Assalamualaikum.Do Follow Me? Back To Dashboard? Nice To Meet You.Visit Here Again =3
Status
Say, “My prayer, my offering, my life and my death are for Allah, the Lord of all the worlds.” - The Holy Quran [6:162]
Kisah Teladan Islamik
Assalamu'alaikum....Selamat datang ke blog Kisah Teladan Islamik....Peace be to you....Welcome to Kisah Teladan Islamik blog...:)

07/04/2012

Author : Unknown Time : 9:11:00 am Total Comment : 0

Mengenali Allah S.W.T



MENGENAL ALLAH
AWALUDIN MA’RIFATULLAH – “Awal-awal agama ialah mengenal Allah.” Paling wajib dan paling bermakna dalam kehidupan seseorang itu ialah apabila ia mempunyai agama. Ketamadunan dan kemuliaan hidup manusia itu diukur melalui agamanya. Sementara kemuliaan seseorang dalam beragama itu pula bergantung kepada sejauh mana dia kenal akan Tuhannya. Kalau seseorang itu tidak mengenali Tuhan yang menurunkan agama untuknya itu maka (akidah) itu tidak sah. Bagaimana bijak pum dia membaca ayat-ayat Tuhannya, tetapi kalau dia sendiri tidak kenal Tuhannya, ayat-ayat dibacanya itu sedikit pun tidak memberi apa-apa erti kepadanya. Dan taraf hidupnya juga tidak ubah seperti burung tiong yang pandai bersiul tetapi tidak tahu makna siulannya.
Justeru itu tugas untuk mengenali Allah bukan tugas yang ringan dan boleh diremeh-temehkan. Tugas mengenali Tuhan, adalah tugas zahir dan batin yang amat sulit dalam kehidupan manusia.
Tugas mengenal Tuhanlah tugas yang berat sekali. Lantaran itu terbit Hadis yang bermaksud “Awal-awal agama itu mengenal Allah”.
Kenapa susah untuk mengenali Tuhan? Ini kerana Allah (Tuhan) itu tidak berbentuk, berhuruf (mempunyai) berwarna dan bertentangan dengan sifat-sifat zahir alam ini kerana ia berdiri di atas sifat “mukholafatuhulilhawadis” – Bersalahan dengan yang baharu.
Dan firman-Nya di dalam Surah As-Syura ayat 11, bermaksud :
“Laisa Kamitslihi Syai’un.”
Ertinya…..”Tiada sesuatu pun yang menyerupai Allah.”
Kalau silap pegangan dan pemahaman menyebabkan kita syirik dengan Allah ataupun menjadikan kita bertuhan kepada diri sendiri. Justeru itu tidak ada sesiapa di dalam dunia ini telah mengaku dapat berjumpa dengan Allah melainkan setakat kenal (dengan ilmu) pada Zat, Sifat, Asma dan Afa’alNya sahaja. Zat Allah pun tidak siapa kenal dengan pastinya.
Sabda Rasulullah SAW, bermaksud :
“Maha Suci Engkau ya Allah, tiada kami mengenal akan Dikau dengan sebenar-benarnya melainkan dengan ma’rifat Engkau.”
Seandainya ada dakwaan mengatakan seseorang itu pernah berjumpa dengan Allah seperti mana dia berjumpa dengan makhluk biasa, dakwaan itu tidak boleh dipercayai. Ia hanya dongeng dan satu rekaan semata-mata yang berlandaskan kepada fantasi fikirannya. Dakwaan itu hanya untuk menjual kehebatan diri, kononnya dia sudah sampai ke peringkat “muqarabbin”.
Kenapa kita berkata bergitu? Kerana selain daripad Nabi Besar Muhammad S.A.W. dan para Rasul lain, tidak ada manusia yang dapat melihat Nur Allah secara pasti atau dalam bentuk penglihatan biasa. Tidak mungkin bagi manusia biasa yang tidak terpilih, diistimewakan dapat berjumpa dengan Allah seperti mana yang pernah berlaku kepada Rasul-rasulNya dan para Nabi-nabiNya.
Sehebat-hebat Rasulullah S.A.W. yang menjadi penutup segala keNabian (nubuwah) pun tidak dapat berjumpa dengan Allah. Apa yang boleh dan mampu dilakukan oleh baginda hanya setakat berbicara dengan Allah tanpa dapat menyaksi wajahNya. Dalam erti kata lain tidak ada pertemuan secara bertentangan mata (face to face) berlaku di antara Rasulullah S.A.W. dengan Allah S.W.T.
Dari Abu Zar r.a. katanya aku bertanya kepada Rasulullah SAW, bermaksud :
“Adakah anda melihat Allah? Jawab beliau,…”Dia maha cahaya bagaimana aku boleh melihatNya.”
[Bukhari & Muslim]
Ertinya Rasulullah S.A.W. sewaktu dipimpin oleh Jibrail (naik ke langit/mi’raj) untuk menerima perintah solat (dalam peristiwa Isra’ Mi’raj), tidak dapat menyaksikan wajah Allah. Apa yang berlaku hanya beliau dapat berbicara dengan Allah untuk menerima perintah ibadat (solat).
Begitu juga dengan Nabi Musa a.s. Allah baru sahaja memancarkan NurNya ke bukit Tursina beliau sudah tidak tahan dan tidak sanggup untuk menyaksinya.
Seluruh bukit Tursina hancur lebur dan hangus.
Firman Allah Ta’ala di dalam Surah Al-Araf ayat 143, bermaksud :
“Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan kami) pada waktu yang telah kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkata Musa, “Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku, agar dapat aku melihat kepada Engkau.”
Tuhan berfirman, “Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tetapi lihatlah ke bukit itu maka jika ia tetap ditempatnya (sebagai sediakala) nescaya kamu dapat melihatKu.” Tatkala Tuhan nempakkan gunung itu kepadanya, kejadian itu menjadikan gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pengsan. Maka setelah Musa sedar kembali, dia berkata, “Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama berIman.”
Jadi macam mana untuk Nabi Musa melihat wajah Allah….baru sahaja melihat Nur yang dipancarkan ke bukit pun dia sudah tidak sanggup untuk melihatnya.
Kesimpulannya Nabi Musa hanya dapat melihat Nur Allah yang tertimpa ke bukit sahaja, bukannya melihat wajah Allah yang sebenarnya.
Begitu juga dengan Nabi Ibrahim a.s. apa yang dapat dilihat oleh beliau hanya kerajaan Allah di langit sahaja.
Firman Allah Ta’ala Surah Al-An’aam ayat 75, bermaksud :
“Yang demikian Kami perlihatkan kepada Ibrahim kerajaan di langit dan bumi.”
Maknanya Allah hanya memperlihatkan kebesaran dan keagunganNya mencukupi langit dan bumi sahaja kepada Nabi Ibrahim a.s.tetapi tidak menunjukkan wajahNya.
Demikian sejarah antara manusia-manusia agung lagi maksum dan dipilih sendiri oleh Allah untuk melihat “wajah”Nya, tetapi gagal dan tidak sanggup untuk menyaksikan wajah Allah. Baru Allah memancarkan NurNya, meraka (Musa a.s.) sudah tidak tahan dan tidak sanggup untuk berhadapan denganNya.
Bila kita membaca sejarah “kegagalan” kedua orang Nabi itu untuk bertemu dengan Allah, maka akan timbul di kepala kita bolehkah kita mengenal dan berjumpa (ma’rifat) dengan Allah? Sedangkan mereka yang diistimewakan dan dipilih menjadi petunjuk kepada manusia pun gagal ataupun tidak sanggup untuk menatapi pancaran Nur Allah. Apa lagi bagi manusia biasa seperti kita ini amatlah dirasakan mustahil sekali untuk dapat melihat wajah Allah.
Bolehkah kita berhadapan dengan Allah dan mengenaliNya? Jawabnya boleh untuk kita berhadapan dengan Allah. Kerana di mana sahaja muka kita dihadapkan, maka di situlah adanya wajah Allah. Tetapi untuk melihatnya wajahNya dengan mata zahir ini tidak mungkin sama sekali.


Untuk berkenalan dengan Allah dan mengenaliNya memang boleh. Allah sendiri memberi penegasan dan meminta agar kita mengenaliNya dengan sebaik-baik pengenalan. Malah sesiapa yang tidak kenal Allah (ma’rifat denganNya) maka akan celakalah diri seseorang itu.

Firman Allah Ta’ala Surah An-Kabut ayat 23, bermaksud :
“Dan orang-orang yang kafir (tidak percaya) dengan ayat-ayat Allah dan pertemuan (menindakkan) dengan Dia, mereka akan putus asa dari rahmat-Ku dan mereka itu mendapat azab yang pedih.”
Melalui firman ini Allah memberi peringatan bahawa sesiapa yang tidak mempercayai dan yakin kepada kata-kataNya dan menindakkan khabar akan bertemu denganNya, orang itu akan mendapat azab yang pedih.
Dari firman ini Allah memperakui yang kita kena menemuiNya untuk memastikan diri kita selamat. Hanya waktu dan tempat mungkin tidak di sini….tetapi di akhirat sesudah mati.
Rasulullah S.A.W. dalam sebuah Hadis juga telah menerangkan bahawa sesiapa sahaja akan dapat berjumpa, malahan dapat bercakap-cakap dengan Tuhannya.
Asalkan dia rajin menunaikan segala amal ibadat serta lain-lain perintah Allah.
FirmanNya Surah Al-Insyiqaq ayat 6, bermaksud :
“Hai manusia sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemuiNya.”
Sementara dalam sebuah Hadis pula Rasulullah S.A.W. bersabda, bermaksud :
Dari Jarir r.a. katanya….”Ketika kami sedang duduk dekat Rasulullah S.A.W.
beliau memperhatikan bulan di malam purnama.” Beliau bersabda, “Sesungguhnya kamu nanti akan melihat Tuhan kamu sebagai mana kamu melihat bulan ini dan kamu tidak terdesak-desak untuk melihatNya. Dan kalau kamu sanggup untuk tidak ketinggalan dalam mengerjakan sembahyang sebelum matahari terbit (Subuh) dan sembahyang sebelum matahari terbenam (Asar) perbuatlah!”
[Bukhari & Muslim]
Melalui Hadis itu Rasulullah S.A.W memberi isyarat hanya kepada yang “sanggup” sahaja yang akan dapat menemui dan bercakap dengan Tuhannya.
Kesanggupan itu tentulah suatu perkara yang kena (wajib) dilakukan oleh hambaNya, ia tidak lain dan tidak bukan ialah menjalankan segala perintah dan menjauhi segala laranganNya.
Menurut gambaran Hadis Rasulullah itu, perjumpaan itu tidak dalam keadaan khayal ataupun sebagai rekaan kerana kita akan dapat berbicara dengan Allah secara langsung (direct), tidak ada apa-apa perantaraan ataupun jurucakap.
Ini dijelaskan dalam sebuah Hadis lain yang diriwayatkan oleh Muslim dan Bukhari.
Dari Adi bin Hatim r.a katanya, Rasulullah S.A.W. bersabda, bermaksud :
“Setiap kamu nanti akan berbicara dengan Tuhan tanpa perantara jurubahasa dan tidak ada pula dinding yang membatasi.”

Allah sendiri juga memberi pengakuan sesiapa sahaja akan dapat berjumpa denganNya.
Firman Allah Ta’ala Surah Al-Baqarah ayat 115, yang bermaksud :
“Perjumpaan hamba dengan Allah adalah satu kemestian. Tidak boleh tidak.
Dari Tuhan kamu datang kepada Allah kamu kembali. Tidak sah seseorang hamba itu kalau ia tidak berjumpa dengan penciptanya. Perjumpaan itu sebagai menandakan seseorang itu memang mempunyai hubung kait di antara satu sama lain. Perjumpaan itu juga (wajib) untuk saling kenal mengenali di antara satu sama lain. Diri kita dengan Allah.

Sesiapa yang tidak kenal atau berjumpa dengan Allah, kesannya begitu amat buruk sekali. Orang yang tidak kenal Allah, keadaannya tak ubah seperti orang yang tidak ada Tuhan, ataupun orang yang tidak kenal dirinya sendiri.
Dan mereka yang tidak kenal Allah tidak membawa apa-apa erti, hidupnya sepertilah kayu-kayan ataupun daun-daun kering yang bergelimpangan di atas muka bumi.

Persoalan yang timbul berikutan apabila ada jawapan dan ketegasan mengatakan boleh untuk kita berjumpa (kenal) Tuhan, ialah bagaimana- kah caranya? Ataupun bagaimanakah kaedahnya dan apakah pula syarat- syarat untuk mengenalinya
Bagi orang yang belajar, menuntut dan rajin mencari adalah terlalu senang untuk ma’rifat dengan Tuhan. Bukankah kita ini hambaNya yang dicipta olehNya. Maka sudah pasti secara logiknya sebagai hamba yang dicipta mesti kenal penciptanya. Mustahil kalau kita tidak kenal?

Untuk mengenali Tuhan, prosesnya samalah seperti proses untuk kita mengenali sesuatu benda aataupun perkara. Ambil misalnya kita hendak mengenali kereta.
Apa yang terlebih dahulu kita harus mempelajari ialah ilmu-ilmu mengenai untuk mengenali kereta. Kita harus tahu sifat-sifatnya, namanya, zatnya (komponen) dan juga keagungan (kuasanya) itu.

Bila kita sudah mengenali atau memiliki segala ilmu-ilmu itu maka mudahlah bagi kita, mengenal kereta itu. Bila ia bertemu ataupun terjumpa dengan kita pasti kita akan kenal, sebab bentuknya (sudah kenal) sifatnya sudah kita ketahui dan mengerti kegunaannya!

Tetapi adalah amat sukar sekiranya kita tidak mengetahuinya atau tidak memiliki langsung ilmu-ilmu tentangnya. Seribu kali kita berjumpa dengan kereta pun kalau tidak ada ilmu (pengetahuan) untuk mengenalinya, maka kita tidak akan kenal walaupun kereta itu telah melanggar kita. Kita tidak akan tahu atau kenal benda itu (kereta) meskipun ia sebenarnya kereta.

Nah! begitulah juga cara untuk kita mengenal Tuhan. Kita terlebih dahulu kena mempelajari segala ilmu-ilmunya, Kita kena cari pengetahuan tentangnya.
Tanpa ilmu tidak mungkin untuk kita mengenal dan mengetahui apa-apa tentangnya.

Ada empat bidang ilmu yang paling penting yang wajib bagi kita ketahui dan memilikinya dalam usaha untuk berkenalan dengan Tuhan. Seandainya kita cari (amal dan pegang) dengan ilmu-ilmu ini, InsyaAllah kita akan kenal, tahu dan mengerti tentang Tuhan dan Ketuhanan itu.

Ilmu-ilmu itu ialah :
1. Syariat
2. Tariqat
3. Hakikat
4. Ma’rifat


Perlu diingatkan untuk kita mengenali Allah dan berkenalan denganNya ia tidak seperti kita hendak mengenali kereta ataupun untuk mengenali sesama makhluk. Kerana Allah itu ghaib dan kita hanya boleh kenal pada Sifat, Asma, Afa’alNya sahaja, maka adalah tidak mungkin kita kenal Dia seperti kita mengenali makhluk. Justeru itu kita hanya boleh kenal pada Zat, Sifat, Asma, dan Afa,alNya, maka hendaklah kita mengetahui hal-hal itu terlebih dahulu.
Tanpa mengenali keempat-empat bidang ilmu itu tidak mungkin kita ma’rifat dengan Allah dan juga berkenalan denganNya. Sepertilah juga kalau kita tidak mengetahui empat ilmu itu, kita tidak akan kenal Tuhan. Apakah kita sudah mengetahui apa yang dikatakan Zat, Sifat, Asma’ dan Afa’al itu? (Perkara ini akan dihuraikan pada bab akan datang).
Kesimpulannya di sini jelas menunjukkan apabila kita sudah mengetahui akan segala ilmu ma’rifat itu, maka kita boleh berkenalan dengan Allah. Kita dapat mengetahui keseluruhan mengenai dirinya. Bukan itu sahaja bila kita sudah kenal dan berkenalan denganNya kita juga dapat berbicara denganNya. Bercakap-cakap, mengadu hal, minta tolong dan sebagainya.
Bukankah Allah itu Allahusamad (Allah adalah tempat bergantung (meminta, memohon, mengharap.) – Al-Ikhlas.
Kalau ada orang mengatakan kita tidak dapat berkenalan dengan Allah, bercakap dengan Allah, berinteraksi, bermanja dan sebagainya. Bermakna orang itu masih belum mempunyai Tuhan. Kerana bagi orang yang mengaku adanya Tuhan (Allah) dia akan dapat berkenalan dengan Tuhannya (Allah) seperti mana dia dapat berkawan dan meminta pertolongan daripada kawan-kawannya sesama makhluk.
Mereka juga sudah tentu tidak pernah berjumpa dengan Hadis seperti mana yang tersebut di atas dan juga menafikan penegasan Allah sendiri yang berbunyi…….
“Kerana itu ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat (pula) kepadamu dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)Ku.”
[Al-Baqarah : 152]
Kesimpulannya, kita boleh berkenalan dan mengenali Allah, malah perkara ini wajib dan merupakan fardhu ain bagi setiap umat Islam. Penemuan (kenal) dengan Allah ialah sebagai bukti bahawa kita (manusia) mempunyai Tuhan dan menjadi hamba kepadaNya, serta untuk menyatakan sumpah janji semasa di Alam Roh.
Wallahu a’lam…….

0 Komen:

 
This Template Was Made & Design With Love By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.