Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)

03/04/2012

Author : Unknown Time : 6:57:00 pm Total Comment : 0

Cemerlang Bersama Al-Quran Yang Saintifik



Kecemerlangan tidak boleh dipisahkan daripada Al-Qur’an. Umat Islam pada hari ini mestilah mampu membuktikan Al-Quran ialah Kalam Tuhan. Untuk tujuan ini penemuan-penemuan semasa perlulah dimanfaatkan dan kajian-kajian yang relevan perlulah diperkembangkan. Di antara perkara yang boleh dijadikan bukti ialah:
1- Kebenaran kisah-kisah silam di dalam Al-Quran berdasarkan penemuan oleh pakar-pakar di dalam bidang arkeologi.
2- Janji-janji Allah serta ramalan berhubung perkara akan datang akhirnya menjadi kenyataan.
3- Ayat-ayat Al-Quran berkaitan dengan alam dan sains disahkan benar pada hari ini oleh pakar-pakar sains.

KISAH-KISAH SILAM TERBUKTI BENAR
Salah satu contoh ialah kaum Thamud. Mereka memiliki kemahiran membina bangunan-bangunan di gunung-ganang dan Nabi Salih diutus kepada mereka. Allah berfirman, “Dan kamu pahat sebahagian dari gunung-ganang untuk dijadikan rumah-rumah dengan rajin..” (Surah Syuara ayat 149)
Baru-baru ini kesan peninggalan sejarah yang berkaitan dengan kaum Thamud berbentuk bangunan-bangunan yang dipahat di gunung ganang telah ditemui di Lembah Rom di Jordan. Ini diikuti dengan beberapa penemuan lain Di dalam Britannica Micropaedia dijelaskan: “Kajian-kajian terbaru di dalam bidang arkeologi menemui tulisan serta gambar-gambar yang dihasilkan oleh kaum Thamud. Ia bukan saja terdapat di Jabal Athlab malah di seluruh kawasan Arab Tengah.”
Bukti-bukti juga telah ditemui berhubung banjir Nabi Noh berdasarkan penemuan oleh Leonard Woolley dan rakan-rakannya dari Muzium Britain dan Universiti Pennsylvania. Mereka melakukan kerja-kerja penyelidikan dari tahun 1922-1934 sehingga akhirnya mereka menemui bukti-bukti jelas yang menunjukkan banjir Nabi Noh sebenarnya telah berlaku di Lembah Mesopotamia di Iraq.
Kesan kehancuran kaum Lut di Sodom juga telah ditemui di kawasan Laut Mati. Berhubung dengan ini, di dalam surah Hud ayat 82, Allah berfirman, “Maka apabila datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu yang di atas ke bawah (yakni Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar secara bertubi-tubi.” Azab yang menyebabkan negeri kaum Lut dibalikkan amat selari dengan kejadian gempa bumi, dan azab berbentuk hujan batu tanah yang terbakar pula amat selari dengan kejadian letupan gunung berapi. Ketika mengkaji kesan kehancuran kaum Lut di kawasan Laut mati, pakar arkeologi dari Jerman, Werner Keller, mengesahkan kejadian kedua-dua malapetaka ini. Beliau berkata, “Kehancuran kaum Lut berlaku disebabkan oleh satu gempa bumi yang kuat diikuti dengan letupan besar, kebakaran dan pengeluaran gas.”
Kesan peninggalan tembok Zulkarnain juga ditemui pada hari ini (rujuk surah al-Kahfi ayat 96-97). Hamka menyebutkan di dalam Tafsir Al-Azhar, “Imam Ibn Kathir meriwayatkan, khalifah Al-Wathiq dari Bani Abbas pernah menghantar satu ekspedisi bertujuan untuk mencari tembok ini. Selepas dua tahun mereka pun kembali melaporkan tembok itu telah mereka temui. Ia merupakan tembok yang besar lagi tinggi yang dibuat dari besi dan tembaga dan mempunyai kunci-kunci serta pintu yang besar…. Syed Qutub di dalam Zilal Al-Quran mengatakan tembok itu terdapat di kota Tarmiz di Asia Tengah dan ia dikenali sebagai ‘Pintu Besi’. Pada abad kelima belas Masihi, seorang pengkaji dari Jerman dan seorang lagi dari Sepanyol menyelidiki ‘Pintu Besi’ ini dan mereka mendapati tembok ini terletak di antara Samarkand dan India. Pengkaji-pengkaji ini merumuskan, besar kemungkinan tembok besar ini ialah tembok binaan Zulkarnain.”
Penemuan-penemuan seperti ini mampu menguatkan keyakinan masyarakat terhadap kebenaran kisah-kisah Al-Quran sekali gus menjadi bukti bahawa Al-Quran adalah Kalam Allah.
JANJI-JANJI DAN RAMALAN AL-QURAN TERBUKTI BENAR
Salah satu contoh yang menarik ialah kemenangan empayar Rom ke atas empayar Parsi. Allah berfirman, “Alif Lam Mim. Telah dikalahkan bangsa Rom. Di bumi yang terdekat dan mereka sesudah kekalahan itu akan menang dalam masa beberapa tahun lagi. Bagi Allahlah segala urusan yang terjadi sebelum dan selepas itu. Dan pada ketika itu akan bergembiralah orang-orang yang beriman.” (Surah Ar-Ruum ayat 1-4)
Ayat-ayat ini menceritakan tentang peperangan yang berlaku di antara Empayar Parsi dan Rom di zaman Rasulullah. Di peringkat awal peperangan, Parsi berjaya mengalahkan Rom, namun Allah menjelaskan, di dalam jangka masa yang singkat, yakni bidh’a sinin, Rom akan kembali menang. Bidh’a sinin bermaksud beberapa tahun dan di dalam bahasa Arab kadangkala ia digunakan dengan maksud tujuh tahun. Namun ramai pentafsir berpendapat bidh’a sinin bermaksud tiga ke sembilan tahun. Dapat disimpulkan, Allah memberi jaminan Rom akan mengalahkan Parsi dalam jangka masa tidak sampai sembilan tahun selepas kejatuhan bumi yang terdekat dengan Mekah.
Sejarah menunjukkan ketika ayat ini diturunkan Parsi diperintah oleh Maharaja Khosrau II dan Rom oleh Maharaja Heraclius. Bermula dari tahun 602 Khosrau II memulakan serangan besar-besaran ke atas Empayar Rom dan pada tahun 613 Damascus dapat ditawan diikuti dengan Jerusalem (Baitul Maqdis) pada tahun 614 M. Inilah yang dimaksudkan dengan bumi yang terdekat dengan Mekah. Sejarah membuktikan, bermula dari tahun 622 Heraclius berjaya mengusir tentera Parsi keluar dari bumi jajahan mereka secara berperingkat-peringkat. Ini bermakna kemenangan Rom telah berlaku dalam jangka masa hanya lapan tahun selepas kejatuhan Baitul Maqdis ke tangan Parsi. Kemenangan ini menggembirakan umat Islam kerana ia membuktikan kebenaran janji Allah di dalam Al-Quran.
Contoh yang kedua berhubung dengan mimpi Nabi s.a.w yang menjadi kenyataan, serta kebenaran janji Allah berhubung dengan kemenangan yang bakal di kecapi oleh umat Islam. Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya bahawa kamu pasti akan memasuki Masjid Al-Haram dengan izin Allah secara aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, tanpa perasaan takut. Dan Allah mengetahui apa yang kamu tidak tahu dan di samping itu Dia akan memberikan satu kemenangan dalam masa yang terdekat kepadamu” (Surah Al-Fath ayat 27)
Dua perkara dijanjikan Allah berpandukan ayat ini, iaitu, umat Islam akan memasuki Mekah dan melakukan tawaf serta ibadah secara aman seperti yang dimimpikan Nabi s.a.w dan selepas itu, di dalam jangka masa terdekat, umat Islam akan mendapat kemenangan besar ke atas golongan kafir.
Pada tahun keenam Hijrah, Nabi s.a.w bermimpi umat Islam akan memasuki kota Mekah dan melakukan ibadah secara aman. Mimpi Nabi s.a.w adalah benar maka Baginda s.a.w pun memberitahu kepada sahabat-sahabat ra tentang perkara ini dan persiapan pun dilakukan untuk melakukan umrah pada tahun itu. Pada bulan Zulkaedah, tahun keenam Hijrah, Nabi s.a.w bertolak ke Mekah bersama-sama dengan 1500 orang sahabat, tanpa sebarang niat untuk berperang. Mereka kemudiannya berhenti di satu kawasan yang bernama Hudaibiyah untuk berehat dan di situ mereka telah dihalang oleh pemuka-pemuka Quraisy sehingga suasana menjadi tegang. Akhirnya termeterailah Perjanjian Hudaibiyah di antara Nabi s.a.w dan kafir Quraisy, dan di antara isi-isinya ialah, umat Islam tidak akan berperang dengan kafir Quraisy selama 10 tahun. Di samping itu umat Islam diizinkan untuk memasuki Mekah untuk melakukan umrah pada tahun yang berikutnya. Tambahan dari itu, mana-mana pihak berhak membuat perjanjian atau bersekutu sama ada dengan umat Islam ataupun kafir Quraisy. Namun jika pihak yang bersekutu berperang di antara satu sama lain, umat Islam atau kafir Quraisy tidak boleh membantu sekutu-sekutu mereka di dalam semua peperangan itu. Pada tahun ketujuh Hijrah, setahun lepas Perjanjian Hudaibiyah, Nabi s.a.w dan para sahabat ra menyempurnakan umrah secara aman tanpa sebarang gangguan. Ini membuktikan kebenaran mimpi Nabi s.a.w dan umrah ini dikenali di dalam sejarah sebagai Umrah Qada.
Tidak berapa lama selepas itu, kabilah Banu Bakar bersekutu dengan pihak Quraisy dan Banu Khuzaah bersekutu dengan Nabi. Ini diikuti dengan insiden pihak Banu Bakar menyerang Banu Khuzaah sehingga meletus peperangan di antara mereka dan pihak Quraisy telah membantu Banu Bakar dengan memberikan senjata-senjata secara sulit kepada mereka sedangkan ini tidak diizinkan mengikut Perjanjian Hudaibiyah. Pihak Khuzaah telah membuat pengaduan kepada Nabi s.a.w tentang perkara ini dan Nabi s.a.w telah bertindak tegas dengan memberi tiga pilihan kepada pihak Quraisy namun pihak Quraisy menolak cadangan-cadangan itu. Ekoran dari itu Nabi s.a.w menyiapkan bala tentera berjumlah 10,000 orang dan bertolak menuju ke Mekah. Mekah akhirnya berjaya ditakluki dengan mudah dan penaklukan ini telah berlaku pada hari Jumaat, sepuluh Ramadan tahun kelapan Hijrah, dua tahun selepas termeterai Perjanjian Hudaibiyah dan setahun selepas berlakunya Umrah Qada. Kesemua ini membuktikan kebenaran janji-janji Allah di dalam Al-Quran dan menunjukkan Al-Quran adalah Kalam Allah.
PENEMUAN SAINS MEMBENARKAN AL-QURAN
Ketika wahyu diturunkan di zaman Nabi s.a.w kajian-kajian saintifik berhubung dengan alam belum meledak dan kemudahan-kemudahan ke arah itu belum lagi wujud. Pada hari ini teknologi semakin canggih dan penemuan-penemuan baru berhubung dengan rahsia alam semakin terserlah. Yang amat mengagumkan ialah, penemuan-penemuan baru ini selari dengan pernyataan Al-Quran sekali gus menampakkan keunggulannya. Di antara ayat-ayat itu ialah ayat yang berkaitan dengan pengembangan alam. Allah berfirman, “Dan langit Kami bangun dengan kekuasaan Kami dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya..” (Surah Az-Zariyat ayat 47)
Ayat ini menjelaskan tentang pengembangan alam dan sehubungan dengan ini As-Syeikh Said Hawa di dalam Al-Asas fit Tafsir berkata: “(Maksud ayat ini ialah) langit telah Allah jadikan di dalam keadaan mengembang secara berterusan. Ia juga bermaksud langit telah diluaskan oleh Allah. Ayat ini ialah ayat mukjizat berhubung kejadian alam… Ia menunjukkan ilmu Al-Quran amat jauh ke hadapan, melampaui tempat dan zaman. Jika ada sesiapa yang menolak Al-Quran kerana menyangka dirinya maju dengan sainsnya, eloklah jika dia menilai semula dirinya sebelum terlambat.”
Pada tahun 1929 M tokoh astronomi dari Amerika, Edwin Hubble, dengan menggunakan alat yang canggih mendapati alam ini sebenarnya sedang mengembang. Pada bulan Mei 9, 1996, satu kenyataan akhbar dikeluarkan berhubung dengan teori pengembangan alam. Dua kumpulan pakar sains di peringkat antarabangsa mengesahkan kebenaran teori ini malah mereka berjaya mengukur kelajuan pengembangan alam ini sekali gus membenarkan firman Allah.
Contoh yang kedua berhubung dengan teori Big Bang. Di dalam surah Al-Anbiya Allah berfirman, “Apakah orang-orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya bercantum sebagai satu, kemudian Kami pisahkan di antara kedua-duanya…” (Surah Al-Anbiya ayat 30)
Di dalam Al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qartubi meriwayatkan: “Telah berkata Ibn Abbas, Al-Hasan, Atha, Ad-Dahhak dan Qatadah: Ayat ini bermaksud kedua-dua langit dan bumi pada asalnya adalah suatu yang melekat lagi bercantum, kemudian Allah pisahkan di antara kedua-duanya dan dijadikan di antara keduanya udara.”
Syeikh Tantawi Jauhari di dalam kitabnya Al-Jawahir yang ditulisnya pada sekitar tahun 1920-1930, menyebutkan: “Apa yang dijelaskan oleh Al-Quran ialah, langit yang banyak dan bumi ini termasuk matahari, bintang-bintang dan segala alam yang ada di dalamnya, semuanya bercantum padu sebelum ini, kemudian Allah pisahkan kesemuanya. Ayat ini ialah mukjizat, kerana ilmu tentang perkara ini belum diketahui kecuali pada hari ini..”
Mengikut teori Big Bang, alam ini pada asalnya bercantum padu, kemudian berlakulah satu letupan yang kuat (cosmic explosion) 10 ke 20 bilion tahun dahulu, yang dinamakan sebagai Big Bang. Sejak dari itu berlakulah pengembangan dan penyejukan (expanding and cooling) sehingga akhirnya lahirlah bintang-bintang, galaksi dan yang seumpamanya. Teori ini pada asalnya di asaskan dari formula General Theory of Relativity yang diutarakan oleh Albert Einstein pada tahun 1915. Kemudian pada tahun 1922 seorang pakar fizik Rusia, Alexander Friedmann, mengembangkan lagi formula ini dan mengukuhkan lagi teori Big Bang ini. Pada tahun 1929, seorang tokoh astronomi dari Amerika, Edwin Hubble, menemui bukti-bukti kukuh yang menyokong teori Big Bang. Dengan menggunakan alat yang canggih, beliau mendapati alam ini sememangnya sedang mengembang. Penemuan ini mengukuhkan lagi pendapat yang mengatakan alam ini bercantum padu pada asalnya diikuti dengan satu letupan besar kerana letupan itulah yang telah menyebabkan pengembangan ini.173
Semua ini mengesahkan langit dan bumi suatu ketika dahulu sememangnya bercantum padu sebelum kedua-duanya dipisahkan. Hakikat yang hanya difahami pada abad kedua puluh ini telah dijelaskan oleh Allah 1420 tahun dahulu.
Segala penemuan ini selari dengan pernyataan Al-Quran. Ia menunjukkan Al-Quran ialah Kalam Allah kerana ilmu astrofizik belum berkembang di zaman Nabi s.a.w di tambah pula dengan kemudahan yang daif di zaman itu yang tidak memungkinkan manusia mengetahui secara pasti tentang asal usul alam ini.
(Untuk perincian sila rujuk buku Empayar Minda Muslim oleh Dr. Danial)
CEMERLANG DENGAN MEMBACA & MENELITI AL-QURAN

“Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu iaitu al-Kitab (Quran) dan dirikanlah solat.” (Al-Ankabut, 45)  

SUMBER ILMU TERPENTING bagi umat Islam adalah Quran. Kecemerlangan tidak dapat dipisahkan daripada Quran kerana Quran adalah petunjuk. Tanpa petunjuk, manusia akan sesat dan terbabas. Tuhan menjelaskan dalam surah Al-Israk ayat 9 yang bermaksud, “Sesungguhnya Quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang lebih lurus (aqwam) dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal salih bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.”
Tuhan menyifatkan Quran sebagai petunjuk yang aqwam. Berhubung dengan ini, di dalam al-Jamik li ahkam al-Quran, Imam Qartubi berkata, “Kalimat aqwam bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat.” Justeru, mereka yang menjadikan Quran sebagai sumber rujukan, kesejahteraan dan ketenangan akan menaungi mereka.
Quran adalah Peta
Jalan kecemerlangan memerlukan peta. Peta yang umat Islam perlukan adalah Quran kerana ia adalah peta yang lengkap lagi selamat. Tidak terdapat sebarang bengkang bengkok di dalamnya. Tuhan menyatakan dalam surah Al-Kahfi ayat 1 yang bermaksud, “Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambanya al-Kitab (Quran) dan Dia tidak mengadakan sesuatu yang bengkok di dalamnya.”
Bagi memahami peta ini, umat Islam perlu membaca dan memahami isi-isi Quran. Dalam surah an-Nisa’ ayat 82, Tuhan menyatakan yang bermaksud, “Apakah mereka tidak tadabur Quran? Sekiranya Quran itu bukan dari sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya.”
Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, “Allah mengarahkan mereka agar mengamati isi-isi Quran dan melarang mereka dari berpaling daripadanya. Allah juga mengarah mereka agar memahami maksud ayat-ayat Quran yang begitu halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan.”
Pada hari ini, sebahagian besar umat Islam menjadikan Quran sebagai ‘kitab berkat’. Mereka hanya membaca Quran bagi mendapat berkat, tidak lebih daripada itu. Sikap seperti ini ditegur Tuhan dalam surah al-Baqarah ayat 121. Tuhan menyatakan, “Dan mereka yang telah Kami berikan Kitab kemudian mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barang siapa yang ingkar terhadapnya mereka itulah orang-orang yang rugi.”
Berhubung dengan kalimat ‘membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya’, sahabat Abdullah bin Masud berkata, “Demi Allah, maksud membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya ialah menghalalkan apa yang dihalalkannya, mengharamkan apa yang diharamkannya, membaca seperti mana ia diturunkan Allah, tidak mengubah kalam Tuhan dari tempatnya dan tidak mentakwilkan ayat-ayatnya secara yang tidak betul.” Perkara ini disebutkan di dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.
Antara sebab yang menutup atau menghijabkan hati individu daripada memahami Quran adalah:
1.Terlampau memberi tumpuan pada huruf, sebutan dan makhraj.
2.Fanatik terhadap suatu pegangan dan pendapat yang pernah didengarnya
sehingga tertutup hatinya daripada kefahaman yang lebih mendalam
berkenaan Quran.
3.Kekal berada dalam dosa sehingga hatinya menjadi gelap dan berkarat.
Perkara ini disebutkan oleh Imam Ghazali di dalam kitab Ihya Ulumuddin.
 


Fisiologi Quran
Tuhan menjelaskan dalam surah al-Israk ayat 82 yang bermaksud, “(Quran) merupakan penawar (syifa) dan rahmat bagi mereka yang beriman.” Di dalam al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa disebutkan, “Syifa bermaksud (Quran adalah penawar) yang dapat menghilangkan syak, nifak, penyelewengan, kelemahan dan penyakit dalam hati. Quran juga adalah rahmat yang dapat menghasilkan iman, hikmat dan kebahagiaan.”
Abdullah bin Masud berkata, “Sesiapa yang menghendaki ilmu pengetahuan maka hendaklah dia membaca Quran. Di dalamnya terdapat ilmu orang-orang terdahulu dan yang kemudian.”
Sahabat Abu Hurairah pula berkata, “Sesungguhnya akan lapanglah penghuni rumah yang dibaca di dalamnya Quran, dan akan banyaklah kebajikan di dalam rumah itu dan akan datanglah para malaikat ke rumah itu dan akan keluarlah syaitan daripadanya. Sebaliknya, rumah yang tidak dibaca di dalamnya Quran akan mendatangkan kesempitan kepada penghuni-penghuninya. Di samping itu, kebajikan akan berkurangan, para malaikat akan keluar dan syaitan akan memasuki rumah itu.”
Satu kajian dilakukan oleh Dr. Ahmed el-Kadi dari Klinik Akbar di Panama City, Florida, “Berhubung kesan mendengar bacaan Quran ke atas denyutan jantung, tekanan darah, tekanan saraf dan otot. Beliau mendapati, mereka yang mendengar bacaan Quran, termasuk daripada kalangan bukan Muslim dan bukan Arab, mengalami perubahan fisiologi positif di dalam diri mereka.” Kajian ini dimuatkan dalam Islamic Perspectives In Medicine oleh Dr. Shahid Athar.
Benarlah sahabat Ali bin Abi Talib apabila beliau berkata, “Tiga perkara menambahkan kesejahteraan badan dan menghilangkan kahak iaitu bersugi, berpuasa dan membaca Quran.”
Quran Hebat
Quran tidak hanya dikagumi oleh orang Islam. Ia juga dikagumi oleh orang bukan Islam. Sebahagian daripada mereka yang bukan Islam ini sudah memeluk agama Islam selepas meneliti dan memahami maksud ayat-ayat Quran.
Dr. Gary Miller adalah pakar matematik di samping seorang tokoh dalam bidang ilmu teologi Kristian. Pada tahun 1978, beliau dihadiahkan dengan sebuah Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris. Selepas membaca terjemahan Quran itu, beliau memeluk Islam. Dalam tulisannya yang bertajuk ‘The Amazing Quran’ beliau berkata, “Seperkara yang mengejutkan golongan bukan Islam selepas mereka mengkaji Quran adalah ia tidak seperti apa yang mereka jangkakan. Bagi mereka, Quran adalah sebuah kitab tua yang datang dari padang pasir Arab dan berumur lebih kurang 14 abad. Justeru mereka menjangkakan, isi-isinya pasti juga tua lagi kuno seperti umurnya. Sebahagian daripada mereka pula menjangkakan, oleh kerana ia datang dari padang pasir, ia pasti banyak bercerita tentang padang pasir. Tiba-tiba mereka menyedari bahawa ia tidak seperti itu.”
Beliau menyambung lagi, “Quran boleh dikaji secara saintifik kerana ia mengutarakan sesuatu yang tidak di utarakan oleh kitab-kitab agama lain secara amnya. Malah Quran mampu menyahut cabaran ahli-ahli sains. Konsep sains pada hari ini adalah konsep yang memerlukan bukti. Apabila seseorang mengutarakan suatu teori, pakar-pakar sains tidak akan mempedulikannya melainkan apabila ia disertakan dengan bukti dan sanggup melalui beberapa ujian saintifik. Quran sebenarnya sanggup diperlakukan seperti itu bagi membuktikan ia adalah benar. Seribu empat ratus tahun sudah berlalu dan tidak ada sesiapa pun yang mampu membuktikan kepalsuan Quran, justeru Quran adalah sebuah kitab yang hak lagi benar.”
Demikian juga dengan Dr. Maurice Bucaille. Beliau adalah seorang pakar bedah terkenal di Perancis. Di samping itu, beliau juga penulis yang hebat. Antara buku beliau yang terkenal bertajuk La Bible, Le Coran et la Science. Semasa membicarakan berkenaan Quran dan Bible dalam konteks ilmu astrofizik, beliau berkata, “Tidak terdapat sebarang percanggahan antara Quran dan ilmu-ilmu moden berhubung asal usul kejadian alam. Hal ini perlu ditegaskan kerana apabila dibandingkan Quran dengan Kitab Perjanjian Lama atau Old Testament, kenyataan-kenyataan yang terdapat di dalam Kitab Perjanjian Lama berhubung isu yang sama adalah tidak saintifik. Terdapat tuduhan yang mengatakan Muhammad mencedok dan meniru isi-isi Bible. Tuduhan ini adalah tidak berasas sama sekali terutamanya apabila berbicara berkenaan kejadian alam. Tidak mungkin wujud seorang manusia yang hidup 1400 tahun dahulu dengan sendirinya mampu membetulkan pandangan-pandangan yang tidak saintifik pada masa itu dan kemudian membuat kenyataan-kenyataan yang hanya baru difahami dan dapat disahkan pada zaman moden ini. (Tambahan dari itu) kenyataan Quran berkenaan kejadian alam adalah amat berbeza daripada Bible.”
Pada hari ini, terdapat golongan tertentu di barat yang ingin menyesatkan umat Islam daripada Quran. Mengikut Harian Metro bertarikh 26 Januari 2005, terdapat sebuah kitab bertajuk The True Furqan yang diterbitkan di Amerika cuba menyaingi kitab suci Quran. Ia bertujuan memperdayakan umat Islam. Ia mempunyai 77 surah. Antaranya surah al-Mahabbah, al-Maseeh, al-Salib dan al-Injil. Perbezaan besar antara kitab ini dengan Quran adalah, Quran adalah wahyu yang diturunkan melalui Jibril kepada Nabi Muhammad sebelum ia ditulis. Sedangkan kitab The True Furqan adalah tulisan manusia biasa yang bernama Saffe, Mahdy, al-Saffee dan al-Mahdy.



0 Komen:

 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.