Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)

24/03/2012

Author : Unknown Time : 2:09:00 pm Total Comment : 0

“Bakar” Jiwamu Dengan Semangat Iman!

Pernah mendengar nama Thariq bin Ziyad. Beliau adalah penakluk Sepanyol, bumi Andalusia. Kisah penaklukannya sungguh luarbiasa dan wajar kita jadikan suri teladan. Penaklukan Sepanyol diawali pada Isnin, 3 Mei 711 M. Saat itu Thariq bin Ziyad membawa sekitar 7,000 anggota pasukan menyeberangi selat yang membelah benua Afrika dan Eropah dengan armada kapal.

Setelah mendarat, Thariq mengumpulkan seluruh anggota pasukannya di sebuah bukit karang yang kini dikenali sebagai “Gibraltar” (Jabal Thariq = bukit Thariq). Dari bukit karang inilah Thariq bin Ziyad memerintahkan pasukannya membakar seluruh armada kapal yang baru saja mereka gunakan menyeberangi selat Afrika-Eropah. Lantas, sang panglima gagah berani ini menyampaikan ucapan luarbiasanya kepada seluruh anggota pasukannya;

“Wahai seluruh pasukan, ke mana lagi kalian akan lari? Di belakang kalian laut, dan di depan kalian adalah musuh. Demi Allah, satu-satunya milik kalian saat ini hanyalah kejujuran dan kesabaran. Musuh dengan jumlah besar dan persenjataan lengkap telah siap dihadapan kalian. Sementara senjata kalian adalah pedang. Perajuritku yang gagah berani, kalian punya pilihan, apakah kalian mahu lari sebagai pengecut dan tenggelam dilautan atau kalian memgikut jejakku. Mari kita mencapai kemenangan besar itu.”

Ya, Thariq bin Ziyad melakukan perbuatan yang luarbiasa. Membakar kapal. Cara itu dipilih Thariq bin Ziyad dengan maksud agar pasukannya tidak lari dari medan tempur. Pasukan yang hanya berjumlah tujuh ribu itu ternyata mampu mengalahkan seratus ribu pasukan Raja Roderic, raja terakhir Hispania yang berasal dari bangsa Visigoth, yang terkenal zalim dan sombong.

Apa yang boleh kita belajar dari kisah hebat Thariq bin Ziyad?

 

Pertama, miliki matlamat perjuangan. Keberangkatan Thariq dan angkatan tenteranya bukan untuk berehat-rehat atau bersantai-santai. Bukan untuk mencari harta kekayaan mahupun kemashyuran. Bukan! Tetapi Thariq membawa matlamat jelas, menakluk Sepanyol dan mengibarkan bendera Islam. Menumbangkan kerajaan zalim, dan menghancurkan taghut jahiliah yang menolak Allah sebagai Rabb dan Illah. Ini misi besar mereka. Matlamat mereka akan membawa kepada kejelasan hasil, samada menang atau syahid menempah syurga Allah. Begitulah seharusnya kita. Tetapkan matlamat perjuangan, miliki cita-cita mulia dan luarbiasa, tekad dan kuat untuk mengejar dan mencapai matlamat anda. Jangan jadi seperti layang-layang yang putus talinya. Fikirkan sejenak, untuk apa kehidupan kita ini, untuk apa kita perlu belajar dengan gigih, untuk apa kita perlu mengumpul wang ringgit dan kekayaan, untuk apa kita membina mahligai perkahwinan dan memiliki anak-anak. Untuk apa? Petakan matlamat kita pada setiap persoalan di atas dan bina matlamat yang jelas pada setiap fasa hayah kita, insyaAllah kehidupan kita akan lebih bermakna disisi Allah SWT.

Kedua, bila ingin memenangkan persaingan dalam kehidupan jangan pernah punya rencana untuk ’lari dari gelanggang’. Seberat apapun masalah, persaingan dan tentangan yang ada harus kita hadapi. Ingatlah pepatah yang mengatakan “pelaut ulung tidakkan lahir di laut yang tenang”. Orang-orang yang hebat tidakkan lahir dari sebuah situasi tanpa tentangan dan cubaan. Tariq mentarbiyah dengan “keras” para tenteranya agar jangan langsung berfikir untuk berundur sebelum syahid atau menang, lalu beliau membakar kapal perang mereka. Bukankah kapal itu aset? Tidak! Pada situasi genting itu, kapal itu bakal menjadi beban dan punca kepada kelalaian hati untuk lari dari medan juang. Dengan prinsip ini, kita hanya akan ada satu jalan sahaja, maju ke hadapan, tetap tegar dan istiqamah dalam perjuangan. Jangan berfikir untuk mengalah apatah lagi berundur.

Ketiga, jangan silau dengan kebendaan. Armada kapal yang dinaiki Thariq bin Ziyad dan pasukannya telah mampu menghantarkan mereka sampai di daratan Sepanyol. Misi itu, adalah misi yang luar biasa. Sebab ketika itu teknologi pengangkutan belumlah secanggih sekarang. Kapal-kapal itu adalah aset peperangan tetapi hangus dibakar. Thariq bin Ziyad tidak terlena mengkagumi kapal-kapal laut yang telah menyeberangkan mereka. Memiliki kapal sebesar itu belum tentu mampu memenangkan mereka, apatah lagi mereka harus berperang di daratan. Bahkan boleh jadi kapal itu akan menjadi beban kepada tenteranya, penarik jiwa untuk lari dari medan tempur. Cuba kita perhatikan kepada mahasiswa kita hari ini yang rata-rata mendapat pinjaman dan biasiswa pendidikan dari pelbagai institusi. Ada kalangan mereka yang menjadi lalai, terleka dan terpedaya dengan wang pinjaman yang mereka perolehi. Akibatnya mereka “enjoy” dan lupa diri. Wang pinjaman tadi yang sepatutnya boleh menjadi pembantu kepada kemenangan perjuangan dalam menuntut ilmu, telah bertukar menjadi beban dan penyebab kepada kelekaan. Manusia menjadi silau mata dan silau iman akibat pengaruh kebendaan.

Keempat, singkirkan “comfort zone”. Bila kapal tetap ada, mental bertempur pasukan tentu akan lemah. Boleh jadi sebahagian pasukan akan berfikir “Ah bila kita terdesak, kita boleh kembali ke negeri kita dengan kapal ini. Lari sahaja” Dunia berubah sangat cepat. Begitu juga hati manusia. Mudah berubah dan cepat berubah. Tentangan yang kita hadapi juga makin kompleks. Untuk “fight” dengan comfort zone ini, Thariq telah mencipta satu keadaan untuk membakar motivasi iman dan perjuangan para tenteranya dengan membakar kapal. Maka tidak ada lagi perasaan selesa untuk lari dalam diri setiap pasukannya, perasaan itu turut terbakar bersama kapal-kapal perang itu. Nah, buat kita semua, bila kita tidak ingin ditindas dengan cabaran zaman, khususnya cabaran keselesaan, maka segeralah ’Bakar “Kapal” Anda’. Lalu bertempur dan bersainglah sebagai sang satria yang tiada pilihan kedua dan ketiga, melainkan tetap maju kehadapan.

Kelima, pada diri kita sebenarnya ada semangat Tariq bin Ziyad. Keluarkan kekuatan dan potensi itu. Kerahkan semangat perjuangan untuk memenangi pertempuran kehidupan anda. Jangan sampai semangatmu ditikuskan dek hiburan melampau, santai tanpa batas  dan kemewahan kehidupan. Maka lahirlah generasi yang lemah jiwa dan akalnya. Inilah yang sedang terjadi pada generasi muda. Potensi untuk maju dan berjaya pada diri mereka telah diselaputi lumpur dan kekotoran akibat kelalaian dan kelesuan diri sendiri. Semangat itu telah hancur bersama maksiat dan dosa. Hanya yang berjiwa satria seperti Tariq sahaja yang mampu memenangkan ummat. Maka “bakarlah” jiwamu dengan semangat perjuangan membela umatmu, agamamu dan negaramu.

Keenam, miliki sifat berani. Tariq membangkitkan sifat keberanian pada tenteranya. Hanya mereka yang benar-benar berani sahaja yang mampu berhadapan dengan seratus ribu musuh nyata. Sudah tentu yang paling berani pada saat itu adalah Thariq. Orang yang pengecut tidak akan berani membuat keputusan dan sukar untuk maju kehadapan. Kata Pak Hamka, “Setiap muslim mesti memiliki semangat berani di dalam dirinya, jika dia mahu mengembalikan maruah bangsa dan agamanya.”

Menurut Paul Getty, seorang jutawan dari Amerika Syarikat, untuk membina kejayaan seseorang perlu memiliki matlamat, dan kemudian berani berusaha untuk mendapatkan matlamat tersebut. Keberanian di sini bukan sekadar berani dari segi fizikal, tetapi keberanian dari segi pemikiran dan keberanian jiwa.  Berani pemikiran ialah mereka yang berani membina sebuah matlamat dan perancangan besar yang pada pandangan orang biasa ianya mustahil. Berani pemikiran bererti ia mampu menghidupkan fikrah Islam sebagai fikrah hayat manusia yang lengkap dan syumul. Saat ini fikrah Islam dilihat sebagai sekunder, tidak menjadi pakaian pada setiap umatnya, terpisah di antara realiti dan teori, sedangkan Islam menjernihkan pemikiran manusia sehingga mengangkat martabat manusia setinggi-tingginya di sisi Allah.

Berani jiwa adalah mereka yang bersiap menempuh cabaran kerana tidak ada kejayaan yang datang menggolek tanpa usaha yang bersungguh. Mereka yang berjiwa penakut tidak akan sampai ke mana-mana, malah akan ketinggalan dan mungkin dipandang hina. Mereka yang takut untuk berjuang, lemah imannya. Manakala mereka yang berani memiliki kekuatan iman yang kukuh untuk terus maju ke hadapan mencapai kecemerlangan dan kejayaan. Berani jiwa dikuasai oleh iman yang mendalam. Iman itulah yang memandunya untuk menjadi berani. Iman itulah yang mendorong ia untuk berusaha sehabis batas. Iman itu jugalah yang menjadi momentum untuk dia berusaha yang terbaik. Bermakna kita perlu kepada proses mentarbiyah jiwa kita dengan proses keimanan. Thariq adalah produk tarbiyah keimanan pada zamannya. Nah pada zaman kita ini, menjadi tanggungjawab pada kita untuk membina kecerdasan iman yang tinggi agar jiwa kita kuat, kuat dengan IMAN.

Ketujuh, jadilah pemimpin yang mampu merubah, bukan sekadar merubah peta geografi daulah Islam, tetapi juga peta kehidupan. Hanya mereka yang mampu merubah peta kehidupannya daripada insan biasa kepada luarbiasa sahaja yang mampu memikul tugas da amanah yang berat. Seterusnya akan mampu mengubah peta dunia menjadi sinar kembali dengan cahaya kebenaran. Thariq memandu kita untuk membina jiwa kepimpinan yang tinggi dan tabah dalam perjuangan. Pemimpin perlu sentiasa ke hadapan, terkehadapan hubungannya dengan Allah, kehadapan amal ibadah dan akhlaknya. Kehadapan kualiti ilmu dan segala kemahiran insannya. Mampu memimpin dengan benar, bersemangat, berani, miliki perancangan rapi, tersusun, bersistematik dan kehadapan semangat jihad tanpa henti. Semuanya itu berpunca dari satu, terkehadapan keimanannya kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.  Janganlah menjadi pemimpin yang sekadar bijak berbicara dan menang membina bangunan dan kemajuan, tetapi hilang maruah iman. Hinggakan kelesuan iman sang pemimpin itu tidak mampu membawa orang yang dipimpinnya masuk ke syurga Allah SWT.

0 Komen:

 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.