung putih, maka tidaklah patut baginya untuk melaksanakannya.” (Riwayat Ahmad)
Di sini, ada beberapa aspek yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita semua. Satu, kita tidak boleh menyembah atau sujud selain daripada Allah SWT. Keduanya ialah Rasulullah SAW ada juga menyelitkan unsur pengajaran kepada kaum wanita supaya taat dan patuh kepada suami. Dua aspek itu digabung dan inilah kelebihan Rasulullah SAW apabila mendidik sahabat.

Selain itu, Baginda Rasulullah SAW melalui dialognya dengan sahabat ada menekankan perkara habbluminnas (hubungan semasa insan). Baginda meminta kita agar bersikap memuliakan saudara seagama kita. Tetapi seandainya kita secara jujur meneropong situasi semasa yang terjadi dalam kalangan mukmin, maka bertanyalah kita, apakah suruhan Baginda itu kita patuhi ?

Yang banyak berlaku ialah saling menghina, dengki-mendengki, fitnah-memfitnah dan seribu satu macam perangai mazmumah (keji) yang dilakukan. Sepatutnya kita sentiasa ingat akan apa yang Allah pesan,
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah ia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.” (Surah al-Hasyr ayat 7)
Sebenarnya, keunggulan Rasulullah SAW terus menerus mencatat reputasi terhebat dalam sejarah peradaban manusia. Jika sebelum ini, kita hayati sendiri bagaimana haiwan dan pokok pun hormat dan cintakan Baginda dan hal seperti itu adalah mukjizat yang Allah SWT kurniakan kepada Baginda sebagai bukti kerasulannya. Malah dalam kalangan bukan Islam di dunia Barat pun turut memperakui kehebatan Baginda.

Misalnya, tokoh legenda Perancis yang tersohor, Napoleon Bonaparte. Dia walaupun bukan seorang Islam, namun dia pernah berkata, “Saya tabik kepada manusia agung ini. Saya tabik hormat kerana keagungan akal dan hatinya.”

Tentu sekali pandangan peribadi Napoleon itu jarang kita temui, kerana laporan benar dan jujur mengenai Rasulullah SAW sentiasa saja ‘terlipat dan tersembunyi’. Malah jika boleh, luahan jujur orang-rang Barat yang bukan Islam mengenai kehebatan Nabi kita akan cuba disorok sedalam-dalam agar tidak kelihatan.

Baiklah, kita ambil satu lagi pandangan ikhlas seorang ilmuwan dari Itali, Prof Laura Vecccia Vaglieri yang lebih terkenal sebagai seorang orientalis banyak menghasilkan artikel mengenai Islam. Katanya, “Semasa menyeru manusia supaya menyembah Allah yang Maha Esa, Muhammad tidak pernah menggunakan pendekatan yang menghalang manusia daripada berfikir mengenai kebenaran. Beliau tidak menggunakan pendekatan sihir yang memukau penglihatan, tidak juga menyeru dengan menggunakan ancaman serta ugutan. Apakah yang beliau lakukan? Beliau menyuruh mereka supaya menggunakan akal dan bertafakur mengenai kejadian alam dan rahsia kejadiannya. Dalam bahasa mudah, dia menyuruh manusia membaca ‘Buku Alam’ dan berfikir mengenainya supaya dengannya manusia yakin ada kewujudan Illahi.”

Begitulah panjang lebarnya cetusan tokoh Barat itu dalam memperkatakan tentang keunggulan Rasulullah SAW. Tetapi mengapakah pada masa ini mereka tidak membaca dan mengambil peduli apa yang tokoh-tokoh mereka pernah katakan itu hinggakan tercetus Islamofobia dengan sengaja mewujudkan bentuk provokasi sentimen agama yang sempit dan tidak bertamadun.

Masih banyak lagi tokoh-tokoh Barat yang bukan Islam yang mengakui kelebihan agama Islam dan mereka mengangkat imej Nabi SAW di puncak tinta kajian mereka.

Michael H Hart seorang sejarawan, pakar matematik dan ahli astronomi terkemuka di Barat meletakkan nama Nabi kita pada kedudukan teratas dalam kalangan 100 orang tokoh dikagumi.

Inilah semua menjadi bahan bukti yang mempamerkan kepada kita Rasulullah SAW sejak zaman hayat Baginda begitu dimuliakan, dihormati, dirindu dan dicintai sahabat, kaum muslim malah segala makhluk di muka bumi ini turut merasainya.

Oleh demikian, marilah kita mempertajamkan rasa cinta terhadap Baginda bukan hanya sekadar berselawat saja, tetapi mengikuti setiap apa sunnah Baginda agar kehidupan dunia menjadi sejahtera dan akhirat dilimpahi bahagia.

0 Komen:

 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.